
Kadang-kadang saya naik ‘hangin’ juga, apabila kereta di porch dinaiki oleh ayam jantan. Cakaran kaki ayam jantan itu membuatkan cat kereta calar balar. Kalau ayam itu saya punya dah lama saya sembelih. Ayam jantan itu ayam jiran, mencari-cari tempat untuk ayam betina bertelur. Itulah feel ayam jantan yang sama-sama mencari tempat bertelur tetapi tidak bersama-sama menjaga anaknya apabila telur menetas. Mungkin ini boleh dijadikan renungan kepada kehidupan manusia yang lebih banyak ‘ragamnya’.
Sejak kecil saya sudah terbiasa mendengar kokokan ayam jantan. Sehingga kini kokokan ayam jantan adalah ganti jam penggera yang berkesan. Setiap pagi kokokan ayam jantan yang bersahut-sahutan menjadi alunan yang merdu.
Dulu emak saya sering bercerita mengenai ayam jantan yang terbang ke bulan. Hingga kini setiap kali bulan mengambang penuh saya sering tercari-cari ayam yang dikatakan ada di muka bulan itu. Ceritanya, seorang budak kecil yang teringin hendak makan sebiji pisang telah meminta kepada ibunya. “Mak, mak, adik nak makan pisang”. Oleh kerana ibunya sibuk membasuh kain di tepi sungai telah membalas, “Mintalah kat ayah”. Anak ini pun pergi pula meminta kepada bapanya. Kerana bapanya juga sibuk bekerja di kebun sayur, maka kata bapanya, "Mintalah kat emak". Berulang kalilah anak kecil ini merayu–rayu kepada ibu dan ayahnya untuk sebiji pisang. Anak kecil ini akhirnya kecewa dan keletihan. Mengadulah dia kepada ayam jantan kesayangannya. Jalak.
“ Jalak, Jalak, ayah dan emak adik tidak lagi peduli kepada adik. Adik hanya meminta sebiji pisang sahaja. Lapar benar perut adik. Sedih benar hati adik bila emak dan ayah tidak lagi peduli kepada adik”. Kata budak kecil itu dengan hiba sambil menitis air matanya. Tiba-tiba sahaja Jalak itu bersuara, “ Sedih benarlah hamba mendengarnya, jika begitu, hendak ke tuan hamba, hamba bawa ke satu tempat yang akan menjadi ingatan kepada orang yang terkemudian.”. Budak kecil itu pun menganggukkan kepalanya tanda setuju sambil berkata, “Tiadalah berguna lagi adik duduk di rumah ini kerana ibu dan ayah pun tak sayang lagi pada adik”. Maka si Jalak pun membesarkan dirinya berkali-kali dari saiz asalnya. Terbanglah budak kecil itu bersama si Jalak ke langit biru sambil melaung kepada ayahnya di kebun dan ibunya di sungai.
“Mak, mak, selamat tinggal mak, halalkan makan minum adik, adik terbang jauh, adik kempunan nak makan sebiji pisang. Ayah, ayah, selamat tinggal ayah, halalkan makan minum adik, adik terbang jauh, adik kempunan nak makan sebiji pisang. Jika mak dan ayah rindu lihatlah adik dilangit setiap kali bulan mengambang”.
Menyesallah ibu dan ayah ini, sambil melaung-laung supaya anak mereka kembali turun ke bumi sambil menjulang-julang sesisir pisang. Apakan daya nasi telah menjadi bubur. Anak yang kecewa ini telah membawa diri. Begitulah cerita dongeng yang mengaitkan ‘anak lari dari rumah’ kerana dahagakan kasih sayang ibu dan bapa. Mungkin juga kerana kesibukan bekerja sehingga tidak sempat menzahirkan kasih sayang kepada anak-anak. Sempena sambutan Hari Pekerja saya mengucapkan selamat bertugas demi kebaikan negara dan agama tanpa melupakan tanggungjawab kepada keluarga.