Jul 4, 2009

Permata Yang Hilang

Di akhir bulan Jun lalu, kami mengulangi lagi perjalanan dari Marang, Ajil, Bandar Muadzam, Kuala Pilah, Seremban. Esoknya bersambung lagi, Seremban, Kuala Lumpur sebelum ‘berlabuh’ di Temerloh. Bandar Ikan Patin.


Kami sering memilih bermalam dan melepaskan lelah di Rumah Rehat Temerloh. Rumah Rehat di atas bukit bersebelahan SRJK Khee Chee, Jalan Hamzah bukan sahaja luas biliknya tetapi harganya juga berpatutan.


Malam itu ketika memandu kembali dari Pasaraya The Store ke Rumah Rehat mata saya tertancap kepada nama jalan, Jalan Sudirman yang menyingkap nostalgia. Allahyarham Sudirman baru sahaja dianugerahkan gelaran Datuk selepas 18 tahun pemergiannya. Saya adalah peminat nombor ‘wahidnya’ walaupun tidak menyimpan koleksi gambar atau lagu-lagunya. Saya amat mengaguminya sebagai penyanyi dan penghibur No 1 Malaysia.


Selepas kehilangan P.Ramlee saya fikir tiada lagi penghibur sebaiknya kecuali Sudirman. Bakatnya cukup teserlah selepas memenangi Bintang RTM 1976. Seorang anak muda berkelulusan undang-undang yang memilih penyanyi sebagai kerjayanya. Dia benar-benar berjaya dalam dunia hiburan. Satu demi satu gelaran diraih, pencapaian terbaiknya bila memenangi ‘Best Performer’ tahun 1989 dalam pertandingan Asia Music Award di Albert Hall, London.


Lagu-lagunya menggetarkan perasaan. Liriknya bersahaja dan sesetengahnya meninggalkan kesan yang mendalam bila diputar. ‘Merisik Khabar’, ‘Milik Siapa Gadis Ini’ dan ‘Sampaikan Salam’ merupakan lagu-lagu yang popular dan ‘sentiasa hijau’. Lagu-lagu dan persembahanya tebal dengan nilai patriotik dan ‘ukiran’ kisah-kisah orang biasa yang mengujakan. Tanggal 31 Ogos, Warisan, Basikal Tua, Punch Card, Seruling Bambu, Aku Penggangur adalah sebahagian dari lagu-lagu yang mengangkatnya sebagai penghibur yang tiada ‘taranya’. Tahun 1986 ketika dia menyanyi di Jalan Chow Kit, 100,000 peminat ‘menyerbu’ dan ‘membanjiri’ Jalan Tunku Abdul Rahman , Jalan Raja Muda ke Jalan Raja Alang menyaksikan persembahannya. Saya tidak menjangka penyanyi sekarang mampu menarik sebegitu ramai peminat dari pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan melimpah sehingga ke Singapura, Brunei dan Indonesia seperti yang dicapai oleh Sudirman.


Penghibur ’terbilang’ ini juga berbakat berlakon dan melukis kartun. Sepanjang kerjayanya dia telah digelar ’Elvis Presley Malaysia’ dan sehebat ’Michael Jackson’. Temerloh telah melakar sejarah. Melahirkan seorang penghibur ’luar biasa’ auranya, sehingga kini tiada galang ganti. Jika kami singgah lagi ke Temerloh, kami akan tetap menemui jalan ini, tapi tidak mungkin menemui lagi seseorang sehebat namanya, Datuk Sudirman Haji Arshad. Al-Fatihah.

17 comments:

Tirana said...

Pok Li..

Saya pun peminat Sudirman. Dulu..boleh dikatakan semua lagu dia saya hafal (zaman kanak2 dulu) tapi sekarang semuanya dah lupa..hehehe.. Semoga Allah merahmati rohnya

Pok Li said...

Tirana
Saya cukup terhibur apabila dia membuat persembahan. Tiada lagi sehingga kini. Bila agaknya tv nak ulang siar persembahannnya itu.

zara said...

Pok Li,

Setiap kali ada penyanyi dinobatkan sebagai penyanyi terbaik/popular, saya akan tetap menyatakan arwah Datuk Sudirman tetap penyanyi/penghibur yang terbaik. Tiada tolok bandingnya.

Ya... saya pun ternanti-nanti ulang siar persembahan beliau.

en_me said...

salam pokli.. mawi kot leh ganti ghitewww.. ekeke

ikan emas said...

Ku meniti awam yang kelabu
ku tempuhi lorong yang berliku
mencari sinar yang menerangi
kegelapan ku..

terkapar-kapar ku kelemasan
sakit di lambung ombak
kerinduan
Di dalam tidur di dalam jaga
Diburu oleh mimpi yang serupa..

GaDiS KaMpUnG sEpArA BaNdAr said...

saya suka lagu merisik khabar

sangat memberi kesan...

nohas said...

Suka tengok lakonannya dlm filem 'Kami'..lagu Pelangi Petang sgt berhantu..tapi lagu paling gedik..'Bercanda di tepian pantai' duet dgn Anita Sarawak..

Memang tiada lagi penyanyi sekarang yg setaraf dgnnya..asyik2 lagu cinta..

Pok Li said...

zara
Betul dan setuju.

Pok Li said...

en_me

Mawi...... saya kena simpan komen saya. Ghitewwww

AzD said...

Saya membesar dgn lagu beliau.

Susah nak cari artis yang berkualiti zaman la ni.

Pok Li said...

ikan emas

hebat..... hafal tu

gadis kampung separa bandar
saya suka lagunya, persembahannya, kartunnya

Pok Li said...

nohas
pelbagai pertandingan muncul untuk memilih seorang bintang. Tapi kita kena tunggu juga siapa ya...

AzD
Mungkin rakyat Malaysia kena ramai lagi kot, baru jumpa yang berbakat.

zino said...

zino juga minat dengan lagu lagu sudirman..

Pok Li said...

zino
Kita serupa

adnieyl achan said...

Lagu-lagu sudirman sering menjadi mainan tidur saya masa di universiti.
teringat pertandingan tiru macam sudirman, ada seorang sahabat yang boleh meniru macam Allahyarham, sebijik, namun tiada yang boleh menggantikannya yang telah pergi.
Al-Fatihah untuk Allahyarham...

AMMOSHAM said...

mati-mati ingat buku permata yang hilang.

GaDiS KaMpUnG sEpArA BaNdAr said...

pok li,

bila nak update N3 baru???

dah rindu dengan penulisan pok li..

hehehe...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails