Oct 6, 2026

Batu Kikir Jembatan Bosi

 

Minggu lepas aku ke Batu Kikir atau lebih tepat ke Masjid Batu Kikir. Hadir menziarahi jenazah sahabat lama Allahyarham Harun yang terikat sejak 44 tahun lalu.  Meninggal di rumah anak menantu selepas kembali ke tanahair selepas menunaikan ibadah umrah pada lima hari sebelumnya. 'Beranggoh' (menetap sebentar) di rumah anak menantu di Batu Kikir sebelum kembali ke rumah sendiri. 

Tidak menyangka aku berpeluang untuk solat jenazah dan menghantarnya ke kubur di Kg. Bukit Perah. Harun bukan menetap di Batu Kikir. Harun anak jati Kedah dan menetap di Alor Setar. Begitulah takdir yang ditentukan Allah, kita tidak pernah tahu jodoh, hidup dan mati, apatah lagi tanah perkuburan.

Kembali semula ke Batu Kikir, pekan kecil yang bukan asing bagi aku. 30 tahun dahulu, pekan ini hanya ada dua deretan kedai kayu dan bercampur dengan deretan kedai batu. Betul-betul tumbuh dan bertapak di simpang tiga arah ke Kg Tengkek, Kuala Pilah, arah jalan ke Timur akan sampai ke Simpang Pertang, Jelebu. Jalan menghala ke selatan akan ke Pekan Kuala Pilah. Tidak ada yang menarik di pekan kecil ini kecuali jembatan besinya yang dijadikan lirik lagu 'Apo Kono Eh Jang,' nyanyian Ally Nor dan Mastura terbitan tahun 1987.  

 Batu Kikir Jambatan Bosi                                                                                                                               Gulai Udang Sebelango                                                                                                                                 Cubo omak fikir dalam hati                                                                                                                           Ayo ni bujang sudah lamo. 

Jambatan Besi juga sering dikaitkan dengan penanaman harta kerajaan Melaka ketika Sultan Mahmud Shah berundur ke Pekan Pahang melalui Jalan Penarikan di Jempol. Walaupun tidak diketahui kesahihannya, sebahagian orang Batu Kikir sehingga hari ini masih lagi percaya mengenai kewujudan harta karun itu. 

Alang-alang jika sudah sampai ke Batu Kikir, lajaklah sedikit lagi ke Teratak Pendita Zaaba di Kampung Kerdas. Satu-satunya tokoh yang digelar Pendita. Sehingga kini tiada lagi gelar setinggi itu dianugerahkan kepada siapapun.  Bak kata Pantun:-

Pucuk paku di tepi batas                                                                                                                          Enak dimakan bersama maman                                                                                                                      Teratak Indah di Kampung Kerdas                                                                                                                Lahirnya tokoh alim budiman.  

Batu Kikir.

4.10.2026                                                                                       






Oct 2, 2026

BERSARA - Apa Kena Buat.

Tun Hasmah Ali telah meninggal dunia pada 28 September 2026 ketika berusia 100 tahun. Meninggalkan Tun Mahathir seorang suami dan pemimpin yang hebat. Takziah diucapkan kepada Tun Mahathir, semoga Tun tabah dan redha atas kepulangan isteri yang tercinta. Bukan mudah untuk memujuk hati, apatah lagi telah seiring dan sejalan selama 70 tahun.

Satu kelebihan Tun Hasmah yang perlu dicontohi ialah terus belajar walaupun sudah diusia lanjut. Ketika usianya menghampiri 70 tahun Tun masih berusaha belajar bahasa Perancis, mengambil ujian dan lulus. Tun mempelajari bahasa Perancis kerana ingin lebih mudah berkomunikasi dengan besannya Didier Roussille yang tidak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. Tun juga kembali belajar menggesek biola ketika usianya 16 tahun dan menyambung semula pada usia 86 tahun. Amat mengagumkan!.

Aku pula baru mencecah usia 66 tahun. Boleh dikatakan baru bersara. Tun Hasmah akan terus menjadi inspirasi aku untuk terus belajar perkara baharu terutamanya di zaman AI ini. Di Tiktok aku terbitkan siri Borak SiKemek, cerita seorang pesara dan kucingnya yang bernama Kemek. Kalau nak singgah, singgahlah sekadar melihat keupayaan seorang pesara tua yang baru mempelajari ilmu AI yang tiada dalam zaman kerjayanya. 

Rantau
2.10.2026.

 

Sep 16, 2026

Retro Satu Imbauan.

 

Kegilaan netizen sekarang memuat naik fesyen retro, mengingatkan aku kepada kehidupan tahun 60an.

Aku dilahirkan selepas tiga tahun negara meraih kemerdekaan. Kehidupan di kampung serba payah. Bekalan letrik dan air bukanlah idaman kami warga miskin di kampung. Cukup jika ada makan pakai dan tempat berteduh. Belum ada lagi istilah B40 seperti sekarang. Kehidupan hampir sama. Tidak ada perbandingan status. Masing-masing menjalani kehidupan kampung yang serba kekurangan dengan impian kesenangan selepas penjajah pergi.

