May 20, 2009

Masak Lomak Cili Api



Sudah beberapa minggu saya terlepas untuk mengikuti drama pendek ‘Masak Lomak Cili Api’ di TV2, hari Selasa, jam 8.30 malam kerana program kerja yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini. Minggu lepas saya ke Homestay Pasir Raja, Dungun tempat terletaknya Air Terjun Chemerung yang tertinggi di Asia Tenggara. Oleh kerana saya sampai ketika waktu maghrib dan tidak pula bermalam, saya tidak dapat menyaksikan keindahan air terjun tersebut. Satu lagi ‘keajaiban alam’ yang berada di bumi Terengganu. Malangnya tidak ramai yang mengetahuinya dan diwar-warkan kepada dunia luar. Malam Selasa minggu sebelumnya saya tersekat lagi dek kerana menghadiri kursus pendek di Gem Beach Resort Batu Rakit. Satu lagi lokasi di tepi laut China Selatan untuk berehat dan menenangkan fikiran yang berserabut. Sehinggalah malam semalam saya telah bersungguh-sungguh meluangkan masa untuk menanti tayangan drama itu. Kenapa ya?.

Drama itu telah dirakam di kampung saya dan rumah pusaka peninggalan abah dan emak menjadi lokasi utama penggambarannya. Pak Ayub (Ebby Yus) dan Mak Bedah (Faridah Mansor) telah menjadi watak utama dalam drama tersebut sebagai orang kampung. Penggambaran ini telah dibuat pada tahun lepas. Selepas berbulan-bulan menanti saya telah menyaksikan rumah pusaka yang kami sayangi ini akhirnya keluar juga di TV.

Rumah ini telah dibina pada tahun 1965 ketika usia saya lima tahun. Dengan kos $3,000 rumah ini siap dibina berkonsep rumah limas, ‘induk rumah’ ini mengandungi sebuah bilik, serambi dan anjung. Manakala rumah dapur pula dibina berasingan. Kepala tukangnya digelar Buyong keturunan Cina bersama pekerjanya datang dari Bandar Seremban Mereka bertukang setiap hari kecuali hari Jumaat. Ketika tiang seri rumah ini ditegakkan, upacara ‘menaikan’ rumah baru diadakan. Jiran-jiran dijemput untuk bersama-sama menegakkan tiang seri. Kain selebar tapak tangan berwarna putih dan hitam di jadikan pelapik tiang. Kami adik beradik kemudian dikumpulkan dibawah tiang sebelum dicurahkan air buyung dari atas tiang seri itu. Khabarnya supaya ‘semangat’ rumah dan ‘semangat’ kami bersatu. Selepas itu doa selamat dibacakan dan sedikit jamuan diadakan untuk mereka yang hadir. Peristiwa ini telah berlaku lebih daripada empat puluh tahun dahulu. Ada perkara yang begitu jelas, ada juga yang sudah begitu kelam. Begitulah sejarah rumah pusaka itu yang siap dibina dalam tempoh tiga bulan. Rumah ini masih lagi tegap dan kukuh dengan kayu keruing, meranti dan cengal yang begitu mahal harganya sekarang. Saya telah mendiami rumah ini selama 14 tahun sebelum keluar dari kampung, belajar, bekerja dan membina kehidupan sendiri. Rumah yang mengingatkan saya kepada abah dan emak, kepada kehidupan semasa kecil, kenangan bersama jiran-jiran sekampung dan ‘drama’ panjang keluarga kami yang penuh dengan pelbagai babak. Nostalgia yang tetap terpapar setiap kali saya kembali ke rumah pusaka ini, yang tak mampu ‘diputar’ kembali.




Nota: Adat istiadat ‘menaikkan rumah’ ini telah tidak diamalkan lagi kerana sebahagian upacaranya terdapat unsur-unsur khurafat dan jampi serapah yang tidak sesuai dengan ajaran Islam.

17 comments:

en_me said...

salamm pokli.. mana gambo rumah pusaka itteww

nohas said...

