Mar 10, 2009

Khutbah dan Buah Mangga


“Assalamualaikum……..”
“Assalamualaikum……..”
“Assalamualaikum........”
Laungan itu makin kuat
"Alaikumussalam". Saya menjengolkan muka di depan pintu yang baru terbuka.
"Nak apa"
"Nak pelam pok"
"Ambil le.."


Saya terus menutup pintu. Berdebab-debab bunyinya buah mangga jatuh ke bumi bertingkah dengan bunyi sorakan budak-budak berusia 7 hinga 12 tahun itu. Saya tak peduli sangat tentang buah mangga itu. Pokok itu pun bukan pokok mangga saya. Saya menyewa rumah ini pun dari seorang guru. Ada lima batang pokok mangga yang sentiasa berbunga dan berbuah pada musimnya. ‘Puas’ sudah kami sekeluarga menikmati buah mangga ini. Ada yang jatuh sendiri, ada juga yang saya kait dan agihkan kepada jiran-jiran keliling. Atau pun menungu makcik yang saya fikir sudah berusia 70 tahun tapi masih kuat menunggang basikal, bekerja di kilang keropok lekor di ujung kampung Rhu Muda itu. Dia sering berhenti bila melihat pokok mangga yang lebat buahnya ini. Masih kuat juga ‘nenek’ ini makan asam.

Apa kaitan dengan kumpulan budak itu. Tiga tahun dahulu budak-budak ini senyap-senyap sahaja mengait buah mangga ini. Menunggang basikal sambil seorang lagi berdiri mencapai buah mangga yang terjulai dibawah dahan. Ataupun terhendap-hendap dan kemudian melonjak pantas sebelum merentap dua tiga biji mangga muda. Sesekali anak saya menyorak dari dalam rumah, hilang sekejap, datang lagi, sorak.. hilang… datang lagi… sorak…... Akhirnya saya hilang sabar. Saya telah pergi ke kelompok budak-budak itu lebih kurang tujuh lapan orang. Ada dua tiga orang yang lari bertempiaran dan memecut serta hilang di hujung selekoh. Yang tinggal kelihatan ragu-ragu dengan kedatangan saya.

"Bukan saya pok"
"Bukan saya pok"
"Budok yang lari tuh.."

Saya tidak kisah alasan itu. Selepas memberi salam, sekurang-kurangnya mereka bersangka baik. Saya akhirnya berkhutbah pendek. Mengenai dosa dan pahala,

“Susoh ke mung nok minta izin..Dok tahu ke mencuri tu dosa. Dosa tu sokmo-sokmo masuk neraka. Tau dok makang haram tu masuk neraka. Kalau mung nok.... minta . Jangan dok minta. jangan mudoh-mudoh jadi pencuri..........bla..bla..bla

Nampaknya petang itu saya menjadi ustaz yang baru nak start. Singkat sahaja khutbah saya . Selepas bersalam-salam dan menepuk-nepuk bahu budak yang masih 'hijau' ini saya kembali kerumah. Kerana saya tahu kalau budak-budak ini dimarah dan dimaki atau enggan memberi, mereka tetap akan mencuri. Alhamdulillah , syukur selepas itu …….pasti ada salam setiap kali mangga itu berbuah.
p/s betul ke cakap Terengganu saya tu :)

Mar 8, 2009

Ya Rasulullah saw


Tanggal 12 Rabiul Awal datang lagi. Sekali lagi kita memperingati dan menyambut kedatangan hari kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad s.aw. Nabi pilihan Allah yang telah diangkat menjadi Rasul terakhir. Tiada lagi nabi selepasnya. Jika ada yang mengaku menjadi Nabi ataupun Nabi Melayu, janganlah terpedaya dengan pembohongan yang nyata itu.

Sewaktu kecil, pagi-pagi lagi kami akan memakai baju Melayu dan berarak dari surau-surau dalam kampung kami menuju ke masjid. Begitu meriah, bersalawat sepanjang jalan dan kemudian mendengar ceramah dari penceramah undangan. Sirah Rasulullah dikupas satu persatu dari kelahiran Nabi ditahun gajah, kehancuran tentera Abrahah, ibu susuan Nabi Halimatus Saadiah, dada Rasulullah dibedah dan disiram dengan air zam-zam. Sirah Nabi ini diulang-ulang saban tahun.

