Oct 6, 2026

Batu Kikir Jembatan Bosi

 

Minggu lepas aku ke Batu Kikir atau lebih tepat ke Masjid Batu Kikir. Hadir menziarahi jenazah sahabat lama Allahyarham Harun yang terikat sejak 44 tahun lalu.  Meninggal di rumah anak menantu selepas kembali ke tanahair selepas menunaikan ibadah umrah pada lima hari sebelumnya. 'Beranggoh' (menetap sebentar) di rumah anak menantu di Batu Kikir sebelum kembali ke rumah sendiri. 

Tidak menyangka aku berpeluang untuk solat jenazah dan menghantarnya ke kubur di Kg. Bukit Perah. Harun bukan menetap di Batu Kikir. Harun anak jati Kedah dan menetap di Alor Setar. Begitulah takdir yang ditentukan Allah, kita tidak pernah tahu jodoh, hidup dan mati, apatah lagi tanah perkuburan.

Kembali semula ke Batu Kikir, pekan kecil yang bukan asing bagi aku. 30 tahun dahulu, pekan ini hanya ada dua deretan kedai kayu dan bercampur dengan deretan kedai batu. Betul-betul tumbuh dan bertapak di simpang tiga arah ke Kg Tengkek, Kuala Pilah, arah jalan ke Timur akan sampai ke Simpang Pertang, Jelebu. Jalan menghala ke selatan akan ke Pekan Kuala Pilah. Tidak ada yang menarik di pekan kecil ini kecuali jembatan besinya yang dijadikan lirik lagu 'Apo Kono Eh Jang,' nyanyian Ally Nor dan Mastura terbitan tahun 1987.  

 Batu Kikir Jambatan Bosi                                                                                                                               Gulai Udang Sebelango                                                                                                                                 Cubo omak fikir dalam hati                                                                                                                           Ayo ni bujang sudah lamo. 

Jambatan Besi juga sering dikaitkan dengan penanaman harta kerajaan Melaka ketika Sultan Mahmud Shah berundur ke Pekan Pahang melalui Jalan Penarikan di Jempol. Walaupun tidak diketahui kesahihannya, sebahagian orang Batu Kikir sehingga hari ini masih lagi percaya mengenai kewujudan harta karun itu. 

Alang-alang jika sudah sampai ke Batu Kikir, lajaklah sedikit lagi ke Teratak Pendita Zaaba di Kampung Kerdas. Satu-satunya tokoh yang digelar Pendita. Sehingga kini tiada lagi gelar setinggi itu dianugerahkan kepada siapapun.  Bak kata Pantun:-

Pucuk paku di tepi batas                                                                                                                          Enak dimakan bersama maman                                                                                                                      Teratak Indah di Kampung Kerdas                                                                                                                Lahirnya tokoh alim budiman.  

Batu Kikir.

4.10.2026                                                                                       






Oct 2, 2026

BERSARA - Apa Kena Buat.

Tun Hasmah Ali telah meninggal dunia pada 28 September 2026 ketika berusia 100 tahun. Meninggalkan Tun Mahathir seorang suami dan pemimpin yang hebat. Takziah diucapkan kepada Tun Mahathir, semoga Tun tabah dan redha atas kepulangan isteri yang tercinta. Bukan mudah untuk memujuk hati, apatah lagi telah seiring dan sejalan selama 70 tahun.

Satu kelebihan Tun Hasmah yang perlu dicontohi ialah terus belajar walaupun sudah diusia lanjut. Ketika usianya menghampiri 70 tahun Tun masih berusaha belajar bahasa Perancis, mengambil ujian dan lulus. Tun mempelajari bahasa Perancis kerana ingin lebih mudah berkomunikasi dengan besannya Didier Roussille yang tidak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. Tun juga kembali belajar menggesek biola ketika usianya 16 tahun dan menyambung semula pada usia 86 tahun. Amat mengagumkan!.

Aku pula baru mencecah usia 66 tahun. Boleh dikatakan baru bersara. Tun Hasmah akan terus menjadi inspirasi aku untuk terus belajar perkara baharu terutamanya di zaman AI ini. Di Tiktok aku terbitkan siri Borak SiKemek, cerita seorang pesara dan kucingnya yang bernama Kemek. Kalau nak singgah, singgahlah sekadar melihat keupayaan seorang pesara tua yang baru mempelajari ilmu AI yang tiada dalam zaman kerjayanya. 

Rantau
2.10.2026.

 

Sep 16, 2026

Retro Satu Imbauan.

 

Kegilaan netizen sekarang memuat naik fesyen retro, mengingatkan aku kepada kehidupan tahun 60an.

Aku dilahirkan selepas tiga tahun negara meraih kemerdekaan. Kehidupan di kampung serba payah. Bekalan letrik dan air bukanlah idaman kami warga miskin di kampung. Cukup jika ada makan pakai dan tempat berteduh. Belum ada lagi istilah B40 seperti sekarang. Kehidupan hampir sama. Tidak ada perbandingan status. Masing-masing menjalani kehidupan kampung yang serba kekurangan dengan impian kesenangan selepas penjajah pergi.

