Feb 19, 2012

Sekali Air Bah.......

Sudah lima bulan kembali ke ‘porak’ sendiri. Lebih khusus lagi bertugas di daerah Seremban, tempat kelahiran saya. Bersempadan dengan empat buah lagi daerah iaitu Jelebu, Kuala Pilah, Port Dickson dan Rembau kecuali Tampin. Mengikut Banci Penduduk 2010, jumlah penduduk Seremban ialah 555,935 orang. Ini bermakna separuh daripada jumlah 1.021 juta penduduk Negeri Sembilan datangnya dari daerah ini.


‘Kepulangan’ ini memberi kesempatan kepada saya menemui rakan-rakan satu kampung dan satu sekolah. Pertemuan itu berlaku secara sengaja dan tidak. Kadang-kadang di majlis keramaian. Kadang-kadang ketika melakukan tugas rasmi. Kadang-kadang di jalanan sahaja.

Selepas berbelas-belas atau berpuluh-puluh tahun tidak berjumpa, uban sudah wajib ada dan kedutan juga sudah semakin ketara. Soalan-soalan, ‘Dah bermenantu ko?’ lebih kerap ditanyakan daripada ‘Berapa orang anak?’. Sudah ramai antara mereka yang mendapat cucu dan bergelar ‘datuk’.

Cuma ketika usai solat Maghrib di Masjid Jamik Rantau minggu lalu, saya menegur seorang ahli jamaah di sebelah saya. ”Tuan orang Ulu Lalang kan?’. Lelaki lengkap berbaju Melayu hijau tanpa samping itu menjawab, ‘Nama saya N… bin T… saya orang Setiawan’.

Jemaah di hadapan saya membenarkan telahan saya, ‘memang dia orang Ulu Lalang’. Tapi sejak ditinggalkan isteri,…….. begitulah. Pendek, tapi saya cukup faham.

Kalau benar memang dia adalah rakan sekolah saya sehingga tingkatan tiga. Kali terakhir bertemu waktu itu kami masih bujang, 27 tahun lalu. Saya bertugas di Georgetown, manakala dia pula di Pengkalan Tentera Udara Mata Kucing, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang. Tempat terakhir beliau bertugas ialah di Pengkalan Tentera Udara Kuantan, Pahang.

Ketika melalui Pekan Rantau Jumaat lepas, sekali lagi saya melihat kelibatnya, berjalan kaki dengan baju kumal dan memakai seluar lusuh yang sudah koyak.

‘Ya Allah yang menjadikan bumi dan langit serta segala kejadian di dalamnya. Ampuni lah dosanya dan dosa kami. Mudah-mudahan engkau kurniakan kami kesihatan tubuh badan, kewarasan akal fikiran, keluarga yang bahagia, anak-anak yang soleh dan solehah. Hitung lah amal kebajikan kami sebagai amalan yang diterima. Ampuni dosa-dosa kami serta menerima doa dan taubat kami. Janganlah kami dihukum dengan azab neraka atas perbuatan maksiat kerana kealpaan kami. Himpunkan kami dalam golongan mereka yang bersyukur dan tabah menerima ujian Mu. Mudah-mudahan kami dimasukkan ke dalam golongan yang beruntung. Amin.


Nota:
Porak : kawasan bercucuk tanam bersaiz kecil atau merujuk kawasan sendiri.

4 comments:

Tirana Mutiara said...

Ikan pulang ke lubuk. Kadang2 terkejut melihat kawan-kawan lama. Ada yang berubah sikit dan masih boleh dikenali. Ada tu yang berubah banyak...;-)

sahromnasrudin said...

assalamualaikum tuan ..

bila agaknya seremban nak jadi bandaraya kan....

Pok Li said...

Tirana
Begitulah nampaknya

Pok Li said...

sahromnasrudin
Insya Allah dalam waktu terdekat apabila penggabungan dua Majlis Perbandaran Nilai dan Majlis Perbandaran Seremban menjadi satu.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails