Sabtu lepas saya ke Sri Menanti. Menyaksikan sambutan Hari Keputeraan YDP Besar Negeri Sembilan ke-64. Sudah 12 tahun saya tidak menjejak kaki ke Istana Besar Sri Menanti. Istiadat bermula di padang Seri Menanti dengan pemeriksaan kawalan kehormat disudahi dengan pertunjukan 'akrobatik' bermotosikal PDRM. Mulai pagi itu rakyat Sri Menanti berhimpun di padang. Acara rakyat akan berterusan sekurang-kurangnya seminggu. Persembahan pentas di Tasik Londah Naga, permainan gasing, acara melukis, pertandingan memancing, bola sepak antara kerabat dan aktiviti jual beli. Pekan Sri Menanti yang kecil itu kembali rancak bak kata talibun:
Yang capik datang bertongkat
Yang buta teraba-raba
Yang tuli leka bertanya
Yang kecil terambin lintang
Yang jarak tolak-tolakan
Yang pendek bertinjau-tinjauan
12 tahun itu juga lanskap istana telah berubah. Dua bangunan baru, Balai Rong Seri dan Dewan Bankuet gah tersergam dibina bersebelahan Istana Besar Sri Menanti. Balai Rong Seri lebih luas, berupaya memuatkan 1,000 orang tetamu bagi upacara penyampaian darjah, bintang dan pingat kebesaran. TV berlayar besar dilekatkan di dinding, jelas merakam setiap detik perjalanan majlis penganugerahan. Tidak lagi sesempit ruang Balai Rong Seri di dalam istana. Potrait YDP Besar dan Tuanku Ampuan terdahulu digantung di dinding Balai Rong Seri melonjak nostalgia lampau mengenai salasilah sistem beraja di Negeri Sembilan
Usai sahaja majlis penganugerahan, tetamu beralih menikmati santapan tengahari di Dewan Bankuet. Dewan ini dihiasi dengan lampu kristal berkerlipan dan hiasan dinding yang menyerlah. Makan tengahari itu lebih berselera lagi dengan dendangan penyanyi Aisyah. Koleksi lagu-lagu 60an dan lagu kotemporari begitu menyentuh hati termasuk lagu Tunang Pak Dukun (Pak Dukun Bertunang pulo... Bertunang Si Anak Daro.... )
4 comments:
salam pok li
dapat anugerah ke? tahniah
Belum rezeki. Datang berjalan-jalan. :)
Seronok juga ye dpt jemputan ke istana:) bilalah nak merasa:)
Hana Faza
Insya Allah akan tiba masanya tu.
Post a Comment