Apr 28, 2009

Travelog - 1600km


Saya telah menamatkan perjalanan sejauh 1600 km. Selama empat hari menelusuri jalan kampung, jalan persekutuan, lebuhraya dan juga merentasi empat negeri, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan dua wilayah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Tidak ada ‘perkara’ yang menakjubkan, tetapi itulah lebih kurang jarak yang saya lalui setiap kali mengambil pulang anak atau menghantar kembali mereka ke tempat belajar. Sejak tahun 2006 saya telah’mengembara’ tiga atau empat kali setahun. Begitulah tugas seorang bapa yang dilakukan bersama ‘ibu’ yang tetap setia menemani setiap kali rutin itu berlaku.

Kami telah sampai ke kampung yang indah dan permai itu. Malam itu kami berkumpul adik-beradik bercerita tentang hidup masing-masing. Tentang anak mereka, tentang cucu mereka, kehidupan mereka dan juga kehidupan kami, anak kami, cuma sedikit kurang kami belum bercucu. Seringkali kami berbual sehingga larut malam. Tapi malam itu belum jam 10.00 malam saya sudah minta diri untuk tidur. Keletihan telah membuatkan saya tidur dengan nyenyaknya. Keesokannya bangun awal dan menghirup angin desa yang segar. Terasa masih sama seperti empat puluh sembilan tahun dahulu.

Namun masa begitu pantas, empat puluh sembilan tahun seolah-olah baru sahaja berlalu. Terlalu banyak perubahan telah berlaku. Mesin getah di seberang sawah sudah menyembah bumi bersama rumahnya. Sawah sudah bertukar menjadi kolam ikan. Rumpun buluh di penjuru ‘kampung’ sudah tiada lagi. Pokok-pokok getah dihadapan rumah sudah berganti dengan pokok kelapa dan pokok durian. Hutan dibelakang rumah juga sudah juga diganti dengan kebun getah. Baru semalam rasanya mencantas buluh padi itu untuk membuat senapang ‘seletup’. Baru semalam rasanya saya memasuki hutan itu bersama emak mencari ‘urat kayu’. Baru semalam rasanya saya bersama abah melecet getah keping dan memesin getah bersama-sama.

Setiap kali saya pulang, pasti saya akan bertanya siapa pula menemui ajal. Jiran-jiran terdekat kami telah ‘ghaib’ satu persatu. Tok Arjo, Wan Siah, Teh Salleh, Cik Sudin, Ayah Utoh, Mak Ayum, Tok Abu,Wan Redup telah lama meningal dunia. Mereka ini adalah watak-watak jiran yang saya kenal sejak dari kecil sehinggalah saya besar, berkahwin dan mempunyai anak. Abah di penghujung umurnya masih lagi rajin menziarahi rakan-rakan sekampung walaupun terpaksa berkerusi roda. Setiap kali pulang saya akan membawanya menemui adik rakan karibnya yang masih hidup, Ucu Pilus. Masing-masing sudah berusia tua ketika itu. Sering kali mereka menangis apabila bertemu, mungkin mereka sedar mereka adalah generasi yang terakhir yang masih ‘hidup’ dan hanya menanti hari sahaja. Saya hanya sempat dua kali menziarahi Ucu Pilus selepas kematian abah. Setiap kali saya datang dia akan berwajah hiba, mungkin ada iras abah di wajah saya. Selepas setahun kematian abah, Ucu Pilus pula ‘hilang’ dari alam fana ini.

Sebelum pulang saya berdiri sekali lagi di pusara abah dan emak. Membaca Al-Fatihah dan berdoa. Rutin ‘wajib’ setiap kali saya menjenguk kampung kelahiran. Di sini sahaja saya akan menemui kembali ‘jiran-jiran’ saya, Tok Abu, Wan Siah, Wan Redup, Teh Salleh, Ayah Utoh, Mak Ayom dan Ucu Pilus. Mungkin juga saya akan kembali berjiran dengan mereka pada satu masa dan satu ketika yang entah bila. Wallahuallam.

Catatan : Tok Arjo telah pulang ke tanah kelahirannya di Jawa Barat selepas kematian isterinya, Wan Siah. Tidak memiliki anak hanya anak-anak tiri daripada bekas isterinya. Meninggal dunia selepas dua tahun pulang ke Indonesia.

9 comments:

nohas said...

Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain...dunia ini hanya pinjaman..

zino said...

jauh berjalan banyak yg di kenang dan loteh la badan hehe...

Apa Khabar Orang Dungun said...

tetiba rasa syahdu..kamis ni konpem balik tk. intan..

zara said...

Skali-skali mengembara sejauh begitu menyeronokkan walaupun ianya memenatkan. Jauh berjalan banyak pemandangan indah terakam diingatan.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh-roh mereka yang telah pergi. Al-fatihah untuk mereka.

IlhamHamdani said...

Salam,

Entah tiba-tiba teringatkan tempat jatuh, tempat bermain ...

Hai, kalau ada sayap pari-pari, boleh terbang balik, walaupun sesaat saja.

IlhamHamdani,
Canberra, Australia

akuduniaku said...

salam to Pok Li

nampaknya Pok Li bz bonar skang..
jaga kesihatan dalam kerja kerjaan k..

jempot singgah page aiman kalao ader masa..

he3x..

n jempot singgah ke rumah ma n abah kat jengka kalao ader rezki..

salam kembali..

waksir said...

SYABAS..CANTIK BLOG ANDA..BERSAMA KITA SELAMATKAN MALAYSIA..WA CAYA SAMA LU..

Tirana said...

Pok Li samalah macam saya..asal balik aje kampung, mesti tanya ibu, siapa yang telah meninggal..Ramai dah jiran2 saya dulu (geng ibu dan ayah saya) yang meninggal..

Pok Li said...

Nohas
Begitulah kehidupan .. yang hanya sementara

Zino
Jauh perjalanan luas pandangan. Tapi memang melotihkan.

Orang Dungun
Selamat balik kampung. Jangan lupa singgah menara condong.

Zara
Begitulah. Alfatihah.

Ilham Hamdani
Tempat kelahiran adalah bumi yang mula-mula kita mengenal alam dan kehidupan. Memang terasa kerindan terutama yang kejauhan.

Aiman
Terima kasih kerana ingatkan saya. Kesihatan lebih berharga daripada kekayaan kannn. Mungkin Mei ini saya turun Jengka. Puhhh.

Wak Sir
Terima kasih tuan lawat blog saya. Cerita biasa-biasa sahaja.

Tirana
Akhirnya kita merasa semakin tua, kerana orang-orang tua yang kitra kenali dulu sudah 'pergi'' satu persatu persatu.