Minggu lepas aku ke Batu Kikir atau lebih tepat ke Masjid Batu Kikir. Hadir menziarahi jenazah sahabat lama Allahyarham Harun yang terikat sejak 44 tahun lalu. Meninggal di rumah anak menantu selepas kembali ke tanahair selepas menunaikan ibadah umrah pada lima hari sebelumnya. 'Beranggoh' (menetap sebentar) di rumah anak menantu di Batu Kikir sebelum kembali ke rumah sendiri.
Tidak menyangka aku berpeluang untuk solat jenazah dan menghantarnya ke kubur di Kg. Bukit Perah. Harun bukan menetap di Batu Kikir. Harun anak jati Kedah dan menetap di Alor Setar. Begitulah takdir yang ditentukan Allah, kita tidak pernah tahu jodoh, hidup dan mati, apatah lagi tanah perkuburan.
Kembali semula ke Batu Kikir, pekan kecil yang bukan asing bagi aku. 30 tahun dahulu, pekan ini hanya ada dua deretan kedai kayu dan bercampur dengan deretan kedai batu. Betul-betul tumbuh dan bertapak di simpang tiga arah ke Kg Tengkek, Kuala Pilah, arah jalan ke Timur akan sampai ke Simpang Pertang, Jelebu. Jalan menghala ke selatan akan ke Pekan Kuala Pilah. Tidak ada yang menarik di pekan kecil ini kecuali jembatan besinya yang dijadikan lirik lagu 'Apo Kono Eh Jang,' nyanyian Ally Nor dan Mastura terbitan tahun 1987.
Batu Kikir Jambatan Bosi Gulai Udang Sebelango Cubo omak fikir dalam hati Ayo ni bujang sudah lamo.
Jambatan Besi juga sering dikaitkan dengan penanaman harta kerajaan Melaka ketika Sultan Mahmud Shah berundur ke Pekan Pahang melalui Jalan Penarikan di Jempol. Walaupun tidak diketahui kesahihannya, sebahagian orang Batu Kikir sehingga hari ini masih lagi percaya mengenai kewujudan harta karun itu.
Alang-alang jika sudah sampai ke Batu Kikir, lajaklah sedikit lagi ke Teratak Pendita Zaaba di Kampung Kerdas. Satu-satunya tokoh yang digelar Pendita. Sehingga kini tiada lagi gelar setinggi itu dianugerahkan kepada siapapun. Bak kata Pantun:-
Pucuk paku di tepi batas Enak dimakan bersama maman Teratak Indah di Kampung Kerdas Lahirnya tokoh alim budiman.
Batu Kikir.
4.10.2026

No comments:
Post a Comment