Mar 20, 2009

Kampung Ku Dua Tingkat


Musim cuti telah hampir sampai ke penghujungnya. Ramai daripada keluarga atau anak-anak yang bercuti di kampung akan kembali semula ke kediaman atau asrama sekolah masing-masing. Besok kami juga akan menghantar semula anak bongsu, Afif pulang ke sekolahnya di Kuala Terengganu. Ketika kami tinggal di Kuala Pilah dan di Bukit Beruntung dahulu, kami tidaklah menunggu cuti persekolahan yang panjang untuk pulang ke kampung. Cukuplah dengan cuti hujung minggu. Samada menikmati masakan emak yang masih 'ada' lagi ketika itu ataupun hanya menjengok kakak-kakak yang masih lagi tinggal di kampung selepas ketiadaan emak dan abah. Tambahan pula kami hanya empat adik beradik yang masih hidup, saya anak bongsu dan lelaki tunggal dalam keluarga. Tiga orang abang dan seorang kakak saya telah meninggal dunia dalam kepayahan musim Jepun yang penuh penderitaan. Makan nasi ubi, lauk ubi, kuih ubi dalam tahun-tahun yang juga digelar sebagai 'zaman ubi kayu'. Kerana itu wujud juga perasaan cemburu melihat rakan-rakan lain yang memiliki abang. Nampaknya saya tidaklah 'bertuah' seperti Afif yang ada abang dan kakak.

Sewaktu anak-anak saya kecil dahulu saya sering menguji kefahaman mereka tentang sesuatu perkara dengan menulis karangan. Oleh kerana mereka sering dibawa balik ke kampung saya telah meminta mereka menulis karangan yang bertajuk "Kampung ku". Dalam ramai-ramai anak saya itu ada juga yang menulis ‘ Bapa saya selalu membawa kami balik kampung. Jarak kampung saya lebih kurang 60 km. Kampung saya sangat cantik. Kampung saya dua tingkat. Kami selalu tidur beramai-ramai di tingkat bawah………....

Alamak....., rupanya anak saya yang ketika itu sudah pun di darjah empat masih tidak lagi memahami apa maksud 'kampung'. Kampung yang dia faham ialah rumah ‘datuk dan nenek’nya. Bukannya sebuah kampung tradisional yang mempunyai nilai-nilai kejiranan, hubungan silatur rahim antara keluarga yang berangkai-rangkai jurai keturunannya. Alahai anak ku.....

Mar 17, 2009

Bokor


Malam tadi saya agak terlewat masuk tidur daripada jadual biasa. Selalunya selepas solat Isyak saya akan merebahkan saja badan yang beratnya hanya kurang lebih 58 kg yang ideal dengan ketinggian 165 cm ini. Mungkin juga saya telah terperangkap dengan keasyikan menonton cerita di TV. Bermula dengan cerita Jula-Juli di TV9, sehinggalah menonton filem Bujang Lapok di TV2 lakonan tokoh legenda filem Melayu, P.Ramlee. Sebuah kisah masyarakat yang ‘dibalut’ dengan plot yang menarik, percintaan uda dan dara, kahwin paksa, krisis keluarga, isu hantaran, beban hutang, perempuan meminang lelaki dan terselit juga dicelah-celahnya babak-babak ‘sindiran’ terhadap sifat ‘kepura-puraan’ manusia. Kisah filem yang masih tetap ‘sesuai’ walaupun sudah ‘lusuh’ diputar.

Secara kebetulan kisah itu diputar kembali ketika musim kenduri kahwin sedang rancak sekarang. Kenduri kahwin pun sudah tidak lagi mengira hari. Pendek kata setiap hari ada sahaja jemputan. Tidak termasuk keluhan rakan-rakan yang tidak ‘tertahan’ dengan banyaknya jemputan sehingga lima enam kenduri sehari. Terpaksa juga memilih-milih mana satu jemputan yang hendak diutamakan. Itulah ‘penyakitnya’ kalau ramai yang mengenali kita dan ‘sakit’ jugalah poketnya. Cuma di Terengganu ini, janganlah merasa pelik, jika dua tiga majlis ‘walimatul urus’ yang kita hadir tuan rumahnya ‘menolak’ untuk menerima wang ketika bersalam. Kerana tujuan mereka mengadakan kenduri itu atas niat bersyukur atau bersedekah sahaja. Terutamanya bagi perkahwinan anak lelaki. Begitulah adat yang berbeza-beza. Lain padang, lainlah belalangnya. Lain negeri lainlah adatnya.

