Sudah beberapa kali saya ‘mendarat’ di Pulau Kapas yang indah ini. Pulau yang bukan sahaja hampir dengan tanah besar tetapi turut memiliki panorama yang menarik. Flora dan faunanya antara yang terbaik di dunia. Sebahagian gambar-gambar pulau ini telah saya paparkan di Blog Bila Terakam. Kedatangan saya hanya menyertai kumpulan bergotong royong membersih pantai sempena Marang Kapas International Swimathon yang akan berlangsung pada 12 April ini. Kalau ada yang berminat hendak melihat kegigihan mereka merentasi laut sejauh 6.5 km dari Pulau Kapas ke Pantai Kelulut …… mai le ke Marang. Tahun lepas saya turut kagum apabila seorang OKU turut serta.Ketika melepaskan lelah berhampiran sebuah chalet sambil mengambil gambar dari sudut-sudut yang menarik sempat juga saya berbual dengan tuan punya chalet ini, Kayan namanya. Ibunya keturunan Swedish, bapanya keturunan Ceylon Tamil yang telah datang ke negara ini sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi sebagai guru geografi. Selepas negara berpisah dengan Singapura sebahagian keluarganya menetap di Singapura, manakala sebahagian lagi menetap di Malaysia.
Kayan dibesarkan di Pulau Pinang, kemudian merantau jauh keluar negara. Pergi kemerata-rata tempat di dunia ini dan pernah bekerja di Peranchis. Kembali semula ke Kuala Lumpur dan memulakan kerjayanya sebagai usahawan dan pada satu ketika begitu hampir memasuki dunia korporat. Namun saya tidak mengetahui apa punca sebenarnya kenapa dia datang ke Pulau Kapas. Cuma katanya, pertama kali dia menjejaki kaki ke pulau ini dia terus jatuh cinta… cinta pandang pertama. Selepas berada seminggu di Pulau Kapas Kayan pulang semula ke Kuala Lumpur. Tapi ada sesuatu yang menggamitnya untuk datang kembali. Kembali dengan satu niat, menikmati sepuas-puasnya kehidupan di pulau ini. Dari sehari, seminggu dan memasuki bulan-bulan berikutnya dia leka dengan kehidupan ‘barunya’. Setiap hari dia akan berjalan di gigi air, menyelam, mandi-mandi dan berbaring dipantai yang putih bersih itu. Dia telah menjadi ‘budak pulau’, dia sudah membuang kehidupan lamanya. Tanpa kot dan tie. Tanpa kereta, tiada lagi ‘kehidupan malam’, tiada lagi rumah mewah, penghawa dingin, tiada lagi kesibukan, tiada dan tiada lagi…… .Dia telah kembali ke alam semulajadi menikmati desiran angin, bunyi alunan ombak, serangga dan burung. Tidur berkelambu, mandi air bukit, tanpa penyaman udara, makan ala kadar. Kayan telah membuang kehidupan lampaunya untuk hidup sederhana. Tidak pernah sebelum ini dia bertemu kehidupan yang begitu mengasyikkan kecuali di pulau ini. Pulau Kapas.
Setahun menikmati kehidupan baru. Dia nekad mencagar rumahnya di Kuala Lumpur dan membeli kawasan chalet yang dia huni. Dia bertekad untuk terus berada di pulau ini selagi masih ada kudrat. Kalau anda ke Pulau Kapas pasti akan terjumpa seorang lelaki berkulit gelap, memakai kain tanpa jahitan diikat di pinggang dengan badan berlenggeng berdiri di tepi pantai. Di belakangnya ada sebuah chalet bernama KBC. Terlupa pula untuk bertanya apa maksudnya. Biarlah saya menekanya, mungkin bermakna Kayan Beach Castle :).
