Oct 25, 2012

Alam Misteri


Besok umat Islam akan menyambut Hari Raya Qurban. Sekali lagi kita kembali ke kampung, lebuhraya dan jalan raya kembali sesak.  Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Eid Adha kepada rakan taulan dan rakan siber.

Minggu seterusnya akan diikuti pula kepulangan para jemaah haji ke tanahair. Insya Allah kita doakan mereka kembali dengan haji mabrur. Akan terdengar lagi cerita-cerita misteri mengenai diri mereka di tanah suci Makkah. Seorang penonton rancangan ‘Tanyalah Ustaz’ musykil tentang apa petandanya, sewaktu beliau menunaikan haji dahulu melihat sekumpulan anjing di Masjidil Haram. Adakah anjing di Makkah?.

Saya mulakan dengan cerita misteri ini hanyalah sebagai pembuka kata. Kerana ramai sungguh daripada kaum Melayu ini yang amat gemar dengan cerita-cerita mistik dan hantu. Sehinggakan cerita karut marut ini telah begitu popular dan mengaut untung yang berbaloi kepada majalah, akhbar tabloid, dan filem yang mendokongnya.

Saya juga dulu, ulangi ya... dulu adalah peminat kisah-kisah hantu dan misteri jugak. Pelakon watak hantu dan misteri yang tersohor di Radio Singapura tahun 60an adalah Jah Lelawati. Hilaiannya dalam ‘Bangsawan di Udara’   memang menyeramkan. Apatah lagi rumah kami memang terpencil dan di pinggir hutan.  Jah Lelawati adalah penulis skrip dan pelakon bangsawan yang mempunyai ramai pengikut di Malaysia, Brunei dan sebahagian kawasan di Indonesia. Pernah juga berlakon dalam filem Anak Dara (1966) bersama Mat Sentol.

Tahun 1980an sehingga tahun 1990an saya ‘terperangkap’ pula dengan cerita Siri Bercakap Dengan Jin (SBDJ) tulisan Tamar Jalis.  Kisah misteri SBDJ yang mengandungi 284 siri ini terus ditulis sehingga tahun 2005. Sebahagiannya telah dibukukan. Terjual melebihi sejuta  naskhah, jauh mengatasi jualan buku tulisan Sasterawan Negara. Satu sahaja yang amat menarik berkaitan cerita SBDJ ini ialah hubungan rapat seorang cucu dengan datuknya. Plot SBDJ boleh dijadikan kajian mengenai kehidupan misteri bangsa Melayu yang memang misteri. Penuh dengan dendam, pemujaan, sering ingin menunjukkan kelebihan, menduga-duga, bermuka-muka, cepat terasa dan pada masa sama memaparkan watak putih datuk Tamar Jalis, yang penyabar, kuat semangat, istiqamah, tegas dan amanah mewarnai dunia misteri Melayu itu.

Kegilaan saya mengenai kisah misteri dan ghaib ini sudah kendur dengan peralihan usia. Lebih banyak misteri alam ini pula yang perlu diperhatikan. Sesungguhnya alam ini lebih misteri daripada segala yang misteri. Kisah-kisah dan firman Allah  dalam Al-Quran mengenai perkara misteri dan ghaib telah banyak dikaji. Pelbagai jumpaan dan ilmu baru telah dizahirkan oleh saintis dan juga ilmuwan lain. Marilah kita bersama-sama pula kembali melihat kisah-kisah ghaib dan misteri yang dinyatakan dalam Al-Quran, mudahan-mudahan kita tergolong dalam golongan mereka yang berfikir dan berjaya di dunia wal akhirah.  Amin.

5 comments:

Unknown said...

saya lain pulak, dulu2 tak percaya cerita misteri/hantu sehinggalah diri sendiri dan keluarga yang kena, baru sedar memang banyak ilmu-ilmu mistik/hitam dalam masy. Melayu kita.

Pok Li said...

Al lavendri
Boleh cerita dalam blog tuan. Kongsi pengalaman.

zino said...

masa kecik2 dulu selalu dengar cerita mistik ni.. kisah orang bunian...

Don Balon said...

Salam Pokli..
Selamat hari raya Aidil Adha..

Koi dulu pun layan jugek bercakap dengan jin te..
masa tu umur baru satu digit, tapi memang minat membaca..
lepas tu siri tok awang ngah..
tapi menjelang usia belasan tahun koi mula membenci kisah2 misteri kuikui

nohas said...

Salam Eid Al-Adha, Pok Li..

Saya juga peminat Siri Bercakap Dgn Jin..sekarang ni baca jg bila baca Mastika, entahlah kdg2 percaya,kdg2 tidak..apa2pun makhluk ghaib ni memang ada sbb dlm al-quran ada sebut makhluk jin..wallahua'lam