Dilahirkan dalam rumah usang dengan bantuan Tok Bidan Kampung. Rumah yang beratapkan rumbia, berdinding pelupoh (kulit kayu), berlantaikan buluh. Hanya sedikit di bahagian serambi dan tengah ibu rumah berlantai papan. Keseluruhan rumah didirikan dengan 12 batang tiang bulat yang dialas dengan batu sungai. Rumah yang hanya ada dua tingkap dengan daun kayu yang hampir tanggal, bahagian serambinya tiada tingkap hanya ditutupi dengan kekisi dan batang kayu bulat yang diikat kejap. Pintu pun hanya menutup bahagian tengah rumah dan bahagian dapur. Itu pun hanya asal-asalan.
Kebanyakkan orang kampung bergantung hidup dengan bertani dan menoreh getah. Setiap tahun mereka sepakat turun ke sawah bergotong royong mencangkul dari satu lopak sawah ke satu lagi lopak sawah. Menabur benih, kemudian beramai-ramai 'mengubah' anak benih dari tapak semaian ke lopak sawah. Ia dilakukan berhari-hari sehingga semua kawasan sawah di kampung dipenuhi pokok padi. Hampir setiap rumah akan ada 'kui' atau peti tempat simpanan padi. Bila musim menuai tiba, mereka turun ke sawah 'mengetam' padi pulut untuk dibuat emping. Ia seakan pesta kecil di kampung. Ibu-ibu akan berkumpul untuk menumbuk emping beramai-ramai. Manakala anak-anak kecil berkejar-kejaran dengan gembira sambil meniup serunai daripada batang padi.
Tahun demi tahun angin perubahan itu menerpa begitu pantas. Tahun 70an, Rancangan Tanah Pinggir tanaman getah di belakang kampung sudah boleh ditoreh. Petak sawah pula dibajak menggunakan Kubota sewa. Rumah-rumah yang dahulu beratap rumbia telah berganti atap zing. Dahulu mereka cukup bangga jika memiliki basikal bergear. Ia diganti dengan motosikal Honda 50 k.k. atau 65 k.k. atau sekurang-kurangnya memiliki skuter Lambaretta terpakai. Lebih berprestij jika mampu membeli Vespa Piaggio yang menjadi idaman anak muda. Malah lebih gah jika memiliki kereta, paling tidak kereta Austin Cambridge atau Morris Minor. Seingat aku hanya ada tiga buah kereta sahaja dalam kampung aku waktu itu iaitu kereta jenama Hillman dan Morris Minor . Sebuah lagi kereta Peugout 404 milik Mat Bukit, pemandu teksi.
Tahun 1974, rangkaian bekalan air telah mula masuk ke kampung, tahun 1977, lampu mentol bulat dan lampu kalimantang telah mula bergantungan di setiap rumah. Bila Hari Raya tiba, lampu 'kelap-kelip' dipasang meriah di anjung rumah. Hampir setiap rumah sudah memiliki sebuah peti TV, berukuran antara 12" dan paling besar berukuran 24". Mereka sudah terlupa zaman berhimpit-himpit di rumah Haji Dahlan menonton tayangan filem Melayu dengan bayaran RM.0.10 sen pada setiap malam Sabtu atau duduk bersesak di atas tikar mengkuang di hadapan kedai Haji Ujang menonton wayang pacak Jabatan Penerangan.
Tidak terasa perubahan zaman yang begitu pantas, dari zaman lagu-lagu P.Ramlee dan Saloma kepada zaman kumpulan gitar rancak. Majalah Filem dan URTV antara penerbitan hiburan paling laris waktu itu dan sering meletakkan foto penyanyi A. Ramlie, Ahmad Jais, Kartina Dahari, Rafeah Buang, S. Jibeng sebagai paparan muka depan atau muka tengah majalah.
Gelombang kugiran ini juga telah menukar kebiasaan orang kampung. Dahulu jika kenduri kahwin diadakan, piring hitam diputar sepanjang majlis dengan alunan bacaan Al-Quran daripada Qari Dato Haji Ismail Hashim atau Qariah Dato Hajah Rogayah Sulong. Speakernya digantung di pokok getah atau rambutan dan boleh didengar jauh sepelaungan daripada rumah pengantin. Ia perlahan-lahan diganti dengan kumpulan kugiran yang menjadi pentas utama anak-anak muda kampung menyanyi dan mengasah bakat.
Ia pun tidak bertahan lama bila zaman kugiran berlalu dan diganti dengan penyanyi pop moden. Lahirlah penyanyi pujaan yang popular merentasi sempadan negara seperti Dato Sharifah Aini, Hail Amir, Uji Rashid, DJ Dave dan Salmiah Hassan. Pada masa sama artis-artis Indonesia juga turut menjadi pujaan ramai seperti Bob Tutupoly, Broery Marantika, Hetty Koes Endang dan Rhoma Irama.
Walaupun di zaman AI ini boleh mengembalikan nostalgia zaman retro dengan rekayasa fesyen, tetapi mustahil untuk kembali pada zaman sebenarnya. Kini aku masih menziarahi kampung, suasana 30 atau 40 tahun dahulu itu sudah hampir ghaib sepenuhnya. Tiada lagi kawanan burung bangau memutih bertenggek di belakang kerbau. Sawah padi juga telah kering kontang, separuh tanaman getah tidak lagi ditoreh, 'bondar' (taliair) telah lama tohor. Buah-buahan mewah masa kecilku seperti buah sentul, pulasan, kumbang nyiur, kelubi, jambu hutan dan tampoi sudah sukar ditemui. Apatah lagi penghuni kampung kini bukan sahaja manusia tetapi juga dipenuhi monyet dan kera.
16.9.2026

Sep 15, 2026

#BilNaikTNB

Sekarang ini ramai yang tidak berpuashati mengenai kenaikan bil TNB yang bukan sahaja tinggi tetapi mengerikan. Setiap kali melihat bil tinggi aku terasa penjimatan yang dilakukan berhari-hari tiada gunanya. 

Aku belum cuba untuk menganalisis kepada sebab kenaikkan bil yang begitu tinggi. Apa yang ingin aku tunjukkan adalah catatan aku sepanjang enam tahun sudah bersara.  Menduduki rumah teres setingkat, hanya berdua dengan isteri. 

Aku catat bayaran bil TNB bulan Ogos mengikut tahun mulai tahun 2020. 

Tahun 2020    Ogos            RM  53.50
Tahun 2021    Ogos            RM 109.05
Tahun 2022    Ogos            RM 105.50
Tahun 2023    Ogos            RM 175.10
Tahun 2024    Ogos            RM 306.70
Tahun 2025    Ogos            RM 413.65
Tahun 2026    Ogos            RM 366.90


Apa yang aku perasan kenaikkan bil melampau TNB itu bermula pada tahun 2024. Jika tidak berjimat menggunakan elektrik bil boleh mencecah RM 547.15 seperti bulan Mac 2026. Tiada alatan letrik yang bertambah di rumah aku sejak enam tahun yang lalu. Masih kekal aircond yang sama, mesin air yang sama, kipas yang sama,  mentol yang sama. 

Mungkinkah perbincangan dan minum teh bersama TNB belum lagi selesai?.

#BilNaikTNB

Sep 14, 2026

Aku Menulis Lagi

 Menulis tidak payah. Tulislah apa yang kau fikirkan. Cuma yang payah bagaimana menyambung idea itu menjadi satu idea besar. Bagaimana penceritaan itu menjadi besar dan kemudiannya menjadi nilai. Nilai itu apabila diamalkan menjadi sesuatu yang bermakna kepada diri seseorang atau kelompoknya, masyarakatnya, negeri dan negaranya. Kalau tidak penulisan itu hanya menjadi luahan rasa yang kemudian dikongsi oleh pembacanya. Kemudian ia dikomen bertele-tele tanpa kesudahannya. Kemudiannya ia hilang kerana ia sudah tidak menjadi isu lagi. Sudah basi dan mati.

Hari ini aku menulis kerana sudah bertahun-tahun tidak menulis di blog. Dengan satu pertanyaan adakah blog ini masih lagi RELEVAN. Aku mungkin tidak mendapat jawapan beribu-ribu komen, kerana aku tahu ramai kawan-kawan di blog juga sudah bersembunyi seperti aku. 

Cuma mungkin aku akan menulis lagi. Tamat. 


Sep 11, 2021

Handphone Tidak Berbunyi Lagi


Sudah 428 hari bersara. Lingkungan hidup yang tidak lagi sibuk. Paginya mandi lebih awal, siap berpakaian. Sembur sedikit minyak atar. Keluar rumah dan memandu kereta ke masjid. Masjid Imam Haji Kahar  hanya lebih kurang 2 kilometer. Menunaikan solat subuh dan kembali ke rumah.

Rutin pagi selepas pulang dari masjid, memasak sarapan. Menu tidak banyak pilihan. Hampir sama setiap minggu, cucur kodok, roti canai atau membikin nasi goreng daripada lebihan nasi sejuk. Sambil memasak sambil mendengar video ceramah Ustaz Dato Shamsuri  daripada Facebook. Jika tiada pilihan, beli sahaja dari warung-warung kecil di sekitar Pekan Rantau. Selalunya destinasi pilihan ke Warung Mek Ayu Kelantan. Beli nasi kerabu atau lontong dan kuih muih.  

Hidup pagi sekarang jauh berbeza daripada kehidupan bekerja dahulu. Dulu solat subuh di Surau Silaturrahim di Putrajaya.  Hanya berjalan kaki sahaja, tidak sampai 100 meter dari rumah. Kemudiannya bersiap-siap ke pejabat. Sarapan pun di kantin pejabat. Kalau tidak beli sahaja nasi lemak bungkus di kedai bawah apartment. 

Kini hidup lebih tenang. Tidak lagi tergesa-gesa. Tiada stress. Tiada tarikh akhir yang perlu di kejar. Penting sekali tiada lagi deringan HP. 

May 4, 2020

Dulu Aku DJ

Hari ini 4 Mei 2020, mula keroje, walaupun PKP akan tamat pada 12 Mei 2020.

Semalam di hujung minggu yang masih tersisa, aku mengambil kesempatan menyelongkar simpanan CD masa saya bertugas sebagai DJ 22 tahun dahulu. Terjumpa CD ni. Album Pertama Patriotik Pelajar di Malaysia. Nur Shahila Amir Amzah. Kenal tak?.

Kini penyanyi tersebut sudah tersohor di negara China sejak enam tahun lalu selepas  memenangi Asia New Singer Competition. Mempunyai 2.5 juta pengikut di Sina Weibo, platform terbesar media sosial  di negara China.

Bagi peminat Shila Amzah mungkin lagu nyanyian di pautan ini boleh meremangkan bulu roma. https://youtu.be/ppcPgGmEs5I

Apr 5, 2020

Mulakan Yang Baharu


Apa yang boleh dibuat dalam tempoh 'berkurung' di rumah. Hari ini sudah masuk hari ke 19. Ada sembilan hari lagi untuk menempuh perintah wajib ini. #DudukdiRumah. Moga-moga tiada lagi sambungan PKP.

Kini berjalan atau bersiar-siar di luar rumah pun sudah menjadi satu kesalahan jenayah. Had lingkungan untuk keluar rumah pun tidak melebihi 10 kilometer kecuali jika ada kes-kes tertentu.

Dalam waktu yang terluang dan stress ini saya mengambil peluang 'menggodek' kembali Blog Biso Bonar sebagai langkah terapi. Sekurang-kurangnya masa itu boleh diisi dan dimanfaatkan. 

Wajarlah aktiviti-aktiviti yang berfaedah boleh dilakukan sepanjang tempoh ini. Aktiviti-aktiviti ini jika dilakukan secara teratur akan melahirkan tabiat baharu. Ramai sahaja rakan-rakan saya dalam rangkaian media sosial mempamerkan aktiviti memasak, aktiviti menjahit, aktiviti bersenam, aktiviti menghafal surah-surah Al Quran. Aktiviti yang tidak cukup masa untuk dilakukan sebelum ini kerana 'banyak sibuk ma'. 

Bagi saya selain daripada melakukan aktiviti-aktiviti tersebut, perkara utama yang perlu dijaga ialah tabiat makan. Bunyinya mudah, tetapi untuk melakukannya tidak semudah itu. Oleh kerana hampir sepenuh masa kita berada di rumah, kita akan lebih terarah kepada aktiviti makan. Setengah jam membuat kerja-kerja rumah boleh membakar 300 kalori tetapi tiada maknanya jika selepas itu kita 'membaham' nasi lemak (600 kalori) dan teh tarik (250 kalori). Itu baru sepinggan dan segelas sarapan pada waktu pagi. Bayangkan jika sepanjang masa di rumah kita asyik mengunyah. Petua yang sering kita dengar, berhenti makan bila perut terasa kenyang, eloklah diikuti dan diamalkan. 

Jangan juga mengabaikan minum air yang banyak. Ia juga sebagai langkah mengurangkan risiko terkena jangkitan Covid19, kerana tenggorok kita akan sentiasa basah. Walaupun ada perdebatan mengenainya, abaikan sahaja. Paling penting kesihatan kita perlu diutamakan. Jika dahaga minumlah air, sebaik-baiknya minum air kosong. Jika dalam empat atau lima jam kita tidak membuang air kecil, kita perlu menyemak semula tabiat minum kita setiap hari. 

Jangan biarkan badan kita kering. Air diperlukan untuk menyejukkan badan dan membawa nutrien ke seluruh badan. Air yang cukup mampu mengurangkan gejala sembelit, sakit-sakit sendi dan membantu kita berfikir secara lebih tenang. Bagi menikmati air yang kita minum boleh sahaja mencampurkannya dengan daun pudina, sayur timun, markisa atau limau pagar. Boleh dihidangkan semasa makan tengahari bagi membantu menyahkan kalori yang berlebihan.

Itu adalah dua tabiat yang dilihat kecil tetapi memberi impak besar kepada diri dan keluarga kita.  Akhir kalam selamat beramal dan terus istiqamah.

Mar 30, 2020

Stay at Home

Salam.Apa kabar semua.

Semoga Allah melindungi kita daripada ujian yang berat ini.

Hari ini adalah hari ke 13  kita bertapa di rumah kerana Perintah Sekatan Pergerakan (PKP). PKP  Fasa1 telah diumumkan oleh YAB Tan Sri Mahyuddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia ke - 8 daripada 18 Mac 2020 sehingga 31 Mac 2020. Bersambung lagi ke Fasa 2 sehingga 14 April 2020. 28 hari berkurung di rumah.

Walaupun masih terkurung, saya tetap bekerja dari rumah membantu rakan-rakan di barisan hadapan yang masih terus bekerja di lapangan. Semoga mereka terus dilindungi Allah. 

Bermula dari jam 9.00 pagi sehingga 3.00 petang akan menerima dan menghantar laporan ke Ibupejabat. Itulah tugas yang dilalui sepanjang tempoh 13 hari PKP. Saya sudah mula dapat mengikuti rentaknya. Cuma tergangu apabila perut asyik mahu diisi sahaja.

Di belakang saya kelihatan kotak-kotak pelbagai saiz. Manakala senduk, sudu dan garfu di atas meja sedang di keringkan. Hajat hati hendak berpindah April ini ke Seremban.  Surat talak telah diberi, hanya dalam edah sahaja lagi. Tapi apa yang boleh dikatakan, manusia hanya merancang, Allah juga merancang. Allah lah sebaik-baik perancang. " Laa haula wa laa quwata illa billah", tiada usaha, kekuatan dan upaya selain dengan kehendak Allah.

Wassallam.

Dec 31, 2018

Baru Ku Tahu !

Dalam beberapa jam sahaja lagi tahun 2019 akan muncul, meninggalkan tahun 2018. Catatan peribadi 2018 akan menjadi sejarah dan kenangan. Buku catatan perbelanjaan harian juga turut ditutup. Buku baru akan menggantikan buku yang lama.

Bila bercerita mengenai catatan perbelanjaan harian ini saya tetap kagum dengan kenalan saya,  Hajah Aishah Omar. Hajah Aisyah  tetap saban tahun menukar buku catatan perbelanjaan harian. Begitu istiqamah, 35 tahun tidak pernah meninggalkan amalan ini. Sejak mula bekerja sehingga sudah hampir bersara. Tabiat ini telah membawa manfaat besar  kepadanya apabila berjaya membeli rumah pada usia muda dan menunaikan ibadah haji ketika tenaga masih kuat.
Walaupun pendapatannya tidak lah sebenar mana, namun jika betul caranya tiada apa yang tidak boleh diraih.

Kerana kekaguman itu, saya mencuba-cuba mencatat setiap perbelanjaan yang dibelanjakan setiap hari. Tapi biasalah kerja mencatat ini bukan mudah, ia memerlukan kesungguhan. Bertahanlah beberapa bulan, akhirnya kecundang kerana kemalasan.

Sehinggalah tiga tahun lepas saya telah menemui Apps Expense Manager dalam Play Store yang mudah dikendalikan di telefon bimbit. Lebih mudah mencatat. Tiada lagi keperluan buku dan pena. Walaupun saya tidak mampu menandingi kehebatan Puan Aisyah dalam pengurusan kewangan tetapi sekurang-kurangnya saya tahu ke mana duit saya 'menghilang' setiap bulan.

Apps ini juga banyak membantu saya melihat peratusan perbelanjaan sebenar. Pecahan perbelanjaan yang pelbagai daripada barang dapur sehinggalah kepada makan-makan di luar. Perbelanjaan yang tinggi dan perlu kawalan akan lebih kerap dipantau. Oleh kerana banyak Apps yang boleh membantu urusan harian, akhirnya saya menjadi pengguna Apps tegar bermula daripada Expense Manager,  Whats Apps, Waze, Drivvo, Air Asia, MAS, Booking, Muslim Pro, Shoppe dan lain-lain.

Kini saya juga memantau bil-bil perkhidmatan utiliti menggunakan Apps seperti Air (Syabas), MyTNB kerana perkhidmatan utiliti ini kadang-kadang tidak disangka-sangka telah mencecah ratusan ringgit. Maklum sahaja kerap kali, bil-bil utiliti ini tidak sampai atau terperuk dalam kotak surat tanpa dijenguk.

Oleh kerana faedah Apps perkhidmatan utiliti ini memang terbaik, seorang kawan minta saya memasang Apps MyTNB di telefon bimbitnya. Tujuan asalnya supaya mudah membuat semakan penggunaan letrik di rumah. Semakan juga boleh dibuat kepada bil-bil yang menggunakan nama yang sama. Amat mengejutkannya kerana bil letrik rumah sewanya sudah mencecah RM1,000 masih belum dibayar oleh penyewa. Baru ku Tahu!.

SELAMAT TAHUN BARU 2019.

Dec 1, 2018

Pesanan Atuk.

