Jan 25, 2009

Mr Sugu

Jika bergunting saya akan pergi ke kedai gunting di Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu. Kedai gunting ini diusahakan oleh sekumpulan anak-anak Melayu dan memang popular di bandar ini. Pelanggannnya tidak pernah putus dari pagi sehinggalah ke malam. Pelanggannya bukan sahaja dari Bandar Kuala Terengganu tetapi menjangkau sehingga ke Daerah Marang. Ramai yang datang bergunting di kedai ini kerana potongannya yang kemas dan mampu mengikut fesyen semasa. Golongan berusia macam saya tidak lah mementingkan fesyen. Cuma mahu kelihatan lebih kemas dan layanan yang mesra sahaja :)

Pada tahun 1988, saya telah bertukar dari Georgetown ke Kuala Pilah. Setiap kali saya berpindah ke tempat baru saya akan menghadapi masalah mencari kedai gunting yang sesuai. Bukanlah saya cerewet sangat, tetapi kepala saya yang mempunyai ‘pusar’ dihadapan, jika tersilap gunting, rambut akan tegak ‘tercacang’. Selepas bertukar satu dua kedai gunting, barulah saya menemui sebuah kedai gunting yang sesuai dengan citarasa saya, Kedai Gunting Sugu.

Selepas dua tahun berlanggan, Mr Sugu telah mengeluarkan notis kepada pelanggannya, bahawa mulai bulan hadapan kedainya akan berpindah ke Jalan Sungai Dua, menghala ke Pasar Besar Kuala Pilah.

“Kenapa pindah, Mr Sugu?”
“Biasalah encik, tuan punya kedai, dia mau renovate ini kedai, dia sendiri mau berniaga. Saya kena pindah,…. sewa juga, tapi ……sendiri jugak kena renovate, RM 10,000 jugak habis’

Di tempat baru, kedai Sugu tetap menjadi tumpuan utama penduduk Pekan Kuala Pilah. Mungkin kerana perkhidmatannya yang pantas, kerana setiap pelanggan yang bergunting hanya mengambil masa antara 15 ke 20 minit sahaja. Dia dibantu oleh seorang pekerja yang juga anak saudaranya. Dalam sehari tak kurang dari 20 hingga 30 orang pelanggan yang bergunting.. Selepas dua tahun di tempat baru, sekali lagi Sugu mengeluarkan notis untuk berpindah lagi.

“Sugu, tuan kedai mau ambil balik ke?
‘Tak adalah encik, saya pindah sendiri punya kedailah. Saya beli itu rumah kedai, tiga tingkat,…. tingkat satu, tingkat dua saya sewa pejabat jugak. Bawah…..saya punya kedai bagi dua sama itu kedai ‘pet shop’. Saya sewa atas RM 500, ….tingkat satu RM 800…. kedai bawah RM 800.00. Saya bayar bank RM 2,400 satu bulan. Tiga tahun jugak, lepas tu ada kurang sikitlah …..sampai habis bayar, 15 tahun.

Saya kagum dengan visi dan misi seorang tukang gunting yang bernama Mr Sugumaran itu. Kedai guntingnya mampu mengaut pendapatan kasar melebihi RM 150 sehari hanya dengan bayaran RM 6 ‘satu kepala’ atau lebih kurang RM 4,500 sebulan,. Mr Sugu telah mencipta kekayaan secara senyap. Beberapa tahun sebelum saya berpindah ke Kuala Lumpur, Mr Sugu sudah membuka satu lagi perniagaan makanan, ‘Restoren Daun Pisang’ yang diurus oleh isterinya. Sebelum itu dia juga sudah mampu memiliki sebuah rumah Semi-D yang luas kawasannya. Walaupun sudah lama saya tidak menemuinya, saya masih terbayang pancaran matanya yang bersemangat untuk berubah dari seorang tukang gunting biasa kepada seorang tukang gunting ‘luarbiasa’.

p/s Saya juga anak Tukang Gunting.

11 comments:

Tirana said...