Salam...belum berkesempatan menonton drama itu..

Err..ada sedikit kemusykilan, siapakah yang mencurahkan air buyung dari atas tiang seri itu? atau guna tali? Imaginasi kurang sikit maghrib2 ni..

zara said...

Harap-harap rumah pusaka itu terus kekal menjadi rumah tradisional dan tidak sesekali Pok Li mengubahnya menjadi rumah biasa atau rumah moden. Hilang keseniannya nanti.

Unknown said...

Saya sangat kepingin "rumah kampung". Namun apakan daya~~~Oh Kuala Lumpur!

Abu Aiman said...

Salam pok li,

Nanti letak le gambar rumah tu.
Suka tengok rumah tradisional melayu kat NS dan Melaka.

zino said...

tunjuk la gambar rumah tu..

Ahmad Belia said...

boss, drama bersiri ke? boleh layan lepas nie...

nanti kalau saya turun marang kita makan nasik ayam depan pejabat penerangan.

lama tak rasa...

Don Balon said...

Pokli..
goner deme boleh pilih rumoh pokli?
Pokli keney budok ebby tu ke?

apa pun koi mesti kena tengok jugok ni.. koi rumoh2 tradisional N9 memanc koi suka tengok.. setiap sudut berseni..
di beranang ni pun banyok rumoh senibina minangkabau ni..
walapun doh masuk selangor namun sub-etnik masih minang..

Pok Li said...

en me
Saya sedang mencari album yang ada gambar itewww. Tunggulah...

Nohas
Kebiasaan upacara menaikkan rumah ini dijalankan oleh seorang bomoh. Ia menjampi air dalam sebiji buyong dan berdiri diatas tangga dan kemudian membasahkan air jampi ini kepada tiang seri ini sebelum membasahkan keseluruhan tiang dan anggota keluarga yang akan menghuni rumah tersebut.

Zara
Tiada perubahan dah, cuma tambahan pemasangan grill, kerana dah berlaku kejadian pecah rumah, sehingga kakk saya yang menghuni rumah ini trauma.

Anuar Manshor
Rumah kayu lebih mahal sekarang dari rumah batu

AzD
Insya Allah, sedang cari dalam koleksi. Kalau tak jumpa tunggu saya 'snap' masa balik kampung nanti :).

Zino
Isya Allah

Ammosham
Drama Bersiri itewww, tak tahu berapa lama agaknya. Jangan makan nasi ayam lah bos, kita makan Nasi Briani Restoran Al Maidah, Rusila le.

Don Balon
Tak tau le macam mana produser tu boleh pilih. Mungkin kerana krew dia orang kampung saya dan sesuai dengan jalan ceritanya

faizalMS said...

nice post,pok li..neway, mekasih sbb bg moral support pd sy..;-p

Farid Rashidi said...

Salam,

Banyak betul khurafat orang zaman dulu-dulu ya..

Farid Rashidi said...

Salam,

Banyak betul khurafat orang zaman dulu-dulu ya..

ikan emas said...

tu laa..sy dah agak mesti shooting drama tu kat kg PokLi,cuma tak sangka pulak rumah pusako PokLi..nape tak berlakon sekali?

Tirana said...

Cara orang kampung bina rumah tak sama dengan cara orang bandar bina rumah..hehehe..Orang kampung dulu2 bina rumah secara bergotong royong untuk naikkan tiang.. itu yang seronok tu..macam pesta jadinya..

wanita mutalib said...

salam pokli..

lama takenguk blog pokli...

teringin nak tgk umah tu pokli...

nnt upload yer...

GaDiS KaMpUnG sEpArA BaNdAr said...

salam pok li..

dah lama tak datang menjenguk cni.. rindu pulak hehe...

sekarang ni dh tak banyak rumah kampung yg betul2 asli..

kebanyakkan sudah diubahsuai ye la kan kadang2 anak cucu dh ramai terpaksa perlu diubahsuai bg besar...

hehe..

adie said...

hai cik sham... takkan ajak cik shabli je mkn nasi ayam....