Sepertimana juga adat di kampung saya yang hampir menjadi wajib menyiapkan 'bokor’ kepada pasangan pengantin baru. Bokor ini biasanya dibawa oleh pasangan pengantin ke rumah bapa dan emak saudara atau saudara mara terdekat selepas berkahwin. Ia sebagai budaya kenal mengenal antara pasangan dengan keluarga kedua-dua belah pihak. Ketika saya berkahwin dahulu emak sudah pun mengacau ‘penganan’ sebulan lagi sebelum tarikh kenduri. Penganan ini kemudian diisi dalam sebuah bekas yang disebut 'bokor'. Ketika pergi berziarah kerumah bapa dan ibu saudara, bokor ini akan dibawa bersama sebagai 'buah tangan' kepada tuan rumah. Ketika kami balik bokor itu akan dipulangkan semula dan 'penganan' tadi diganti pula dengan 'duit'. Simboliknya 'pasangan muda' perlu datang ke rumah keluarga yang lebih tua untuk merapatkan hubungan dan belajar adat 'bertandang' ke rumah orang, janganlah datang 'berlenggang' sahaja bawalah sedikit 'buah tangan'. Begitu juga duit balasan yang diberi tidaklah sebanyak mana tetapi juga adalah sebagai simbolik tanda doa restu, sokongan dan sedia membantu untuk memberi nasihat dan buah fikiran kepada 'pasangan' yang baru sahaja melalui alam rumah tangga itu.

Hari ini adat budaya membawa bokor ke rumah saudara mara sudah semakin pupus. Pasangan pengantin pula selepas majlis kenduri sudah ‘tergopah-gapah’ untuk pergi berbulan madu. Selepas berbulan madu dan menghabiskan cuti, mereka terus sahaja kembali bekerja. Mungkin selepas berbulan-bulan berkahwin ada yang masih belum kenal bapa saudara dan emak saudara atau sepupu sepapat pihak lelaki atau pihak perempuan. Apo nak dikato, zaman dah berubah dunia dah maju.
Nota:
penganan - dodol
bokor - bekas bertutup berbentuk bulat dan bertangkai untuk meletakkan makanan

Mar 15, 2009

Kejutan


Minggu lepas saya telah mengucapkan selamat hari lahir kepada isteri tersayang. Sebelum ini jarang-jarang saya peduli tentang sambutan hari kelahiran itu. Sewajarnya selepas lama merentasi alam perkahwinan, sekali-kali perlu juga membuat kejutan untuk mengeratkan tali perkahwinan yang sudah memasuki tahun ke 24. Tahun hadapan ialah sambutan Jubli Perak. Mungkinkah ada sambutan yang hebat-hebat,…… masih lagi dalam pertimbangan :). Apa pun tempoh yang begitu lama amat mengujakan kami untuk terus mengharungi bahtera rumah tangga sebagai sepasang suami isteri yang kekal aman dan bahagia. Perkahwinan yang telah dilalui dalam pelbagai ragamnya. Ada ketikanya panas, ada ketikanya dingin, bergelombang dan tenang. Semoga doa kedua ibu-bapa kami, saudara-mara dan rakan taulan pada hari perkahwinan kami dahulu telah dimakbulkan Allah. Semoga tiada ujian berat yang datang selepas ini, maklum sahajalah kita tidak mampu menjangka apa yang akan berlaku ‘waimma’ seminit kehadapan.

Bersempena sambutan hari lahir isteri, kami telah juga menghabiskan masa di hujung minggu lepas dengan meronda-ronda dan singgah dibeberapa buah ‘Rumah Batik’ di Kuala Terengganu. Akhirnya ‘berkenan’ juga untuk membeli kain sutera Terengganu yang terkenal halus buatannya itu. Hadiah hari lahir yang ke 49 tahun. Kejutan kali kedua dari suami yang jarang-jarang membelikan hadiah itewww. :0

Tentulah kejutan demi kejutan itu berlaku sepanjang hidup kita. Pelbagai bentuk dan pelbagai ragamnya. Cuti sekolah sudah bermula sekarang, 41 tahun dahulu ketika musim begini saya menerima kejutan pertama dalam hidup. Ketika usia saya mencecah lapan tahun sepupu lelaki sebelah keluarga emak mati lemas di Sungai Kundur. Jarak umur kami hanya tiga tahun. Musim-musim cuti sekolah seperti ini adalah masa-masa yang paling dinanti-nantikan kerana arwah Aman akan pulang sehari dua ke ‘kampung’. Oleh kerana tiada sepupu lelaki lain di sebelah keluarga emak, maka ikatan kami begitu rapat sekali. Pada masa-masa lain kami akan ‘bercuti’ pula ke Kg Kundur bertemunya yang kebetulan tinggal bersama Atok dan Nenek. Bertahun-tahun selepas itu saya rasa kehilangan ‘dia’ terutamanya bila datangnya cuti sekolah seperti sekarang. Walau pun masih ramai lagi sepupu lelaki saya sebelah keluarga abah, saya masih tidak lupa kepada wajahnya yang ceria, setiap kali dia ‘pulang’ kami akan bermain ‘kojar kojir’, memanjat pokok ‘beweh’, atau sama bermain-main dengan sepupu perempuan ‘lai li tamplong’, ‘enjit-enjit semut’, laga biji getah, bermain kapal terbang kertas………..

Namun begitu saya masih tetap terkejut, ketika di tempat kerja teringat nak makan lauk itu nak makan lauk ini, bila balik makan tengahari lauk itu sudah terhidang pun di atas meja. Mungkin juga kerana sudah lama 'serumah' gelombang pemikiran saya dan isteri dah jadi satu……. :)



Nota :

Kojar-Kojir - Berkejar-kejaran

Beweh - Jambu Batu