Besok umat Islam akan menyambut Hari Raya
Qurban. Sekali lagi kita kembali ke kampung, lebuhraya dan jalan raya
kembali sesak. Saya mengambil kesempatan
ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Eid Adha kepada rakan taulan dan rakan
siber.
Minggu seterusnya akan diikuti pula kepulangan para jemaah haji ke
tanahair. Insya Allah kita doakan mereka kembali dengan haji mabrur. Akan
terdengar lagi cerita-cerita misteri mengenai diri mereka di tanah suci Makkah.
Seorang penonton rancangan ‘Tanyalah Ustaz’ musykil tentang apa petandanya, sewaktu
beliau menunaikan haji dahulu melihat sekumpulan anjing di Masjidil Haram.
Adakah anjing di Makkah?.
Saya mulakan dengan cerita misteri ini hanyalah sebagai pembuka
kata. Kerana ramai sungguh daripada kaum Melayu ini yang amat gemar dengan
cerita-cerita mistik dan hantu. Sehinggakan cerita karut marut ini telah
begitu popular dan mengaut untung yang berbaloi kepada majalah, akhbar tabloid,
dan filem yang mendokongnya.
Saya juga dulu, ulangi ya... dulu adalah peminat kisah-kisah hantu dan
misteri jugak. Pelakon watak hantu dan misteri yang tersohor di Radio Singapura
tahun 60an adalah Jah Lelawati. Hilaiannya dalam ‘Bangsawan di Udara’ memang
menyeramkan. Apatah lagi rumah kami memang terpencil dan di pinggir hutan. Jah Lelawati adalah penulis skrip dan pelakon
bangsawan yang mempunyai ramai pengikut di Malaysia, Brunei dan sebahagian
kawasan di Indonesia. Pernah juga berlakon dalam filem Anak Dara (1966) bersama
Mat Sentol.
Tahun 1980an sehingga tahun 1990an saya ‘terperangkap’ pula dengan
cerita Siri Bercakap Dengan Jin (SBDJ) tulisan Tamar Jalis. Kisah misteri SBDJ yang mengandungi 284 siri
ini terus ditulis sehingga tahun 2005. Sebahagiannya telah dibukukan. Terjual
melebihi sejuta naskhah, jauh mengatasi
jualan buku tulisan Sasterawan Negara. Satu sahaja yang amat menarik berkaitan
cerita SBDJ ini ialah hubungan rapat seorang cucu dengan datuknya. Plot SBDJ
boleh dijadikan kajian mengenai kehidupan misteri bangsa Melayu yang memang
misteri. Penuh dengan dendam, pemujaan, sering ingin menunjukkan kelebihan, menduga-duga,
bermuka-muka, cepat terasa dan pada masa sama memaparkan watak putih datuk
Tamar Jalis, yang penyabar, kuat semangat, istiqamah, tegas dan amanah mewarnai
dunia misteri Melayu itu.
Kegilaan saya mengenai kisah misteri dan ghaib ini sudah kendur
dengan peralihan usia. Lebih banyak misteri alam ini pula yang perlu
diperhatikan. Sesungguhnya alam ini lebih misteri daripada segala yang misteri.
Kisah-kisah dan firman Allah dalam Al-Quran
mengenai perkara misteri dan ghaib telah banyak dikaji. Pelbagai jumpaan dan
ilmu baru telah dizahirkan oleh saintis dan juga ilmuwan lain. Marilah kita bersama-sama
pula kembali melihat kisah-kisah ghaib dan misteri yang dinyatakan dalam
Al-Quran, mudahan-mudahan kita tergolong dalam golongan mereka yang berfikir
dan berjaya di dunia wal akhirah. Amin.
5 comments:
saya lain pulak, dulu2 tak percaya cerita misteri/hantu sehinggalah diri sendiri dan keluarga yang kena, baru sedar memang banyak ilmu-ilmu mistik/hitam dalam masy. Melayu kita.
Al lavendri
Boleh cerita dalam blog tuan. Kongsi pengalaman.
masa kecik2 dulu selalu dengar cerita mistik ni.. kisah orang bunian...
Salam Pokli..
Selamat hari raya Aidil Adha..
Koi dulu pun layan jugek bercakap dengan jin te..
masa tu umur baru satu digit, tapi memang minat membaca..
lepas tu siri tok awang ngah..
tapi menjelang usia belasan tahun koi mula membenci kisah2 misteri kuikui
Salam Eid Al-Adha, Pok Li..
Saya juga peminat Siri Bercakap Dgn Jin..sekarang ni baca jg bila baca Mastika, entahlah kdg2 percaya,kdg2 tidak..apa2pun makhluk ghaib ni memang ada sbb dlm al-quran ada sebut makhluk jin..wallahua'lam
Post a Comment