Jul 26, 2012

Selangkah Ke Hadapan

Seperti hari-hari biasa. Pulang daripada kerja melalui jalan persekutuan merentasi mukim Labu, Nilai, Dengkil sebelum ke Putrajaya. Pergerakan agak perlahan dan hanya boleh memecut selepas Bandar Baru Salak Tinggi sebelum membelok ke Kota Warisan. Hanya sedikit kelainan di bulan Ramadhan ini gerai dan pondok menjual juadah berbuka puasa bercambah di  sepanjang jalan. Segala macam air minuman dan segala macam juadah tersedia dijual.Sediakan sahaja wangnya!.

Setiap kali bulan Ramadhan tiba, semangat masyarakat Islam untuk berniaga begitu menggebu sekali. Sukar dipercayai bahawa begitu ramai yang mempunyai bakat berniaga. Kalau tidak menjual makanan pun mereka mengambil kesempatan untuk menjual bunga api. Malangnya semangat itu tidak lama. Habis sahaja bulan Ramadhan, gerai dan pondok itu tidak lagi kelihatan.

Sudah sewajarnya sebagai sebuah negara yang ramai penganut agama Islam, sebahagian besar pendapatan orang Islam harus kembali kepada orang Islam. Satu cara yang paling mudah ialah melalui dunia perniagaan. Kerana itu Rasulullah SAW menganjurkan orang Islam berniaga. Menurut baginda 9/10 daripada sumber rezeki adalah di bidang perniagaan. 

Saya percaya rezeki tersebut bukan sahaja kembali kepada peniaga Islam itu sahaja tetapi untuk kebaikan keseluruhan umat Islam. Ia ibarat satu pusingan ajaib, kerana keuntungan perniagaan tersebut akan dikenakan zakat perniagaan. Zakat ini apabila dikumpul di Baitulmal mampu dijana kembali untuk membantu umat Islam yang berhak. Malah sudah ada usaha membesarkan ekonomi Islam seperti yang dirintis oleh Jawhar dengan sokongan Baitulmal. Institusi ini telah melaksanakan projek kecil berimpak besar dengan membina Wakaf Mart di masjid-masjid di negara ini antaranya Wakaf Mart di Masjid Kariah Panchor Jaya dan Masjid Ampangan di Seremban. 

Jika sebahagian besar penganut Islam membeli barangan keperluan di Wakaf Mart ini ia bukan sahaja menggerakkan ekonomi Islam secara harmoni tetapi masjid juga kembali berfungsi mencantumkan urusan dunia dan akhirat secara barakah. Jika budaya Islam ini kembali ditatang sebagaimana selayaknya, tidak mustahil tanah-tanah wakaf juga boleh dibangunkan untuk pembinaan hotel, pusat perubatan dan ruang perniagaan.

Zaman kecemerlangan ekonomi Islam telah dibuktikan pada zaman Khalifah Umar Abdul Aziz sebagai 'Bapa Ekonomi Islam'.  Ekonomi Islam begitu memuncak dalam dua tahun setengah pemerintahannya. Sehingga dicatat dalam sejarah bahawa tiada sesiapa yang layak untuk menerima zakat pada zamannya. Malahan kerana keadilan dan kekukuhan ekonominya sehingga serigala dan kambing pun boleh berkawan. Lihat di SINI.

Nota:
Jawhar ialah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji diisytiharkan penubuhannya pada 27 Mac 2004 bersamaan 6 Safar 1425H. Penubuhan jabatan ini merupakan titik permulaan dalam usaha Kerajaan Persekutuan membantu memajukan harta umat Islam sebagai sumber kekayaan dan kekuatan ummah pada masa hadapan.

Jul 24, 2012

Memilih Orang Berjaya

Memilih 'orang berjaya' rupanya bukan mudah. Kami telah menemui 62 calon yang layak. Ditemuduga dan ditimbangkan untuk diterima. Daripada jumlah itu hanya empat yang akan dipilih dan tiga lagi simpanan. Pastinya mencari yang terbaik, antara kelulusan, personaliti dan bakat. 

