Ketika melepasi Hutan Rekreasi Berkelah, Gambang saya ‘perasan’ banyak gerai yang menjual buah durian. Kami membuat keputusan untuk singgah dan kalau ada yang ‘berkenan’, kami bercadang untuk membeli sebiji dua. Sekurang-kurang boleh juga menikmati durian yang berbuah ‘salah musim’ ini. Semasa saya kecil dahulu saya memang ‘hantu’ durian. Jika musim durian saya jarang menyentuh nasi. Saya boleh makan durian dari tujuh ke 10 biji sehari. Apatah lagi ketika itu di sekeliling rumah kami ada lapan batang pokok ‘durian kampung’, samada yang ditanam oleh nenek kami dahulu atau pun emak saya. Rasanya pun pelbagai, dari yang rasa sedikit pahit hinggalah kepada durian tembaga yang lemak manis rasanya. Tetapi setelah berusia ini saya hadkan kepada satu atau dua biji sahaja. Maklum sahaja lah kena jaga juga kesihatan diri.
Bercerita mengenai buah-buahan ini, beberapa bulan dahulu saya telah berkesempatan singgah di sebuah kampung bernama Kampung Bukit Cherana dalam Mukim Alor Limbat, Marang. Kampung ini terletak lebih kurang 25 km dari Bandar Marang dan 25 km juga dari Bandaraya Kuala Terengganu. Kampung ini telah dipilih oleh Jabatan Pertanian untuk menjayakan projek ‘homestay’. Ketika bersama-sama meninjau projek ini, Penghulu Mukim Alor Limbat telah mengajak saya melawat tapak bersejarah mengenai asal-usul nama buah duku yang kita makan atau tanam itu. Tanpa perlu menulis panjang saya perturunkan keterangan dari ‘papan penerangan’ tersebut.……………………
[ Mengikut sejarah, pokok Duku Terengganu merupakan sejenis pokok liar hutan yang mana telah ditemui oleh seorang hamba rakyat di Kampung Bukit Cherana, Marang sejak 300 tahun yang lepas. Menurut ceritanya buah pokok ini telah dipersembahkan kepada Sultan kerana di dapati ianya begitu manis dan lazat. Lantas selepas itu Tuanku telah menanyakan nama buah yang dipersembahkan.
Beliau kemudiannya, mengucapkan secara tergagap-gagap, ungkapan du…du…. du…..dan diikuti dengan ku, yang mana “KU” dalam konteks ini dirujuk kepada Tuanku. Maka bermula dari situlah Tuanku menamakannya sebagai buah duku……….]
Begitu lah cerita asal usul bagaimana buah ‘Duku’ mendapat nama. Pokok Duku yang ada di taman tersebut sudah berusia 250 tahun. Pokok tersebut merupakan generasi kedua pokok duku sebelum ini yang mati terbakar ketika zaman penjajahan Jepun. Penghulu Mukim itu juga mendakwa pokok itu bukan sahaja tertua di Terengganu tetapi juga tertua di dunia. Betul lah kata perbidalan Melayu ‘ Lautan Dalam Sudah Diselam , Tempayan Di Dapur Siapa Menyelam’. Yang bermaksud, pelbagai perkara diluar lingkungan kita sudah kita ketahui, tetapi kurang mengambil tahu perkara-perkara yang berada di sekeliling kita.
Jika ada yang teringin merasai nikmat tinggal di kampung, makan buah duku ‘tertua di dunia’ bolehlah datang bercuti di Homestay Kg Bukit Cherana............. :)