Jan 25, 2014

Sabar Menanti 2

Kesabaran itu ada hikmahnya. Pada hari saya  bertolak ke Kota Kinabalu saya dijamu sepuas-puasnya  oleh Yahya dan Anna rakan di Labuan menikmati kuih cakoi bersalut mentega dan kaya. Bukan di Restoran Sabar Menanti tetapi di restoran lain. 

Walaubagaimanapun kenikmatan kuih cakoi itu sudah jauh merosot berbanding  dahulu. Mentega dan kaya tidak lagi setebal seperti sepatutnya, ia disalut nipis dan dipotong kecil. Mungkin kerana harga barang asas yang sudah naik atau pun peniaga cuba memaksimakan untung. Ada kemungkinan juga pewaris perniagaan itu tidak benar-benar menguasai ‘resepi asli’ makanan tersebut.

Mengekalkan rasa asli sesuatu makanan amat penting. Ia sebagai kuasa ajaib untuk mengekalkan tarikan pelanggan ke premis mereka. Pada tahun 1980 ketika mula-mula saya berkenalan dengan Bandar Kuantan, gerai nombor 6 di tepi sungai Kuantan yang dikenali sebagai ‘benteng’  itu menjual lychee kang  yang amat enak rasanya. Rasa asli resepinya begitu mengujakan dengan tambahan buah prune dan telur puyuh. Dijual pada harga RM1.60. Harga yang ‘boleh tahan’ juga pada masa itu.

Dua atau tiga tahun selepas itu, bila berkunjung ke Kuantan sekali lagi saya bertandang ke gerai yang sama. Memesan Lychee Kang yang ‘umpph’ ini.  Amat mengecewakan,  beberapa bahan utama telah dibuang daripada resepi aslinya.  Buah lychee, prune dan telur  puyuh sudah tiada lagi.

“Kenapa sudah kurang bahannya bang?”

“Harga barang dah naik lah dik… tak boleh nak buat macam dulu… tak boleh nak tampung ”

Nampaknya isu barang naik ini telah berlaku secara berulang-ulang. Tiada noktahnya. Cuma saya melihat perbezaan  corak pemikiran antara peniaga dahulu dan sekarang. Peniaga dahulu mungkin lebih peka terhadap nasib pelanggannya. Mereka rela mengekalkan harga untuk membolehkan pelanggan menikmati makanan yang sama walaupun mutu dan keperisaanya berkurangan. Berbanding peniaga sekarang bukan sahaja menaikkan harga lebih mahal tetapi rasa makanannya tidaklah sesedap mana.

Sudah tentu usia saya yang melepasi separuh abad ini telah menikmati pelbagai jenis makanan dan masakan. Ada jenis makanan yang sudah atau sukar ditemui lagi untuk dinikmati. Teh Haji Hashim yang paling enak pernah saya minum tidak akan ditemui lagi. Kerana resepi campuran tehnya berkubur bersama tuannya. Pada masa yang sama puluhan resepi baru muncul dan dicipta. Tidak kurang juga resepi yang menjadi warisan telah hilang tanpa ada penggantinya.

Namun begitu ayam goreng Kentucky Fried Chicken (KFC) adalah contoh resepi warisan yang telah diniagakan secara komersil. Ia diperkenalkan oleh Kolonel Harland David Sanders  pada tahun 1930. Ayam goreng KFC  hampir sahaja boleh dinikmati di mana-mana di seluruh dunia. Ada juga restoran makanan Malaysia yang meniru konsep franchise tersebut tidak mencapai kejayaan. Antaranya ialah Restoran ‘Satay Ria’ yang pernah dibuka  sehingga ke London pada pertengahan tahun 1980an.


Begitu pun saya telah menikmati dua ketul ayam ‘crispy’, sekotak kentang goreng, teh ‘o’ panas secara percuma di KFC Lapangan Terbang Labuan. Habuan daripada MAS untuk saya terus ‘sabar menanti’ kerana jadual penerbangan dari Labuan ke Kota Kinabalu ditunda dari jam 7.40 petang kepada 10.30 malam. Adoyai…….

8 comments:

nohas said...

Kalau bertandang ke KK lagi, bolehlah mencuba cakoi bersalut mentega & kaya..

Yang dulu tak sama dgn yg sekarang..betul tu KFC OR je yg kekal asli..

Pok Li said...

nohas

Di KK menikmati seafood di kawasan Segarama. Ummph.

Kakzakie Purvit said...

1. Beruntunglah mereka yg lahir lebih separuh abad tahu nikmat makanan sekarang tak sama dgn dulu.

2. Kini konon kempen turunkan harga barang utk tempoh 6 bulan. Boleh percaya ke? Cakap mudah tapi yg menjual akan rela hati dan sanggup ke?

3. KFC maintain resepi tapi kakak rasa dulu masa kakak sekolah harga jauh lebih murah dari sekarang..

Pok Li said...

Kakzakie

1.Ada juga makanan baru yang saya tak teringin nak makan kerana faktur keterujaan dah berkurangan. ha ha hak.

2. Boleh turun jika kerjasama pemborong dan peniaga tak ambil untung yang berlebihan. Ini mungkin lebih kepada social responsibility lah. Penguatkuasaan juga penting. Jika faktor ini seimbang harga barang lebih kompetetif seperti negara maju atau seperti jiran kita Singapura.

3.Harga tak boleh nak elak kenaikkannya. Boleh jadi jauh berbeza dah dengan zaman kita dahulu. Hadap je lah....

BUNDA said...

Assalamualaikum...
Salam ukhwah...singgah ziarah kesini...

Pok Li said...

BUNDA

Terima kasih kerana sudi bertandang.

Kamsiah yusoff said...

saya rindu roti canai yg dimakan dizaman kanak2 dulu...roti canai yg bulat dan tebal dan tetap lembut hingga ke petang...yg buat roti canai tu,bila dia 'rasa' tepung gandum dgn tgnnya,dia dah tau roti canai akan menjadi atau tak..
sampai skrg..saya tak jumpa lagi roti canai mcm tu..

Pok Li said...

kamsiah
Benar ia hanya tinggal kenangan