May 18, 2010

Selamat, Selamat, Selamat


Tiga hari lepas kita baru sahaja menyambut Hari Guru. Saya hanya sempat mengucapkannya di Facebook. Mengingati semula guru-guru yang masih hidup dan yang sudah kembali ke alam baqa. Saban tahun saya kehilangan guru-guru yang pernah mengajar saya samada di sekolah rendah hinggalah ke sekolah menengah. Guru-guru mengaji Al-Quran dan agama. Juga kepada mereka yang saya anggap guru walaupun bukan seorang 'cikgu'.

Beberapa tahun lepas saya berjumpa Cikgu Bakar. Cikgu yang mengajar mata pelajaran lukisan ketika saya di Tingkatan Lima. Walau pun tidak mengambil mata pelajaran itu tetapi saya tetap berada dalam kelasnya. Jenakanya sering membuatkan kami rasa gembira. Setiap kali melukis gambar kereta dia tetap melukis gambar kereta Volkswagen . "Ini lah kereta yang paling senang dilukis" dakwanya. Semua pelajar akan ketawa kerana tahu itu adalah jenama kereta miliknya. Selepas dia menukar kereta dia tidak lagi melukis kereta Volkswagen.

Pertemuan itu hanya sebentar. Usianya sudah 77 tahun. Bersamanya seorang cucu lelaki yang comel berusia lebih kurang 5 tahun. Ketika saya menyalaminya, dia memegang erat dan lama tangan saya.

"Maaf, cikgu tak ingat kamu". Katanya sedikit kesal. "Tak apa cikgu". Kata saya pendek. Masih segar dalam ingatan kata-katanya dahulu, "Saya selalu mengingati tiga murid, seorang yang nakal, seorang yang cerdik dan seorang lagi pemain bola sepak sekolah". Memang patut pun dia tidak mengingati saya, saya 'budak pendiam' di sekolah, tidak juga cerdik dan cemerlang, juga bukan pelajar pintar bola yang sering mengikuti latihan di bawah bimbingannya.

Selepas berbasa-basi, kami berpisah lagi. Saya lihat matanya berkaca. Mungkin rasa gembira menemui murid yang sudah tua. Atau rasa tersentuh kerana masih ada anak murid yang sudi menegurnya lagi. Mungkin juga ada perkara lain yang dia sedang fikir. Entahlah.

Apa pun Afif anak bongsu saya tidak berjaya dalam permohonannya untuk menjadi guru. Surat rayuannya juga tidak membuahkan hasil. Buat masa sekarang dunia guru yang diidamkannya tidak menjadi kenyataan. Apa pun 23 Mei ini dia menuju takdirnya untuk belajar di Uitm dalam bidang kejuruteraan kimia. Dia menolak untuk ke Matrikulasi Pahang, di Gambang. Begitulah kehidupan ini kerap kali kita tidak menguasai apa yang kita kehendaki secara mutlak.

Cuma saya hanya mengambil kesempatan di bulan Mei ini untuk membuat ucapan Selamat Hari Ibu, Selamat Hari Guru, Selamat Hari Jururawat, Selamat Hari Pekerja, Selamat Hari Belia, Selamat Hari Lahir, Selamat Raja Sehari. Tidak lupa juga cuba mengulangi semula kata-kata DJ terkenal Radio Pulau Mutiara tahun 90an dulu, Yaafar Sahab, dengan jeritannya di pagi-pagi hari dengan ungkapan ....Selamat, Selamat, Selamat, Selamaaaaaaaaaat.

12 comments:

Tirana said...

Selamat Pok Li. Cikgu yang pertama mengenalkan saya kepada huruf Rumi telah meninggal dunia..Cikgu Osman namanya. Semoga Allah merahmati semua guru2 samada yang masih hidup ataupun yang telah pergi..

sahromnasrudin said...

bulan mei penuh dgn hari kan, pok li..dari hari ibu sampai la hari cikgu..apapun, semua insan itu penting bagi kita

kasihibu said...

Salam Pok Li
berbunga hati seorang guru kan bila anak murid masih kenal dan menegur sapa...

ikan emas said...

Selamat , selamat ,selamat, selamattttttttttttt...


Selamat pagi PokLi,

Abu Aiman said...

InsyaAllah, mudah2an ada rezeki kot lain nanti buat anak bongsu pok li itu...

Malaysia memang banyak sambutan, selamat-selamat semua.

Pok Li said...

Tirana
Cikgu pertama saya masih hidup lagi. Bernama Cikgu Jamaluddin. Raya lepas saya jumpa. Dah uzur.

sahromnasrudin
Semuanya penting. Tunggu Hari Bapa pula.

sayangsayangibu
Saya senang sekali kalau berjumpa guru-guru yang pernah mengajar saya. Ada yang sampai sekarang tak pernah jumpa.

ikan emas
Selamat juga. He He He

Abu Aiman
Insya Allah. Mudah-mudahan atas doa.

tunbegia said...

salamm n terimaksih singgah blog haku yang xde apa2 tuh,

al-lavendari said...

memang hidup begitulah .. kadang2 tak dapat buat apa yang nak di buat dan kadang2 kena buat apa yang tak nak di buat.

sha said...

Besar nikmatnya menjadi guru..

nohas said...

Bagusnya anak Pok Li nak jadi guru, takpe, lepas ni boleh jadi guru kimia..

Saya dah byk lupa nama guru2, teruknya anak murid..

Pok Li said...

tunbegia
Tetap ada sesuatu daripada yang kita sangka tiada apa-apa

al-lavendri
Kehidupan di dunia ini kadang kala seperti pengemis. Tidak mampu memilih.

nohas
Insya Allah jika sampai masanya.

Pok Li said...

sha
Amalan yang membawa ke liang lahad.