Semangatnya kuat dan kental.. Itulah impiannya..dari tukang gunting biasa mejadi tukang gunting luar biasa...dan dia tidak hiraukan anak-anak ayam yang berada di sekelilingnya..impiannya cuma nak jadi helang....

razor said...

haha..

menarik.

saya juga pilih kedai gunting. kalau kl, kebanyakan kedai gunting india. kalau nak fesyen mentroseksual tu kena gi saloon (mahal la pokli, tak sanggup saya, rambut bukannya banyak mana. hehe)

ada satu kedai di selayang ni yang selalu saya pergi. mula2 memang la susah nak arahkan dia gunting mcmana. dah dia tahu, pendek depan, pendek tepi je.

senang2 sekarang. pakai mesen no 2 semua.

malas nak bergaya2 dah. dah tua dah. haih. kalau kat kg senang pulak pokli, 2 abang, adik saya semua tukang gunting.

Jawahir said...

Pok Li memberi saya idea yg cukup bernas, BERNIAGA.

Dalam hati saya, ada niat untuk berniaga.

Tapi itulah, darah melayu, takut ambil risiko. Keturunan pun tidak ada yg berniaga.

Kalau saya buka kedai ***** nanti, Insha Allah saya akan jemput Pok Li rasmikan..=)

p/s: Nak tanya skit, Pok Li ada anak nama atiqah ker?

AzD said...

Salam Pok Li. Sori haritu masuk 'rumah' orang tak kasi salam dulu main langgah aje.

Masa kecik2 dulu saya dan ayah juga ada kedai gunting regular. Saya panggil kedai gunting air-cond, sebab itu aje kedai gunting yang ada air-cond kat bandar Taiping masa tu. Sampai uncle india tu kenal family saya.

Di Sydney ni rata2 mahal. Saya tengah simpan rambut nak potong bulan 3 nanti masa balik malaysia kejap, hehe.

en_me said...

me ader beli buku 'my barber a millionaire'.. uhuhu

cutokperol said...

salam pok li,
wah nampaknya ke arah tukang gunting lak selepas buka kedai uhum.. di chabang tiga dua minggu lepas...gitu la pok li.hidup ni untuk cari makan,cari pitis Dan byk dah cerita pok li yg menarik sejak jumpa polis di bank kat KT tempohari serta cerita hj ishak(Pesera jab.pen)dan hari ni lak MR Sugu.wah..wah mungkin besok ada lagi kot. Syabas..pok li.

Brahimnyior said...

Pokli, tukang gunting pun penting dalam membina tamadun manusia.

Mr Sugu melambangkan kumpulan minoriti yang berdaya usaha mengubah nasib diri dan keluarganya.

"Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan..", kan?

Pok Li said...

Tirana
Satu perkara yang saya tak masukkan dalam cerita saya, Mr Sugu juga membesarkan anak saudaranyanya seramai dua orang semenjak dari kecil, apabila abangnya meninggal dunia.

Razor

Kedai gunting di KL memang mahal, satu kepala antara RM10 - RM 12. Depan rumah sewa saya dulu di Lembah Keramat (1998) tukang gunting mampu pakai Honda Vtec baru. Hebat tu.

Jawahir
Bagus kalau ada keinginan. Mulakan sedikit demi sedikit.

Nak rasmikan... tunggu saya jadi YB lah pulak :)

p/s Atiqah tu anak saya yang keempat, di Matrik NS, pemalu sikit:)

AzD

Saya pun simpan jugak rambut sampai dua bulan baru gunting. Semakin tua semakin tak berambut :)

en_me

Mampu terbitkan posting My Barber, Mr Sugu" . He he, hewwwww.

Cutokperol
Cerita ceriti kehidupan ini banyak pengajarannya. Samaada kita nak berfikir atau tidak sahaja. Mungkin satu hari ada yang bercerita tentang saya.... :)

Saudara Izuddin
Mr Sugu mungkin lambang kepada kumpulan minoriti. Ia juga lambang kejayaan universal seperti tulisan cikgu dimana ada kemahuan di situ ada jalan.....

fahana_ann said...

memang tukang gunting boleh jadi jutawan senyap..nampak macm sepi tapi..hehe..susah nak gunting rambut kat kedai sebab perlu cari tukang gunting perempuan islam..mak sendiri aje lah yang gunting:)

fahmi latiff said...

A'KUM

MAAF LA Pok Li... fahmi japuk skit.... sedap jalan crita ni... semangat membara... tq kongsi cerita2 ni.... a'kum

Pok Li said...

fahana_ann
Boleh lah buka saloon muslimah :)

Fahmi Latiff
Perniagaan tukang gunting, modal yang tak banyak tapi untung kaw tu. Terima kasih singgah

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails