
Dikesempatan ini juga saya mengucapkan selamat Tahun Baru Hijrah kepada semua rakan dan taulan, rakan-rakan blogger yang masih aktif menulis ataupun yang sudah ‘bersara’ tetapi masih rajin membaca blog rakan-rakan yang terus beraksi di alam maya ini. Doa saya semoga kalian dimurahkan rezeki, umur yang berkat, dikurniakan keturunan yang soleh dan solehah, kewarasan dan keluasan berfikir, mudah melaksanakan urusan dunia begitu juga urusan akhirat. Mudah-mudahan juga amalan tahun lepas dan akan datang sebagai amalan yang diredhai oleh Allah swt yang telah menciptakan langit dan bumi dan segala isinya serta menjadikan manusia sebagai sebaik-baik ciptaan. Insya Allah semoga kita juga dikurniakan kebaikan dunia dan kebaikan akhirat. Amin.
Kebetulan pula, selepas beberapa minit sahaja memasuki tahun baru hijrah, pasukan bola sepak negara telah berjaya mengotakan impian mereka untuk meraih pingat emas yang diidam-idamkan sejak 20 tahun dahulu. Sebagai rakyat Malaysia saya turut berbangga dan mengucapkan tahniah kepada pemain-pemain bola sepak negara yang telah mengharungi perlawanan yang penuh getir sepanjang mereka berada di Ventiane. Sudah tentu nama K.Rajagobal jurulatih pasukan bola kebangsaan ini akan menjadi lebih tersohor selepas ini. Dari sebuah pasukan yang tidak diberi pengharapan tinggi tetapi kemudian pulang dengan membawa gelaran 'juara'.
Saya bukanlah peminat fanatik bola sepak yang sanggup menunggu berjam-jam di hadapan tv ataupun menghabiskan wang dan masa untuk menyaksikan perlawanan bola sepak di stadium. Malah tidak juga bersengkang mata dan bangun pagi hanya semata-mata untuk menonton pasukan bola yang saya minati. Saya lebih berminat untuk menyaksikan permainan badminton daripada bola. Namun demikian saya tidak terlupa untuk mengikuti perkembangan bola sepak negara. Malaysia sudah pernah mencipta nama besar di Asia Tenggara sebagai pasukan bola yang digeruni dan disegani. Saya berkesempatan menonton siaran langsung Malaysia lawan German di Sukan Olimpik Munich tahun 1972. Walaupun Malaysia ketika itu tewas 3-0 dan menjadi pasukan ‘kerdil’ dalam kumpulannya, tetapi ia tidak menjadi ‘pasukan belasahan’ seperti yang terjadi kepada pasukan bola sepak Timor Leste. Malaysia tetap hebat sehingga setiap kali Pesta Bola Merdeka diadakan, Malaysia tetap unggul sebagai juara yang sering bertemu di peringkat akhir dengan pasukan bola sepak Korea Selatan yang sudah jauh majunya sekarang.
Pemain-pemain pasukan bola sepak zaman 60an sehingga 80an terus menjadi lagenda yang sukar dicari ganti. Nama-nama seperti Ghani Minhat, Santokh Singh, Soh Chin Aun, Isa Bakar, M.Chandran, R.Arumugam (penjaga gol) dan Mokhtar Dahari adalah tonggak pasukan bola sepak negara yang sentiasa menjadi sebutan dikalangan peminat sukan ini. Budak kecil sehingga kepada orang dewasa, mereka tetap kenal dan kagum dengan ‘bintang’ tersebut. Hari ini saya sendiri tidak mengingati siapakah nama pemain-pemain bola sepak yang mewakili negara atau yang mewakili pasukan bola sepak negeri-negeri. Begitulah merosotnya pemerhatian saya kepada perkembangan pemain-pemain bola sepak negara seperti merosotnya mutu pasukan bola sepak negara selepas tahun-tahun 90an.
Saya tetap teruja untuk melihat semula kecemerlangan pasukan bola sepak negara seperti zaman saya kecil dahulu. Adakah penantian saya itu sudah benar-benar berakhir dengan menyaksikan kebangkitan dan kemenangan pasukan bola negara di Sukan Sea di Vietnam …………………….. Wallahuallam.