
Saya tidak ‘rajin’ bercerita mengenai Bandar Marang. Kalau adapun posting saya mengenai asal-usul nama buah
Duku di Kg Bukit Cherana. Kita sering bercerita mengenai perkara di luar lingkungan, sehingga terlupa banyak perkara dan cerita yang menarik berlaku di sekitar kita.
Ketika saya mula berhijrah ke sini empat tahun dahulu saya tidak menjangka ia hanyalah sebuah pekan kecil jika berdasarkan pada namanya, BANDAR MARANG. Bandar ini hanya ada beberapa buah deret kedai. Sederet di jalan Dungun, sederet di jalan Wakaf Tapai dan sederet lagi di Jalan Pantai yang kini lebih dikenali dengan nama Marang Waterfront. Ketika malam, bandar ini bertukar kelam. Kalau bukan kerana ada ‘traffic light’, saya fikir tiada kenderaan yang berhenti di bandar ini.
Apa pun, ketika bertemu Prof Dato’ Mohamad Abu Bakar anak jati Bandar Marang di Bengkel
Local Agenda 21 Marang minggu lepas, saya lebih mengenali bandar ini. Dahulu Marang adalah perkampungan nelayan, tumpuan orang Cina mendirikan bangsal di tepi pantai tempat menjemur ikan. 'Orang hulu' menjual hasil-hasil kampung dengan perahu jalur. Ada yang menghilir jauh sehingga dari Kg Jenang (10 km dari Marang). Penduduk sekitarnya pula menangkap mengkabang, mengutip teritip, remis dan setiap tahun ada pesta air, mengejar itik dalam sungai dan memanjat tiang licin. Dua puluh atau tiga puluh tahun dahulu Bandar Marang dipenuhi oleh pelancung luar terutamanya 'Mat Salleh'. Setiap masa ‘mereka’ boleh ditemui di bandar ini, berjalan kaki, menaiki basikal atau menginap di sini seminggu dua. Kini ‘artifak’ itu sudah tiada, kampong tradisional Marang telah dipindahkan ke Sg Kerak, tiga kilometer dari lokasi asal. Hanya tinggal Kampung Alor Pak Bang, Kg Batu Merah dan Kg Paya yang tidak sampai 100 buah rumah. Deretan kedai beratap nipah sudah diganti dengan kedai batu. Masjid, Pasar Besar, Balai Polis, Bangunan Mara, Kompleks Pentadbiran dan Perpustakaan Awam semuanya ‘arca’ baru yang menghiasi Bandar Marang. Sedikit demi sedikit ia telah menghilangkan tarikan ‘mat saleh’ untuk datang melihat keunikan Bandar Marang.
Walaupun Marang belum berubah 360°, tetapi sudah mula membangun. Waktu malam, lampu-lampu neon berwarna-warni sudah indah terpasang. Lampu ‘high mask’ sudah menukar wajah kelam Bandar Marang kepada suasana yang lebih ceria. Bandar Marang telah berubah. Nasi lemak dahulu hanya berharga ‘se amah’ kini sudah naik sehingga ‘tiga amah’. Dulu bila saya mula berhijrah ke Marang. Kawan-kawan sering berkata, “untunglah kau Li, barang makan murah, ikan murah…..”. Lalu saya teringat kata seorang kawan; “tiada barang yang murah di sini, kalau ada pun air laut” :).
Nota :
Rajin : Loghat Terengganu seerti dengan selalu
Seamah : RM0.50
Tiga amah : RM1.50
Prof Dato' Mohamad Abu Bakar adalam mantan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya dan penyandang kursi Tun Abdul Razak, Universiti Ohio, Amerika Syarikat, 2005-2007