Tugasan yang akan disandang bukan saja memerlukan kecerdasan pemikiran, keupayaan berkomunikasi dengan baik tetapi kemahiran tambahan seperti kebolehan berbahasa, menulis dan tahu penggunaan media baru dan komputer. 

Tidak ramai yang memenuhi kriteria ini. Ada yang memiliki kelulusan baik, tetapi gagal pada perawakan. Percakapan tidak teratur. Tahap keyakinan diri rendah. Malah ada yang agak berlebihan berpakaian sehingga seperti 'model'. Tidak kurang juga yang memiliki etika rendah, masuk tanpa ucapan salam atau selamat pagi, lebih teruk melipat lengan baju sehingga siku. Pengetahuan am yang lemah. Kurang berusaha untuk mengetahui bidang tugas yang dipohon dan perihal organisasi. Tidak termasuk yang salah (atau sengaja ?) mengisi keputusan sijil di Portal SPA sehingga nampak begitu hebat, tetapi sijil asal tidak begitu. (Ingatan: calon-calon sebegini akan terus ditolak).

Emosi kami juga sering tergugah dengan rayuan daripada calon-calon yang berharap mereka ditawarkan pekerjaan ini. Ada menceritakan kesusahan kehidupan, ibu bapa bercerai, anak sulung yang terpaksa mengemudi keluarga, dan segala macam derita. Ia perlu juga ditimbangkan walaupun beberapa spesifikasi jawatan terpaksa diabaikan.

Berbelas calon juga yang sudah dikenalpasti layak. Tapi masih di peringkat saringan. Mereka tetap bergantung kepada kelebihan masing-masing, selain daripada kriteria kemiskinan, peningkatan taraf hidup ia juga bergantung kepada tuah. Siapa yang terpilih kami ucapkan selamat datang. Memilih 'orang berjaya' ini juga telah membawa saya ke Putrajaya, Sandakan dan Tawau menjelang Ramadhan.

Jul 19, 2012

Terbang Lagi

Minum kopi pahit setinggi 30,000 kaki dari  aras laut sambil mencelup biskut di tepi tingkap separa bujur kapal terbang amat mengasyikan. Kepulan awan di bawah perut kapal terbang kelihatan seperti ombak putih di lautan luas. Beberapa kepulan awan membentuk rangkaian pulau-pulau. Di kejauhan mega merah di kaki langit sedikit demi sedikit hilang apabila matahari lenyap ditelan malam. Masya Allah.

Pada kelajuan 850km/jam,tiada getaran kuat yang boleh mengocakkan air kopi yang diletakkan di atas meja kecil yang rata itu. Wrigth Bersaudara - Orville dan Wilbur mungkin tidak menduga bahawa pembuatan kapal terbang jauh lebih maju sekarang. Asas yang mereka letakkan dalam memenuhi dunia fantasi manusia untuk terbang telah dikotakan. Di zamannya kapal terbang hanya mampu terbang beberapa minit sehingga menjangkau ke beberapa jam. Kini kapal terbang bukan sahaja bertambah laju serta lama masa penerbangannya tetapi lebih ramai orang dan muatan yang boleh diterbangkan.

Cerita fantasi mengenai jentera terbang ini bukan baru. Dalam epik tua seperti Hikayat Sri Rama, sudah wujud tentera udara Ramayana. Ramayana ialah watak jahat yang melarikan Sita, isteri kepada Sri Rama.  Dalam peperangan membebaskan Sita, anak sulung Ramayana bernama Inderajit telah menggunakan jentera terbang melawan tentera Sri Rama yang di bantu oleh Hanuman (Beruk Besar).Tentera udara Ramayana ini akhirnya tewas juga kerana kecekalan dan semangat juang Sri Rama dan Laksamana yang memiliki pelbagai lagi kesaktian  ala animasi Dragon Ball..

Di dalam kepercayaan agama Islam kita juga tidak terlepas daripada dunia penerbangan. Ia dikisah dalam peristiwa Israk Mikraj apabila Rasulullah SAW dinaikkan ke Sidratul Muntaha dengan Buraq. Buraq ini diriwayatkan sebagai makhluk haiwan yang bermaksud 'kilat cahaya'. Pergerakannya teramat laju iaitu selangkah ia bergerak menjangkau sejauh mata memandang.