Musim kenduri datang lagi. Cuti sekolah telah bermula. Kenduri kendara berada di merata-rata tempat. Minggu ini sahaja sudah ada empat jemputan. Paling jauh di Pasir Gudang, Johor Bharu. Paling dekat sekitar Putrajaya dan Puchong, Insya Allah kalau tiada keletihan dan kelelahan kami akan sampai.

Kehidupan kami sudah jauh berbeza dari tahun-tahun sebelumnya. Dulu-dulu masih ramai anak yang duduk serumah. Ramai juga yang masih ditanggung ongkosnya. Kini tiada lagi. Semua sudah berumah tangga. Sudah ada anak pun. Kami yang dulu sibuk mengurus itu ini, sudah mula cuci tangan. Hanya melihat perkembangan dari semasa ke semasa. Kalau patut diberi nasihat dinasihatkan. Kalau tak perlu jangan banyak sangat campur tangan. Hidup ini kena rasional. Ha ha ha.

Oleh kerana masa terluang (baca terbuang) yang banyak maka jemputan kenduri yang jauh adalah kesempatan kami untuk makan angin, Tidur semalam dua. Menikmati kelainan suasana di satu-satu bandar atau pekan kecil.  Amalan yang rasanya sesuai dengan kami yang sudah menjangkau usia emas ini. Mengeratkan silaturahim dan bermusafir sehari dua. Duduk di rumah pun hanya membesarkan perut sahaja,

Minggu lepas kami ke Seremban, jemputan walimatul urus rumah sepupu perempuan, saudara sebelah abah. Datang pun agak lewat. Kenduri pun sudah hampir usai. Berjumpa sepupu-sepapat yang jarang-jarang bertemu. Maklum sahajalah mereka juga sudah keluar dari kampung puluhan tahun lalu. Membina kehidupan bekeluarga dan tinggal juga merata-rata. Johor, Perak, Selangor, dan sebahagiannya masih menetap di Negeri Sembilan. 

Di penghujung petang itu, tuan rumah masih lagi menerima kunjungan satu keluarga kenalan lama kami sewaktu di kampung. Bang Mokhtar bukan sekampung, tapi tinggal di sebelah kampung kami. Beza umur kami dalam 10 tahun.  Petang itu dia membuka sirah keluarga, dari Rantau sampai ke Rembau. Hubung kait satu keluarga dengan satu keluarga mengikut jalur keturunan yang berangkai-rangkai. Sebahagiannya masih boleh diingat dan dikenali. Sebahagian lagi hilang begitu sahaja.

Apa pun dalam perbualan itu, ialah sejarah persahabatan bapanya dengan Datuk kami. Katanya hubungan mereka dahulu amat akrab. Bukan sahaja datang ziarah tapi bermalam dan bertukar-tukar pengetahuan mengenai agama.   

" Satu perkara sahaja yang abang ingat mengenai datuk kau, mengenai pergaulan mereka" 
" Apa dia bang" sampuk saya.
" Kalau Datuk kau tidur di rumah abang, dia selalu bangun dalam jam 4.00 pagi. Dia akan kejutkan abah abang. Salim, bangun, jangan lama sangat tidur, esok susah di sana (akhirat). Lepas tu mereka akan solat bersama".

Aku terfikir selepas 54 tahun selepas kematian Atok, pesanannya masih sampai lagi kepada cucunya. Apakah pesanan dan iktibar yang baik-baik yang boleh aku titipkan sehingga 60 tahun lagi pesanan itu sampai kepada cucu-cucuku pula.

Jun 22, 2017

Ucapan Pendek

Diucapkan Selamat Hari Raya. Sejak guna facebook ni, tak reti nak tulis panjang-panjang. Ha ha hak.

Jan 4, 2017

Better Late Than Never


Selamat Tahun Baru. Bukan semua yang baharu. Ada juga yang lama yang turut dibawa ke tahun 2017. Walau bagaimanapun, eloklah perkara-perkara yang buruk-buruk itu ditinggalkan. 

Tahun 2016 telah berlalu dengan pantas. Tiada pencapaian yang hebat pun. Cuma telah selesai mengadakan majlis walimatul urus anak saya yang ke dua dan ke lima dengan sempurnanya. Begitu juga telah melihat cucu sulung membesar dengan sihat dan walafiat. Anak-anak pula telah habis pengajian di Universiti dan semuanya telah bekerja. 

Itu adalah kenangan yang disimpan secara abadi. Beberapa tahun lagi Insya Allah, keluarga kecil ini akan berkembang dan melimpah ruah. Dijangka pada April dan  Ogos tahun ini akan dikurniakan lagi dua orang cucu. Kalau panjang umur mungkin akan sempat pula melihat cicit yang dilahirkan oleh cucu-cucu saya.

Begitulah pusingan hidup begitu pantas. Baru semalam rasanya, membelai mereka sewaktu kecil, Kemudian memasuki alam belajar di tadika,  sekolah rendah, sekolah menengah, kolej dan Universiti. Kemudian bekerjaya dan kemudiannya berkahwin. 

Sudah tiba masanya mereka pula mencorakkan kehidupan mereka. Saya akan tinggal kembali berdua di satu sudut yang pernah kami lalui ketika muda dahulu. Bezanya hanya usia. 

Apa pun tahun baru ini telah membawa lebih banyak harapan baru, tekad baru dan azam baru, walaupun usia semakin dekat ke penghujungnya. 

Akhir kalam, diucapkan Selamat Tahun Baru walau pun agak terlambat, tetapi kata Mat Saleh, Better Late Than Never.

Dec 14, 2016

Menulis Lagi Tanda Ingatan.


Rupanya masih ramai kawan-kawan yang masih menulis. Ingatkan dah tak aktif. Saya baru menjengok kembali. Sudah bersawang. Mujur belum lepas tahun 2016. Satu post ini sudah cukup berharga supaya tahun 2016 tidak berlalu tanpa meninggalkan jejak. Tidak berjanji apa-apa. Kerana lebih banyak masa melihat 'muka buku' dan 'Whats App'. Insya Allah kalau ada masa saya kembali aktif. Itu pun mungkin hanya sekadar coretan. 

