
Dua atau tiga hari yang lalu saya telah dikunjungi oleh seorang pemandu pelancong wanita. Jangkaan saya umurnya dalam 40an. Masih belajar bersungguh-sungguh untuk menguasai bahasa German.
"Saya tak berani lagi nak berbual dalam bahasa tu, mungkin sedikit masa lagi"
Dia percaya bahawa semakin banyak 'nilai tambah' yang dia ada semakin tinggi dan laris perkhidmatannya. Dia bercerita mengenai pengalamannya sebagai seorang pemandu pelancong. Saya hanya melongo. Banyak perkara yang saya kurang arif mengenai kerjayanya. Pelancong Barat katanya lebih berminat melihat alam semula jadi dan perkampungan tipikal Melayu.
"Kita sudah mula kehilangan kampung Melayu yang macam itu, rumah Melayu lama yang masih baik terjaga juga sudah semakin berkurangan. Semua orang sudah beralih untuh hidup maju. Tiada lagi hendak menggali dan mandi di perigi. Menanam padi menggunakan kerbau. Semua sudah berubah. Akhirnya tiada lagi yang akan kekal begitu"
Saya percaya bahawa apa yang dijangkakan oleh pemandu pelancong itu benar belaka. Permainan-permainan kanak-kanak se zaman saya juga sudah jarang dimainkan. Adakah lagi permainan galah panjang di kampung, permainan polis sentri, bola randas, gasing keling, melastik, laili tamplong, enjit-enjit semut, batu simbang, laga spedo, sorok-sorok, pondok-pondok, lawan biji getah, getah targen, ketenteng......................... terlalu banyak kalau hendak disebut. Adakah lagi ?.
Bukan sahaja permainan, resam budaya juga telah hilang satu persatu. Saya masih sempat menyaksikan pengantin yang bertutup mukanya waktu diarak di atas pengandar yang diperbuat daripada buluh sebelum majlis persandingan. Bersanding waktu siang dan malam. Berdikir (bukan dikir barat) hingga satu dua pagi. Lagu-lagu dikir ketika memukul rebana, sekarang sudah digantikan dengan pukulan kompang dengan lagu-lagu moden. Begitu juga adat istiadat mendirikan rumah dengan menegakkan tiang seri, lengkap dengan jampi serapahnya. Adat berlenggang perut bagi wanita 'bunting' sulong. Adat mencecah tanah bagi anak yang ibunya sudah habis masa berpantang.
Saya juga turut percaya kebolehan dan kepandaian orang tua dahulu sudah tiada lagi kepada generasi baru. Emak saya seorang pencari urat kayu yang tersohor di kampungnya. Setiap kali perempuan lepas bersalin akan membeli perkakasan mandi dan minum air akar kayu daripada emak. Sepanjang masa cerek di dapur kayu rumah kami ada air urat kayu. Akar kayu begitu mudah ditemui dalam hutan kecil di belakang rumah. Waktu itu harga seikat urat kayu hanyalah antara RM0.50 sen sehingga RM1.00 (tahun 1960-1970an). Kerana itulah agaknya tiada siapa yang ingin belajar. Hasil pulangannya tidak tinggi. Kini harganya sudah meningkat berkali-kali ganda. Mereka yang berpengetahuan mengenai herba boleh menjadikan mereka kaya-raya. Saya terpaksa mengakui saya hanya memiliki kekayaan yang hilang.