Nov 7, 2008

Musim Haji Tiba Lagi


Sudah lebih daripada satu minggu kita meninggalkan bulan Syawal. Sudah lebih satu minggu juga kita berada di bulan Zulkaedah. Bulan yang menyaksikan ramai rakan dan kenalan, saudara-mara pergi menunaikan Haji ke Tanah Suci Makkah. Minggu lepas saya telah menziarahi kakak sepupu di kediamannya di Jalan Bukit Besar, Kuala Terengganu. Ini kali kedua, dia dan suaminya menunaikan fardhu haji. Persediaannya nampak ringkas. Tiada kenduri dan jamuan.

“ Jiran-jiran pun tak tau Kak Long pergi ni’
“ Mungkin esok lusa Kak Long bagi tau lah”
“Ini kali kedua pergi, tak payah heboh-heboh sangat” ‘Gitu ke’ fikir saya.
“Tiga hari lagi Kak Long akan turun ke KL, tidur rumah Lily, lepas tu tidur rumah Nina kat Putrajaya”. “Lepas tu biar Amir aje yang hantar Kak Long ke airport”. “Yang lain tu tak payahlah”. Lily anaknya yang sulong, Nina anak keduanya dan Amir pula adalah anak adik perempuannya yang ‘dibesarkan’ sejak kecil. Ketika entri ini tersiar mereka sudah pun berada di Kota Makkah.

Malam tadi saya telah hadir kenduri ‘tahlil’ sahabat saya Ayob di Darat Pak Chang, Marang. Selepas menangguhkan pemergiannya tahun lalu, akhirnya ‘seru’ itu sampai juga. Inilah kali pertama dia menunaikan fardhu haji. Kali pertama juga dia akan mendirikan solat di hadapan dan mengadap Kaabah. Menyaksikan keindahan Masjidil Haram dengan ‘mata dan kepalanya’ sendiri. Minum air zam-zam sepuas-puasnya. Solat sunat di Hijr Ismail dan Makam Ibrahim. Berdoa dan memohon keampunan di Multazam. Mengucup Hajar Aswad, dan mengerjakan rukun-rukun dan syarat wajib haji serta menziarahi makam Nabi saw di Masjid Nabawi, Madinah Al-Munawarah. Bertuahlah Ayob kerana menjadi tetamu Allah.

Pemergian ke Makkah sekarang begitu mudah. Hanya menaiki pesawat terbang, selama tujuh atau lapan jam sudah mendarat di Makkah atau di Jeddah. Rombongan menghantar ke Terminal Lapangan Terbang pun sudah semakin kecil bilangannya, hanya sebuah atau dua buah kereta. Itu pun dikalangan adik beradik dan anak beranak sahaja. Mendengar cerita, lima atau enam orang dari satu kampung atau satu taman pergi menunaikan haji ke Makkah juga sesuatu yang lumrah..

Jauh benarlah bezanya ketika Tok Abu dan isterinya Wan Redup ‘naik haji’ pada tahun 1967 dahulu. Pasangan suami isteri ini adalah jiran kami. Ke Makkah waktu itu masih menggunakan kapal laut. Kapal Bunga Raya. Lama sebelum berangkat, mereka sudah bersiap sedia dengan pelbagai kelengkapan. Bukan sahaja membawa kelengkapan haji, pakaian dan ubat-ubatan tetapi termasuk juga bekalan makanan. Ikan kering, lada kering, kerisik,belacan, beras, rempah-ratus,............ dan dapur. Tiada pakej makanan seperti sekarang untuk jamaah haji. Mereka terpaksa menyediakan beg baju dan peti ‘besar’ untuk mengisi barangan tadi termasuk ‘KAIN KAPAN’. Kebiasaanya mereka akan ‘belayar’ sebelum bulan Ramadhan atau ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa.