Aug 7, 2015

Badan Ku Sakit Semua....

Sudah seminggu kembali dari Terengganu. Sebelum itu ke Bandar Muadzam, Pahang. Tidur di Hotel Tong Villion. 5.30 pagi sudah bergerak ke Batu Rakit, Kuala Terengganu. Solat Subuh di Gambang, Bersarapan dalam kereta. Nampak siksa kan. Tapi apa boleh buat urusan kerja harus dipatuhi.

Jam 9.00 pagi sudah sampai tepat pada masa dan destinasinya. Alhamdulillah Lebuhraya Pantai Timur yang baru di buka pada 7 Julai lalu telah memendekkan masa perjalanan walaupun jaraknya masih tetap jauh, 334km dari Bandar Muadzam.

Berada di Terengganu seakan-akan kembali semula ke 'kampung halaman'. Bertemu rakan-rakan lama apatah lagi suasana Hari Raya yang masih hangat. Habis tugas petangnya saya sudah terdampar di Hotel Midtown berhampiran Masjid Sultan Zainal Abidin, keletihan akhirnya tertidur. Niat hati untuk bersiar-siar di sekitar Bandar Kuala Terengganu terpaksa di tunda sehingga malam. Saya ke Sena Rendang  menikmati roti tempayan bersama dua rakan lama. Masih ummpph seperti lima tahun lalu.

Pagi esoknya saya ke Chendering menikmati Nasi Kerabu Cik Sitie. Berhampiran Simpang Empat Chendering, 'favourite' kami sekeluarga dulu. Rasanya agak sedikit menurun walaupun masih sedap. Kembali semula ke Pasar Payang membeli sedikit ole-ole Pantai Timur sebelum meninggalkan Bandar Kuala Terengganu melalui Jalan Kuala Berang ke Binjai Rendah. Singgah berhari raya di rumah kawan lama. 

Sewaktu keluar dari Binjai Rendah, terasa perasaan sayu menyucuk di dada. Seakan-akan saya baru saja hendak berpindah. Mungkin kerana banyak kenangan lama di Marang. Anak-anak pun sebahagian besar nya membesar di Marang. Malah besan saya pun orang Terengganu.

Kerana 'berahi' untuk melihat kediaman kami dahulu, perlahan-lahan saya memandu memasuki simpang Kg Undang menghala ke Bandar Marang, Melintasi Kg Seberang Marang kawasan rumah sewa kami dahulu dan berhenti sebentar di Kelulut membeli air nira.

Berhenti lagi di Kg Pasir Putih, membeli jagung dan kacang rebus. Gerainya sudah tidak lagi tersusun seperti dahulu akibat pembesaran jalan kepada dua lorong dari Kg Gong Balai sehingga ke Rantau Abang.

Selepas solat Jumaat di Chukai, perut sudah mula minta diisi. Kerana mengidam gulai kawah saya menangguhkan makan tengahari kepada jam 3.00 petang di Kedai Makan Nasi Kawah, Baging, di Cherating. Gulai kawah yang boleh 'angkat ibu jari' kata orang Kelantan. Hanya RM7.80 satu set.

Hajat hati untuk menikmati makan sedap-sedap di Pantai Timur sudah tertunai. Jagung dan kacang rebus yang dibawa pulang sudah lama habis. Tinggal air nira yang ada lagi berbaki sedikit. Empat hari lepas saya minum setengah gelas. Sebaik sahaja air nira sampai ke perut, rasa 'menyengau' menyerbu ke seluruh badan. Dah expired ke?. Sehingga hari ini padahnya masih terasa... badan-badan ku sakit semua......:(




   

Jul 15, 2015

Zaman Beredar Pusaka Bergilir

Bulan Ramadhan akan meninggalkan kita hanya dalam beberapa jam sahaja lagi. Bulan Syawal akan disambut dalam suasana meriah. Dijangka Jumaat ini. Dua kali khutbah, Khutbah Hari Raya dan Khutbah Jumaat. 

Tahun ini sudah diputuskan awal pagi berhari raya di Putrajaya sahaja. Menikmati juadah nasi himpit, rendang ayam dan kuah kacang. Selain kuih muih yang sudah dibeli sejak minggu lepas. Berkumpul dengan Along dan isteri, Atiqah, Afif sebelum ke Taman Equine, Sri Kembangan. Bergabung pula dengan keluarga besan, bapa mertua Afdhal yang tidak balik ke Terengganu kerana meraikan kedatangan cucu baru kami Muhammad Aqeel Syafiq. Hanya Angah tahun ini berhari raya di Batu Pahat kerana tugas. Sian ke Angah... 

Selepas solat Jumaat berangkat balik ke Kg Sega, Seremban. Berhari raya pulak dengan kakak-kakak yang dah semakin berusia. Petangnya ke rumah emak dan bapa saudara yang sudah semakin lanjut usianya. Mungkin malamnya balik semula ke Putrajaya atau tidur di rumah pusaka. Esok menyambung lagi ziarahnya. 

Tanpa lupa ziarah kubur abah dan emak yang sudah hampir 15 tahun meninggalkan kami. Masa begitu pantas. Sudah terasa semakin tua. Sudah bergelar Datok dan isteri pula sudah bergelar Nenek. Alhamdulillah baru ada seorang cucu. Benarlah perbilangan orang tua-tua, zaman beredar pusaka bergilir. 

Akhir kata. Selamat hari Raya Aidil Fitri. Maaf Zahir Batin. Berhati-hati di jalan raya.

Jan 22, 2015

Nak Ku Nangis Tak Berair Mata...

Bulan ini sahaja 'ambo gi Kelate' dua kali. Mengikuti misi Jalinan Kembara Kasih anjuran jabatan, melawat rakan-rakan yang ditimpa musibah banjir. Bukan sahaja rumah yang terlibat, pejabat juga turut 'punoh'. Banjir yang berlaku kali ini 'luar biasa' mengatasi banjir 1926 dengan nama bah merah.

Selepas air surut keadaan pejabat Di Kuala Krai amat menyedihkan. Bau maung dari lumpur begitu menjengkelkan. Lumpur tebal hanya mampu dibersihkan selepas kami tiba dua minggu kemudian. Tanpa air bersih, bekalan api yang terputus apa yang boleh dibuat, selain merenung kosong dan melihat kemusnahan akibat 'kemarahan alam'. Seluruh aset musnah, tiada apa yang boleh diselamatkan. 

Mengikut cerita hujan di Kuala Krai tidak lebat. Ia hanya hujan biasa. Tapi ketentuan Allah, 'kun faya kun'. Berlaku seperti yang telah ditakdirkan. Ia disandarkan pula kepada cerita sebab dan akibat yang berpanjangan dan meleret-leret. Begitu juga pejabat di Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Mas dan Tumpat. 

Apa pun 'ziarah kasih' kami yang baru berakhir semalam, lebih tertumpu kepada membantu dan merawat perasaan hiba mereka. Membina semula kehidupan baru. Mereka bukan sahaja kehilangan harta tetapi juga kehilangan kenangan. Foto, baju, cenderamata, sijil dan koleksi pribadi yang hilang sekelip mata. Air meningkat naik dengan pantas. Mereka terpaksa meninggalkan rumah apabila air sudah meningkat ke paras pinggang dan dada. Tiada apa yang dapat dipertahankan lagi hanya nyawa dan keluarga perlu diutamakan.

Sebahagian tempat, sejak 50 tahun dahulu tidak pernah terkena banjir. Kalau ada pun hanya separas buku lali atau betis. Rata-rata merasa bingung, Bak kata mereka, 'Air mari mano'. Dua hari kami di Kelantan kami sempat melawat 16 buah rumah sahabat kami dari 35 buah yang terkena musibah. Dari Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas, Machang, Tanah Merah dan berakhir di Gua Musang. Hampir separuh sudah kami jelajah. Kalau ada kesempatan lagi kami akan kembara lagi ke Pasir Putih, Bachok dan Jeli. Tanpa lupa rakan-rakan lain di Terengganu, Perak dan Pahang.

Ketika kesan banjir mula dihadam oleh mangsa di Kelantan, Terengganu, Johor dan Perak, kini di Sarawak pula sedang dilanda banjir. Angka di pusat perpindahan banjir juga sudah meningkat lebih dari 3K orang. Sama-sama kita berdoa tiada kejadian buruk yang berlaku dan juga kehilangan nyawa. 

Dec 31, 2014

2015...... Aku Tunggu Kau Datang

Hari ini merupakan hari terakhir saya bertugas di Daerah Seremban. Selepas mudik dan menghilir selama tiga tahun dua bulan. Akhirnya ujian itu tamat. Tahun 2015 akan kembali bermaustatin sepenuhnya di Putrajaya. 

Angin 2015 sudah hampir benar. Semoga tahun 2015 akan memberi harapan indah buat kita. Tahun 2014 ... tahun tragis bagi negara dan dunia. Belum pudar rasanya kenangan kepada kehilangan MH370. Sehingga kini tiada petanda. Tragedi MH17 yang menelan korban besar. Banjir besar di negeri-negeri Pantai Timur yang belum usai sepenuhnya. Bagai dilanda dilanda tsunami. Mudah-mudahan dipermudahkan. Amin.  

Saya berdoa di tahun baru ini kehidupan kita akan jadi baik-baik sahaja. Mangsa banjir akan dapat kembali kuat dan diberi rezeki yang melimpah ruah. Mereka yang sudah lama kemurungan kembali ceria dan gembira. Pada yang pernah gagal, bangkitlah !. Berpeganglah kepada pepatah Jepun, " Jatuh ke tujuh kali, bangkit kali ke lapan".... Banzaaai.

Tulisan ini juga menutup tirai Blog 'Biso Bonar' tahun 2014. Sedih kerana tidak banyak kenangan yang dapat ditulis. Sebenarnya amat banyak. Mungkin keletihan dalam perjalanan (120 km setiap hari). Saya hampir sahaja sudah tawar hati untuk menulis. Semoga ia menyinar di tahun 2015. Mungkin.  

Apa pun saya memang teruja menanti tahun 2015. Pertama, kerana bertukar ke tempat baru, perjalanan ke tempat kerja pun tidak melebihi 10 kilometer. Tahun 2015 juga, Insya Allah saya bakal bergelar 'datuk'. Seorang lagi anakanda saya akan menaiki jinjang pelamin pada Februari 2015. Seorang lagi akan bertunang pada Jun 2015. Dua orang lagi akan menamat pengajian di peringkat Ijazah Julai 2015. Oh 2015...... Aku Tunggu Kau Datang.


Feb 13, 2014

Tempat Jatuh Lagi Dikenang.....

Dua minggu lalu saya ke Radio Negeri FM di Kompleks Penyiaran Sungai Gadut, Seremban. Stesyen radio yang terkenal dengan tagline “Ingat Sampai Bila-Bila”. Menjadi  tetamu kepada slot “Kemilau Negeri”, program bual bicara. 

Petang itu kami telah mengulas mengenai prinsip kelima Rukun Negara - kesopanan dan kesusilaan. Slot pendek selama 30 minit. Ia bukanlah program yang sarat dengan pertanyaan dan jawapan. Hanyalah perbualan santai antara saya dengan DJ Jaja, diselang-seli dengan lagu-lagu kotemporari.

Stesyen radio bukan asing buat saya. Pada tahun 1997 sehingga tahun 2000 saya pernah bertugas sebagai juruhebah di stesyen Radio 8 - Informasi Untuk Anda, di Angkasapuri. Bersiaran empat jam setiap hari. Berkongsi ‘konti’ dengan Radio 7 dan Suara Islam. Radio 7 sudah pun bertukar nama kepada Asyik FM, stesyen radio khusus buat masyarakat Orang Asli.