Dilahirkan dalam rumah usang dengan bantuan Tok Bidan Kampung. Rumah yang beratapkan rumbia, berdinding pelupoh (kulit kayu), berlantaikan buluh. Hanya sedikit di bahagian serambi dan tengah ibu rumah berlantai papan. Keseluruhan rumah didirikan dengan 12 batang tiang bulat yang dialas dengan batu sungai. Rumah yang hanya ada dua tingkap dengan daun kayu yang hampir tanggal, bahagian serambinya tiada tingkap hanya ditutupi dengan kekisi dan batang kayu bulat yang diikat kejap. Pintu pun hanya menutup bahagian tengah rumah dan bahagian dapur. Itu pun hanya asal-asalan.
Kebanyakkan orang kampung bergantung hidup dengan bertani dan menoreh getah. Setiap tahun mereka sepakat turun ke sawah bergotong royong mencangkul dari satu lopak sawah ke satu lagi lopak sawah. Menabur benih, kemudian beramai-ramai 'mengubah' anak benih dari tapak semaian ke lopak sawah. Ia dilakukan berhari-hari sehingga semua kawasan sawah di kampung dipenuhi pokok padi. Hampir setiap rumah akan ada 'kui' atau peti tempat simpanan padi. Bila musim menuai tiba, mereka turun ke sawah 'mengetam' padi pulut untuk dibuat emping. Ia seakan pesta kecil di kampung. Ibu-ibu akan berkumpul untuk menumbuk emping beramai-ramai. Manakala anak-anak kecil berkejar-kejaran dengan gembira sambil meniup serunai daripada batang padi.
Tahun demi tahun angin perubahan itu menerpa begitu pantas. Tahun 70an, Rancangan Tanah Pinggir tanaman getah di belakang kampung sudah boleh ditoreh. Petak sawah pula dibajak menggunakan Kubota sewa. Rumah-rumah yang dahulu beratap rumbia telah berganti atap zing. Dahulu mereka cukup bangga jika memiliki basikal bergear. Ia diganti dengan motosikal Honda 50 k.k. atau 65 k.k. atau sekurang-kurangnya memiliki skuter Lambaretta terpakai. Lebih berprestij jika mampu membeli Vespa Piaggio yang menjadi idaman anak muda. Malah lebih gah jika memiliki kereta, paling tidak kereta Austin Cambridge atau Morris Minor. Seingat aku hanya ada tiga buah kereta sahaja dalam kampung aku waktu itu iaitu kereta jenama Hillman dan Morris Minor . Sebuah lagi kereta Peugout 404 milik Mat Bukit, pemandu teksi.
Tahun 1974, rangkaian bekalan air telah mula masuk ke kampung, tahun 1977, lampu mentol bulat dan lampu kalimantang telah mula bergantungan di setiap rumah. Bila Hari Raya tiba, lampu 'kelap-kelip' dipasang meriah di anjung rumah. Hampir setiap rumah sudah memiliki sebuah peti TV, berukuran antara 12" dan paling besar berukuran 24". Mereka sudah terlupa zaman berhimpit-himpit di rumah Haji Dahlan menonton tayangan filem Melayu dengan bayaran RM.0.10 sen pada setiap malam Sabtu atau duduk bersesak di atas tikar mengkuang di hadapan kedai Haji Ujang menonton wayang pacak Jabatan Penerangan.
Tidak terasa perubahan zaman yang begitu pantas, dari zaman lagu-lagu P.Ramlee dan Saloma kepada zaman kumpulan gitar rancak. Majalah Filem dan URTV antara penerbitan hiburan paling laris waktu itu dan sering meletakkan foto penyanyi A. Ramlie, Ahmad Jais, Kartina Dahari, Rafeah Buang, S. Jibeng sebagai paparan muka depan atau muka tengah majalah.
Gelombang kugiran ini juga telah menukar kebiasaan orang kampung. Dahulu jika kenduri kahwin diadakan, piring hitam diputar sepanjang majlis dengan alunan bacaan Al-Quran daripada Qari Dato Haji Ismail Hashim atau Qariah Dato Hajah Rogayah Sulong. Speakernya digantung di pokok getah atau rambutan dan boleh didengar jauh sepelaungan daripada rumah pengantin. Ia perlahan-lahan diganti dengan kumpulan kugiran yang menjadi pentas utama anak-anak muda kampung menyanyi dan mengasah bakat.
Ia pun tidak bertahan lama bila zaman kugiran berlalu dan diganti dengan penyanyi pop moden. Lahirlah penyanyi pujaan yang popular merentasi sempadan negara seperti Dato Sharifah Aini, Hail Amir, Uji Rashid, DJ Dave dan Salmiah Hassan. Pada masa sama artis-artis Indonesia juga turut menjadi pujaan ramai seperti Bob Tutupoly, Broery Marantika, Hetty Koes Endang dan Rhoma Irama.
Walaupun di zaman AI ini boleh mengembalikan nostalgia zaman retro dengan rekayasa fesyen, tetapi mustahil untuk kembali pada zaman sebenarnya. Kini aku masih menziarahi kampung, suasana 30 atau 40 tahun dahulu itu sudah hampir ghaib sepenuhnya. Tiada lagi kawanan burung bangau memutih bertenggek di belakang kerbau. Sawah padi juga telah kering kontang, separuh tanaman getah tidak lagi ditoreh, 'bondar' (taliair) telah lama tohor. Buah-buahan mewah masa kecilku seperti buah sentul, pulasan, kumbang nyiur, kelubi, jambu hutan dan tampoi sudah sukar ditemui. Apatah lagi penghuni kampung kini bukan sahaja manusia tetapi juga dipenuhi monyet dan kera.
16.9.2026