Penerbangan yang pantas masih menjadi igauan manusia hari ini. Cerita-cerita berkaitan UFO terus mendapat perhatian. Negara-negara maju seperti Amerika dan Britain terus membuat kajian berkaitan 'piring terbang' yang didakwa datang dari planet yang jauh dari bumi. Penemuan UFO sejak puluhan tahun lalu terus menjadi rahsia ketenteraan dan kajian sains yang tidak terungkaikan. Pembikinan filem berkaitan galaksi  dan Bima Sakti terus meraih keuntungan terutama filem-filem yang melibatkan keganasan 'alien' seperti  Star Wars  (1999), Pandorum (2009) dan Prometheus (2012).

Teknologi pesawat terbang ini sudah berlaku 100 tahun lalu dengan ratusan inovasi. Adakah 100 tahun akan datang manusia itu sendiri yang akan terbang. Jalan raya lebih lengang  dan angkasa kita pula penuh dengan jentera kecil yang terbang bagaikan 'kelkatu'. Wallahualam. 

Jul 17, 2012

Cerita Sambal

Foto Ehsan www.hazila.blogspot.com
Petang tadi saya telah turun ke dapur. Membuat sambal buah binjai yang ditiru bulat-bulat daripada resepi sebuah blog SEKILAU One. Tidak terlalu sukar. Hanya bakar seinci belacan, dua biji cili api, dan sesudu kecil gula pasir. Kesemua bahan ini ditumbuk kemudian ditambah beberapa hiris buah binjai yang sudah cukup masak. Kemudian ditumbuk lagi sehingga bahan-bahan tadi sebati. Petang tadi juga saya telah makan nasi melebihi had biasa. Hanya kerana berlaukan sambal binjai dan sekeping 'telur mata'.

Dua minggu lepas ketika di SMK Bekok, Segamat selepas mengadili sketsa 1Malaysia antara sekolah-sekolah  saya telah dijemput untuk menikmati jamuan tengahari. Selain daripada lauk pauknya yang enak, saya juga terlebih makan kerana Sambal Jawanya yang menyelerakan. Sambal Jawa ini juga mudah untuk disediakan. Saya belajar membuatnya ketika masih bujang dan tinggal serumah di Kerinchi dengan rakan-rakan keturunan Jawa dari Tanjung Karang dan Sekinchan 32 tahun dahulu.  

Ambil segengam ikan bilis yang telah dibersihkan kemudian digoreng sampai garing. Kemudian ikan bilis tersebut ditumbuk dengan beberapa biji cili api berwarna hijau sehingga lumat sebelum ditambah air asam jawa secukupnya. Sudah lama saya tidak membuat sambal ini.

Cara-cara membuat sambal juga berbeza-beza dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Ada masanya mengikut keperluan setempat. Ketika saya mengikuti kumpulan media dalam menyelami kehidupan nelayan di Kuala Kedah pada tahun 2004, saya telah diperkenalkan dengan 'Sambal Nelayan'. Rasanya menyengit sedikit, tetapi mampu mengurangkan mabuk laut kepada mereka yang baru dengan kehidupan laut. 

Sambal Nelayan ini disediakan ketika makan tengahari di atas tongkang bersama lauk sotong dan ikan segar yang baru dijaring. Penyediaannya juga mudah. Dua ulas bawang putih, dua biji lada besar dan seulas cili padi, sedikit gula dan garam ditumbuk sehingga lumat.  Aroma bawang putih ini seakan penawar dan apabila makan di tengah laut yang panas terik dan berangin,memang terasa segar dan merangsangkan.

Sudah tentu juga penyediaan sambal-sambal ini berbeza dengan sambal nasi lemak. Sambal nasi lemak bukan sahaja memerlukan lebih banyak bahan tetapi perlu juga dimasak lebih lama. Keenakan sambal nasi lemak boleh mempengaruhi penggemarnya. Sesetengah penggemar nasi lemak ada yang sanggup datang beratus-ratus kilometer atau bangun lebih awal kerana bimbang terlepas kenikmatan sambalnya.  Begitulah kegilaan manusia....... Salam Ramadhan dan Maaf Zahir Batin.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails