Sep 23, 2009

Takbir Raya

Berhari raya di kampung macam dulu-dulu jugak. Petang itu kami berbuka beramai-ramai di hari terakhir Ramadhan. Jika dahulu hanya kami adik beradik yang menikmati ’lomang’ dan ’rondang’, ’Rebusan’ dan ’gulai lomak cili api’. Kini keluarga kami sudah semakin besar, sudah ada ipar duai, anak-anak, anak saudara dan juga cucu. Kami sudah menjadi ’orang tua’. Pusaka itu sudah bergilir. Abah dan emak sudah lama meninggalkan kami. Kalau mereka masih hidup tentu mereka ’riang’ melihat generasinya yang ’berkembang biak’. Petang itu kami ’makan besar’ sementara menanti pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Akhirnya sekali lagi malam itu kami bertakbir dari rumah ke rumah.

Seingat saya takbir dari rumah ke rumah ini sudah berlangsung lama. Sejak dari rumah kelahiran saya sebelum kami berpindah ke rumah baru. Rumah ’marhaen’ itu bertiang bulat beralas batu sungai, berlantai buluh dan berdinding ’pelupuh’. Lantai papan hanya ada di serambi, ruang tengah rumah dan dapur. Tiada bilik, bila malam tirai kain akan dilabuhkan. Atap rumah juga sering bocor. Setiap kali bocor abah akan menganyam atap baru daripada daun rumbia. Bila malam, bulan dan bintang boleh diintai dari ’tabir layar’ yang seakan tergantung di hujung bumbung. Walaupun untuk ke rumah kami terpaksa melalui ’lorong tikus’ rombongan takbir itu tetap akan tiba juga.

Rombongan takbir ini tidak ramai. Asalnya hanya ada tujuh lapan orang sahaja. Bertakbir Hari Raya dan berdoa. Memohon keampunan kepada yang hidup dan juga kepada yang sudah tiada, kekal amal ibadah, sihat tubuh badan, dimurahkan rezeki, dipohon juga kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Kemudian rombongan ini dihidangkan pula dengan juadah kuih-kuih lama, lemang bersama rendang, penganan(dodol), sirat, wajik, kuih bangkit, kuih bahulu, samprit, dan putu kacang. Berbual-bual ala kadar, sambil menggulung rokok pucuk atau menghisap rokok Gold Leaf, Star, Rough Rider atau rokok Tiga Lima. Biasanya jam 11 malam takbir di tujuh rumah itu usai.

Kini pengikut rombongan ini sudah semakin besar. Daripada tujuh lapan orang, kini sudah mencecah ke 25 orang. Alhamdulillah, ramai anak muda yang menjadi ahlinya. Apa pun bila kehidupan sedikit mewah di pertengahan tahun 70an, hidangan pula sudah mulai pelbagai, setiap rumah pasti ada hidangan ’istimewa’. Ada yang menghidangkan lontong, ada yang menghidangkan mee goreng, mee kari, laksa atau sate. Air juga sudah beraneka jenis daripada kopi, teh, sirap bandung, air bikarbonat hinggalah ke cendul. Begitu juga jenis kuih, sudah beragam. Kuih ’dulu-dulu’, samprit, putu kacang, sirat, wajik, bahulu dan penganan sudah jarang dihidang. Takbir Raya tetap rancak seperti dahulu, dan perut-perut mereka kembali ’memboyot’ seperti selalu...............

12 comments:

wanita mutalib said...

salam PokLi ~

masih ada ya takbir rumah ke rumah?

seronoknya :)

Pok Li said...

Alhamdulillah. Semoga ia terus kekal dan berpanjangan

Abu Aiman said...

Salam Pok Li,

Kecik2 dulu malam raya abah akan balik rumah kadang2 pukul 1 pagi, ikut takbir rumah ke rumah. Kalau giliran rumah kami awal, legaa boleh kemas awal2. Sekarang pun masih diteruskan, tapi abah ikut kemampuan dia takat mana larat.

mesti sekarang ni musim open house kat malaysia kan...

ikan emas said...

PokLi,
Salam raya dan maaf zahir dan batin.
Seronoknya raya stail PoKli ni. Sy dah lama tak tgk macam tuu..jemputla datang ke rumah.

sha said...

Salam Aidilfitri

Pok Li said...

Abu Aiman
Sekarang rumah pun dah bertambah. Sampai juga 1 pagi.

Hari-hari open house. Kenduri kahwin pun ramai

Ikan emas
Yup, gitulah. Ambe dah balik Marang dah...

sha
Selamat Hari Raya kembali.

zara aluwi said...

Generasi muda sekarang ni, kalau tak digalak kan mereka takbir dari rumah ke rumah, pasti ianya akan berkubur begitu sahaja suatu hari nanti.

Perkara2 seperti gotong royong mengacau dodol, membakar lemang sudah pupus. Lemang yang terjual di tepi2 jalan kebanyakkannya diusahakan oleh warga Indon. Dan jangan marah apabila dikatakan nanti.. lemang dan dodol berasal dari Indonesia.

Pok Li said...

zara aluwi
Nak kata tak kena ( kata orang Terengganu). Kita betul-betul nak jadi tuan. Takut nanti tuan yang tak bertanah.

nohas said...

Selamat Hari Raya, Pok Li.

Kat kpg teman, bertakbir rumah ke rumah dah lama takde..Tapi masih ada lagi generasi muda yg boleh menyediakan lemang dari A to Z, single-handedly sebab dia orang nogori & lemang tu memang sedap, lemak berkrim disukai ramai.

Maaf zahir & batin.

Pok Li said...

nohas
Kalau kena caranya memang sodap. Saya pun tak tahu masak lemang. Tau makan aje. Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin.

al-lavendari said...

saya rindu betul dengan kuih sirat (kesirat). langsung tak jumpa raya kali ni. tapi nasib baik ada "beluluk" ... terlupa kejap pada sirat.

di taman saya juga ada takbir rumah ke rumah, tapi tak ramai 7-8 orang je, sebab pecah kepada 3 kumpulan. kalau tak pecah, mungkin subuh baru selesai.

Pok Li said...

al-lavendari
Saya pula mengidam nak makan kuih bombai. Bukan sahaja tak jumpa tapi tiada yang boleh lawan keenakan masakan arwah mak saya.

Memang kalau tak pecah memang penat dan meletihkan. Sesuai untuk 10 buah rumah aje.