Petang itu kami telah mengulas mengenai prinsip kelima Rukun
Negara - kesopanan dan kesusilaan. Slot pendek selama 30 minit. Ia bukanlah
program yang sarat dengan pertanyaan dan jawapan. Hanyalah perbualan santai
antara saya dengan DJ Jaja, diselang-seli dengan lagu-lagu kotemporari.
Stesyen
radio bukan asing buat saya. Pada tahun 1997 sehingga tahun 2000 saya pernah
bertugas sebagai juruhebah di stesyen Radio 8 - Informasi Untuk Anda, di Angkasapuri. Bersiaran empat
jam setiap hari. Berkongsi ‘konti’ dengan Radio 7 dan Suara Islam. Radio 7
sudah pun bertukar nama kepada Asyik FM, stesyen radio khusus buat masyarakat
Orang Asli.
Malangnya selepas lapan tahun beroperasi,
stesyen radio ini telah ditutup pada penghujung tahun 2005. Radio 8 berkonsepkan
‘Talk Radio’. Lagu-lagu bukan menjadi keutamaan, ia lebih tertumpu kepada slot
bersama tetamu, penjelasan dasar-dasar kerajaan dan juga petikan ucapan
pemimpin. Konsep radio ini telah diteruskan secara lebih tersusun oleh Radio
Bernama pada tahun 2007. Satu-satunya radio yang mementingkan penyampaian berita
dan maklumat, kupasan isu dan slot bersama tetamu. Sesuai dengan tagline “Berita Pantas Info Berterusan”.
Bertugas
sebagai DJ atau juruhebah bukan semudah dan seseronok yang disangka. Banyak
pantang larang yang perlu diketahui. Penuh cabaran dan dugaan yang perlu
dilalui sepanjang masa. Ia bukan hanya habis di konti tetapi turut terlibat dalam
dunia wartawan. Mencari bahan di lapangan, menyunting dan menerbitkan rancangan
antara tugas-tugas wajib selain menyediakan
skrip semasa bersiaran.
Tugasan
sentiasa mengejar ‘date line’ yang tak kunjung padam. Bertugas semasa Hari Raya
sudah menjadi ‘kain basahan’ kami. Kepedihan hanya ‘terubat’ dengan panggilan
pendengar atau berkongsi rasa dengan DJ stesyen lain.
Kini
konti di radio lebih hebat teknologinya. Boleh dikatakan hampir automasi
sepenuhnya dengan perkakasan Dalet. Semuanya 'digital'. Tiada lagi mesin dan catridge. Lengkap dengan internet yang menghubungkan DJ
dengan peminat.. Dahulu kami hanya ada mesin pemutar pita di belakang kerusi DJ. Disebelah kanan panel DJ terdapat pemain ‘catridge’ untuk
memainkan jingle dan ‘ID station’ selain mesin pemain CD lagu.
Bila
sesekali kembali ke ‘konti’ teringat
kisah-kisah lama, rakan-rakan lama, abang-abang DJ senior yang dianggap sebagai
guru. Benarlah kata pepatah, tempat jatuh lagi dikenang apatah lagi tempat
bermain.
p/s Maaf tuan Megat pinjam foto. Ha ha hak.
p/s Maaf tuan Megat pinjam foto. Ha ha hak.