Sebelum ‘belayar’, Tok Abu dan Wan Redup telah mengadakan kenduri ‘tolak bala’, berdoa kepada Allah, supaya selamat perjalanan pergi dan kembali. Kenduri itu telah dihadiri oleh kenalan, saudara-mara, ipar-duai, adik beradik dan orang kampung. Masing-masing mengambil kesempatan untuk sama-sama bermaaf-maafan, saling halal menghalalkan yang termakan dan terminum serta perbuatan yang ‘lebih kurang’. Tetamu menitipkan wang dan bekalan makanan kepada bakal haji dan hajah ini. Mereka tidak pasti adakah mereka ‘panjang umur’ untuk kembali semula ke kampung. ‘Pelayaran’, mereka bukan tujuh atau lapan jam. Bukan juga seratus dua ratus kilometer, tetapi mengambil masa sebulan lebih dan beribu kilometer jauhnya. Mengharungi lautan luas, Lautan India, Teluk Benggala, singgah di Ceylon (Sri Langka) merentasi Laut Arab, Pelabuhan Aden sebelum berlabuh diperhentian terakhir, Jeddah. Pemergian Tok Abu dan Wan Redup telah dihantar dengan rasa pilu. ‘Orang kampung’ telah menyewa sebuah bas, menghantar ‘suami isteri’ ini ke Port Swettenham (Pelabuhan Klang). Mereka bimbang inilah pertemuan terakhir mereka. Sebelum bertolak azan dilaungkan, sebaik sahaja rombongan bergerak, beberapa das tembakan senapang patah dilepaskan ke udara. Haji Abu dan Hajah Redup sudah lama meninggal dunia. Namun begitu Haji Abu sempat sekali lagi menunaikan fardhu haji menaiki kapal terbang tanpa perlu membawa ‘dapur’ dan ‘kain kapan’………. :)


.

12 comments:

akuduniaku said...

salam Pok Li

Entah apa yang aiman fikirkan tapi rasa sebak lepas baca artikel ni..hurm...???

RY said...

saya sempat dengar cerita arwah tok ayah tentang pengalaman org dulu2 pergi mekah naik kapal. lama. berbulan2 baru kembali.

pokli, kalaulah ada arwah tok ayah dan isterinya lagi.setiap kali kapal terbang lalu dibumbung rumah kami di batu rakit, pasti kedua2 arwah tahu itu adalah pesawat keberangkatan tiba jamaah haji. pandai betul diorang budget. sbb mmg betul!

Anonymous said...

salam Pok Li, posting yang bagus.

RAHISAM RAMLI said...

Salam Pok Li-pemergian ke Tanah suci memang saat yang menyebakkan perasaan. Betapa hebatnya pengorbanan wang ringgit, keluarga dan segala harta benda semata-mata menyahut seruan Ilahi.

Anonymous said...

dengar cerita haji entah bila agaknya saya sempat g haji...umur baru 25 harapnya 15 tahun lagi sempat saya jejak ke tanah suci mekah...aminn...
http://peminatjutawan.blogspot.com/

Pok Li said...

salam aiman - terharu lak saya :)

salam razor - orang tua belajar dari alam dan pengalaman.

salam putera bumi - T,kasih

salam rahisam - pengorbanan ini lebih kecil jika dibandingkan dengan pengorbanan Nabi Ismail. Wallahualam.

Salam Jutawan - selamat singgah, insyallah dimana ada kemahuan disana ada jalan. :)

azlanlin said...

Perbezaan zaman, berbeza juga pengisiannya. Berbeza juga mentalitinya. Apa-apa perbezaan pun, matlamatnya tetap sama..tak gitu Pokli?

Brahim Nyior said...

Pokli,
Dah jadi tetamu Allah? Saya teringin sangat. Betul! Saya memang maksudkan saya teringin nak ke Mekah. Tiap kali lepas solat, saya pohon agar Allah panjangkan usia saya dan isteri, agar kami dapat tunaikan satu hari nanti. Ikut gilirannya, saya hanya dapat kerjakan haji pada 2019. Lama tu...

Pokli, doalah untuk saya. Mungkin maqbul. Saya tekad, satu hari nanti, saya dapat pergi juga. Insya ALlah...

Pok Li said...

Salam Azlanlin - Betul :). Terima kasih kerana singgah.

Salam Izuddin - saya telah mengerjakan umrah beberapa tahun yang lalu. Sama-sama kita saling berdoa. Insyallah jika ada rezeki, umur yang panjang, sihat tubuh badan kita akan dapat menunaikan Rukun Islam yang terakhir ini. Amin.

fahana_ann said...

niat untuk pergi sentiasa ada.alhamdulillah, pendedahan mak dari kecil buat ras berkobar2 nak pergi..cerita dari mak masa arwah nenek naik kapal pergi haji memang tak dapat bayangkan..dan mak abah yang dah pergi dulu serasa nak pergi lagi..tempat yang memang menggamit hati umat islam

Pok Li said...

Fahana_Ann - Setiap orang Islam wajib punyai keinginan yang sama.

gondangmas said...

assalamualaikum.pok li ke indon dah pogi ,bila lak nak gi umrah..kita pakat g umrah lak tahun depan ni...