Malangnya selepas lapan tahun beroperasi, stesyen radio ini telah ditutup pada penghujung tahun 2005. Radio 8 berkonsepkan ‘Talk Radio’. Lagu-lagu bukan menjadi keutamaan, ia lebih tertumpu kepada slot bersama tetamu, penjelasan dasar-dasar kerajaan dan juga petikan ucapan pemimpin. Konsep radio ini telah diteruskan secara lebih tersusun oleh Radio Bernama pada tahun 2007. Satu-satunya radio yang mementingkan penyampaian berita dan maklumat, kupasan isu dan slot bersama tetamu. Sesuai dengan tagline “Berita Pantas Info Berterusan”.

Bertugas sebagai DJ atau juruhebah bukan semudah dan seseronok yang disangka. Banyak pantang larang yang perlu diketahui. Penuh cabaran dan dugaan yang perlu dilalui sepanjang masa. Ia bukan hanya habis di konti tetapi turut terlibat dalam dunia wartawan. Mencari bahan di lapangan, menyunting dan menerbitkan rancangan antara  tugas-tugas wajib selain menyediakan skrip semasa bersiaran.

Tugasan sentiasa mengejar ‘date line’ yang tak kunjung padam. Bertugas semasa Hari Raya sudah menjadi ‘kain basahan’ kami. Kepedihan hanya ‘terubat’ dengan panggilan pendengar atau berkongsi rasa dengan DJ stesyen lain.

Kini konti di radio lebih hebat teknologinya. Boleh dikatakan hampir automasi sepenuhnya dengan perkakasan Dalet. Semuanya 'digital'. Tiada lagi mesin  dan catridge. Lengkap dengan internet yang menghubungkan DJ dengan peminat.. Dahulu kami hanya ada mesin pemutar pita di belakang kerusi DJ. Disebelah kanan panel DJ terdapat pemain ‘catridge’ untuk memainkan jingle dan ‘ID station’ selain mesin pemain CD lagu. 

Bila sesekali kembali ke ‘konti’  teringat kisah-kisah lama, rakan-rakan lama, abang-abang DJ senior yang dianggap sebagai guru. Benarlah kata pepatah, tempat jatuh lagi dikenang apatah lagi tempat bermain.

p/s Maaf tuan Megat pinjam foto. Ha ha hak.

Jan 25, 2014

Sabar Menanti 2

Kesabaran itu ada hikmahnya. Pada hari saya  bertolak ke Kota Kinabalu saya dijamu sepuas-puasnya  oleh Yahya dan Anna rakan di Labuan menikmati kuih cakoi bersalut mentega dan kaya. Bukan di Restoran Sabar Menanti tetapi di restoran lain. 

Walaubagaimanapun kenikmatan kuih cakoi itu sudah jauh merosot berbanding  dahulu. Mentega dan kaya tidak lagi setebal seperti sepatutnya, ia disalut nipis dan dipotong kecil. Mungkin kerana harga barang asas yang sudah naik atau pun peniaga cuba memaksimakan untung. Ada kemungkinan juga pewaris perniagaan itu tidak benar-benar menguasai ‘resepi asli’ makanan tersebut.

Mengekalkan rasa asli sesuatu makanan amat penting. Ia sebagai kuasa ajaib untuk mengekalkan tarikan pelanggan ke premis mereka. Pada tahun 1980 ketika mula-mula saya berkenalan dengan Bandar Kuantan, gerai nombor 6 di tepi sungai Kuantan yang dikenali sebagai ‘benteng’  itu menjual lychee kang  yang amat enak rasanya. Rasa asli resepinya begitu mengujakan dengan tambahan buah prune dan telur puyuh. Dijual pada harga RM1.60. Harga yang ‘boleh tahan’ juga pada masa itu.

Dua atau tiga tahun selepas itu, bila berkunjung ke Kuantan sekali lagi saya bertandang ke gerai yang sama. Memesan Lychee Kang yang ‘umpph’ ini.  Amat mengecewakan,  beberapa bahan utama telah dibuang daripada resepi aslinya.  Buah lychee, prune dan telur  puyuh sudah tiada lagi.

“Kenapa sudah kurang bahannya bang?”

“Harga barang dah naik lah dik… tak boleh nak buat macam dulu… tak boleh nak tampung ”

Nampaknya isu barang naik ini telah berlaku secara berulang-ulang. Tiada noktahnya. Cuma saya melihat perbezaan  corak pemikiran antara peniaga dahulu dan sekarang. Peniaga dahulu mungkin lebih peka terhadap nasib pelanggannya. Mereka rela mengekalkan harga untuk membolehkan pelanggan menikmati makanan yang sama walaupun mutu dan keperisaanya berkurangan. Berbanding peniaga sekarang bukan sahaja menaikkan harga lebih mahal tetapi rasa makanannya tidaklah sesedap mana.

Sudah tentu usia saya yang melepasi separuh abad ini telah menikmati pelbagai jenis makanan dan masakan. Ada jenis makanan yang sudah atau sukar ditemui lagi untuk dinikmati. Teh Haji Hashim yang paling enak pernah saya minum tidak akan ditemui lagi. Kerana resepi campuran tehnya berkubur bersama tuannya. Pada masa yang sama puluhan resepi baru muncul dan dicipta. Tidak kurang juga resepi yang menjadi warisan telah hilang tanpa ada penggantinya.

Namun begitu ayam goreng Kentucky Fried Chicken (KFC) adalah contoh resepi warisan yang telah diniagakan secara komersil. Ia diperkenalkan oleh Kolonel Harland David Sanders  pada tahun 1930. Ayam goreng KFC  hampir sahaja boleh dinikmati di mana-mana di seluruh dunia. Ada juga restoran makanan Malaysia yang meniru konsep franchise tersebut tidak mencapai kejayaan. Antaranya ialah Restoran ‘Satay Ria’ yang pernah dibuka  sehingga ke London pada pertengahan tahun 1980an.


Begitu pun saya telah menikmati dua ketul ayam ‘crispy’, sekotak kentang goreng, teh ‘o’ panas secara percuma di KFC Lapangan Terbang Labuan. Habuan daripada MAS untuk saya terus ‘sabar menanti’ kerana jadual penerbangan dari Labuan ke Kota Kinabalu ditunda dari jam 7.40 petang kepada 10.30 malam. Adoyai…….