Dec 31, 2018

Baru Ku Tahu !

Dalam beberapa jam sahaja lagi tahun 2019 akan muncul, meninggalkan tahun 2018. Catatan peribadi 2018 akan menjadi sejarah dan kenangan. Buku catatan perbelanjaan harian juga turut ditutup. Buku baru akan menggantikan buku yang lama.

Bila bercerita mengenai catatan perbelanjaan harian ini saya tetap kagum dengan kenalan saya,  Hajah Aishah Omar. Hajah Aisyah  tetap saban tahun menukar buku catatan perbelanjaan harian. Begitu istiqamah, 35 tahun tidak pernah meninggalkan amalan ini. Sejak mula bekerja sehingga sudah hampir bersara. Tabiat ini telah membawa manfaat besar  kepadanya apabila berjaya membeli rumah pada usia muda dan menunaikan ibadah haji ketika tenaga masih kuat.
Walaupun pendapatannya tidak lah sebenar mana, namun jika betul caranya tiada apa yang tidak boleh diraih.

Kerana kekaguman itu, saya mencuba-cuba mencatat setiap perbelanjaan yang dibelanjakan setiap hari. Tapi biasalah kerja mencatat ini bukan mudah, ia memerlukan kesungguhan. Bertahanlah beberapa bulan, akhirnya kecundang kerana kemalasan.

Sehinggalah tiga tahun lepas saya telah menemui Apps Expense Manager dalam Play Store yang mudah dikendalikan di telefon bimbit. Lebih mudah mencatat. Tiada lagi keperluan buku dan pena. Walaupun saya tidak mampu menandingi kehebatan Puan Aisyah dalam pengurusan kewangan tetapi sekurang-kurangnya saya tahu ke mana duit saya 'menghilang' setiap bulan.

Apps ini juga banyak membantu saya melihat peratusan perbelanjaan sebenar. Pecahan perbelanjaan yang pelbagai daripada barang dapur sehinggalah kepada makan-makan di luar. Perbelanjaan yang tinggi dan perlu kawalan akan lebih kerap dipantau. Oleh kerana banyak Apps yang boleh membantu urusan harian, akhirnya saya menjadi pengguna Apps tegar bermula daripada Expense Manager,  Whats Apps, Waze, Drivvo, Air Asia, MAS, Booking, Muslim Pro, Shoppe dan lain-lain.

Kini saya juga memantau bil-bil perkhidmatan utiliti menggunakan Apps seperti Air (Syabas), MyTNB kerana perkhidmatan utiliti ini kadang-kadang tidak disangka-sangka telah mencecah ratusan ringgit. Maklum sahaja kerap kali, bil-bil utiliti ini tidak sampai atau terperuk dalam kotak surat tanpa dijenguk.

Oleh kerana faedah Apps perkhidmatan utiliti ini memang terbaik, seorang kawan minta saya memasang Apps MyTNB di telefon bimbitnya. Tujuan asalnya supaya mudah membuat semakan penggunaan letrik di rumah. Semakan juga boleh dibuat kepada bil-bil yang menggunakan nama yang sama. Amat mengejutkannya kerana bil letrik rumah sewanya sudah mencecah RM1,000 masih belum dibayar oleh penyewa. Baru ku Tahu!.

SELAMAT TAHUN BARU 2019.

Dec 1, 2018

Pesanan Atuk.

Musim kenduri datang lagi. Cuti sekolah telah bermula. Kenduri kendara berada di merata-rata tempat. Minggu ini sahaja sudah ada empat jemputan. Paling jauh di Pasir Gudang, Johor Bharu. Paling dekat sekitar Putrajaya dan Puchong, Insya Allah kalau tiada keletihan dan kelelahan kami akan sampai.

Kehidupan kami sudah jauh berbeza dari tahun-tahun sebelumnya. Dulu-dulu masih ramai anak yang duduk serumah. Ramai juga yang masih ditanggung ongkosnya. Kini tiada lagi. Semua sudah berumah tangga. Sudah ada anak pun. Kami yang dulu sibuk mengurus itu ini, sudah mula cuci tangan. Hanya melihat perkembangan dari semasa ke semasa. Kalau patut diberi nasihat dinasihatkan. Kalau tak perlu jangan banyak sangat campur tangan. Hidup ini kena rasional. Ha ha ha.

Oleh kerana masa terluang (baca terbuang) yang banyak maka jemputan kenduri yang jauh adalah kesempatan kami untuk makan angin, Tidur semalam dua. Menikmati kelainan suasana di satu-satu bandar atau pekan kecil.  Amalan yang rasanya sesuai dengan kami yang sudah menjangkau usia emas ini. Mengeratkan silaturahim dan bermusafir sehari dua. Duduk di rumah pun hanya membesarkan perut sahaja,

Minggu lepas kami ke Seremban, jemputan walimatul urus rumah sepupu perempuan, saudara sebelah abah. Datang pun agak lewat. Kenduri pun sudah hampir usai. Berjumpa sepupu-sepapat yang jarang-jarang bertemu. Maklum sahajalah mereka juga sudah keluar dari kampung puluhan tahun lalu. Membina kehidupan bekeluarga dan tinggal juga merata-rata. Johor, Perak, Selangor, dan sebahagiannya masih menetap di Negeri Sembilan. 

Di penghujung petang itu, tuan rumah masih lagi menerima kunjungan satu keluarga kenalan lama kami sewaktu di kampung. Bang Mokhtar bukan sekampung, tapi tinggal di sebelah kampung kami. Beza umur kami dalam 10 tahun.  Petang itu dia membuka sirah keluarga, dari Rantau sampai ke Rembau. Hubung kait satu keluarga dengan satu keluarga mengikut jalur keturunan yang berangkai-rangkai. Sebahagiannya masih boleh diingat dan dikenali. Sebahagian lagi hilang begitu sahaja.

Apa pun dalam perbualan itu, ialah sejarah persahabatan bapanya dengan Datuk kami. Katanya hubungan mereka dahulu amat akrab. Bukan sahaja datang ziarah tapi bermalam dan bertukar-tukar pengetahuan mengenai agama.   

" Satu perkara sahaja yang abang ingat mengenai datuk kau, mengenai pergaulan mereka" 
" Apa dia bang" sampuk saya.
" Kalau Datuk kau tidur di rumah abang, dia selalu bangun dalam jam 4.00 pagi. Dia akan kejutkan abah abang. Salim, bangun, jangan lama sangat tidur, esok susah di sana (akhirat). Lepas tu mereka akan solat bersama".

Aku terfikir selepas 54 tahun selepas kematian Atok, pesanannya masih sampai lagi kepada cucunya. Apakah pesanan dan iktibar yang baik-baik yang boleh aku titipkan sehingga 60 tahun lagi pesanan itu sampai kepada cucu-cucuku pula.