Tidak juga terlepas cebisan kisah Rasulullah dalam peristiwa Israk Mikraj. Bermula perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa sebelum menaiki buraq ke Sidratul Muntaha. Cuma kini Masjidil Aqsa yang terletak dibumi Palestin itu masih ditawan oleh tentera zionis. Masjid yang pernah menjadi kiblat pertama umat Islam. Masjid yang menjadi pintu kepada Rasulullah menaiki langit untuk menerima perintah solat. Masjid yang akrab dengan sejarah agama samawi tetapi masih terjajah. Ketika hayat Rasulullah, baginda menghantar beberapa pasukan tentera untuk membebaskan Masjidil Aqsa daripada tangan kerajaan Rom. Masjidil Aqsa hanya ‘terbebas’ dizaman pemerintahan Khalifah Umar Al-Khatab. Terjajah lagi kepada tentera salib dan dibebaskan semula oleh panglima Islam Salahuddin Al Ayubi pada tanggal 27 Rajab 583H bersamaan dengan peristiwa Israk Mikraj itu. Pasti yang mengkaji sejarah Islam tidak akan lupa kepada kata-kata keramat Salahudin Al Ayubi “ Siapa yang dapat menguasai Masjidil Aqsa maka mereka juga yang menguasai dunia”. Benarlah kata-kata Salahudin Al-Ayubi itu, hari ini bangsa Yahudi terus ‘menjajah’ Masjid Al-Aqsa dan menguasai percaturan ekonomi, politik, sosial dunia dengan azam untuk menghancurkan budaya bangsa lain dan menunggangi mereka untuk kepentingan zionis.


Semoga kita terus memperbanyakkan salawat keatas junjungan Nabi Muhammad saw. Meningkatkan ilmu dan amal, berdoa secara istiqamah dan yakin bahawa kemenangan itu tetap akan datang dan tiba sebagaimana janji Allah dan Rasulnya.
p/s Masih teringat semasa kecil 'berarak' menempuh debu dan lecah dijalan kampung sempena Sambutan MauliduRasul ialah............ Pok Li

Mar 6, 2009

Bukit Putus


Beberapa hari yang lalu laluan Bukit Putus telah ditutup kerana kejadian tanah runtuh. Kalau dari Seremban inilah laluan rentas paling pendek ke Kuantan atau ke Mersing. Seingat saya laluan ini jarang ditutup kerana tanah runtuh, kalau adapun kerana kemalangan jalanraya.

Laluan Bukit Putus tidaklah terlalu panjang, hanya lapan kilometer sahaja. Empat kilometer ke puncak dan empat kilometer lagi ke kaki bukit. Puncak bukit itu menjadi sempadan antara dua daerah, Seremban dan Kuala Pilah. Laluan berliku dan berbukit ini kurang disukai oleh ramai pemandu. Selekohnya tajam dan agak sempit. Mungkin ‘mengerikan’ bagi pemandu baru atau yang baru pertama kali melaluinya. Saya telah melaluinya bertahun-tahun lamanya ketika menetap di Kuala Pilah. Laluan yang sebahagiannya telah termasuk dalam catatan perjalanan hidup saya. Kereta yang saya pandu pernah berpusing 360 darjah ketika mengambil selekoh landai berhampiran pokok ‘tulang daing’di selekoh kedua mendaki puncak bukit ini. Syukurlah tiada kereta dan lori yang melintas. Kalau tidak mungkin sudah menjadi berita utama. Sekali lagi ketika pulang dari melihat anak bongsu yang masuk wad di Hospital Seremban, sebuah motorsikal yang dipandu laju tergelincir di garisan putih pembahagi jalan dan hampir menerobos hadapan kereta kami. Berbulan-bulan lamanya saya ‘trauma’ apabila berselisih dengan motorsikal di selekoh.

Apapun di kaki Bukit Putus inilah terletaknya Hutan Lipur Ulu Bendol yang terkenal itu. Hutan Lipur yang menjadi tempat perkelahan kami sekeluarga. Jika ada kesempatan dihujung-hujung minggu, kami akan membawa bekalan makanan, menghamparkan tikar dan berehat-rehat di tepi sungai yang jerneh airnya itu. Memerhatikan anak-anak kami yang masih kecil ketika itu meniti batu-batu dan bermain air yang dingin. Setelah mereka ‘terketar-ketar’ kesejukan barulah perkelahan itu tamat.. Nostalgia itu bagaikan baru berlaku semalam. Sudah sepuluh tahun saya tidak ‘menjengok’ hutan lipur ini. Sesekali kami melintasi kawasan ini sudah ada dua tiga bangunan baru dibina dikiri dan dikanannya. Adakah airnya masih dalam seperti dulu, ataupun sudah semakin cetek, entahlah.

Kini Lebuhraya Kuala Pilah-Seremban sedang dibina merentasi bukit-bukau itu. Masa untuk ke Seremban dan ke Kuala Pilah akan menjadi lebih cepat dan pantas. Laluan alternatif ke Pantai Timur ini akan lebih ramai penggunanya. Perjuangan penduduk Kuala Pilah sejak bertahun-tahun lamanya untuk ‘meluruskan’ jalan Bukit Putus telah pun tercapai. Saya percaya selepas lebuhraya ini siap Pekan Kuala Pilah akan berubah wajah dan lebih meriah. Pekan kecil yang bukan sahaja bersejarah tetapi turut melahirkan seorang tokoh politik negara yang disegani, Tun Ghaffar Baba (Allahyarham).