Dec 9, 2008

Si Tanggang

Sewaktu menunggu-nunggu ketibaan sahabat yang ‘berjanji’ untuk datang kerumah di petang Hari Raya semalam, Angah, anak perempuan saya, telah menayangkan sebuah filem dokumentari pendek sebuah kisah benar berjudul ‘Christian The Lion’. Filem ini mengisahkan dua orang lelaki yang bersahabat baik telah memelihara seekor anak singa yang diberi nama ‘Christian’. Oleh kerana ‘Christian’ ini semakin hari semakin membesar, ia kemudiannya telah dilepaskan ke hutan untuk menjalani kehidupan liarnya. Selepas beberapa tahun ‘anak singa’ ini dilepaskan, kedua-dua lelaki ini telah menempuh perjalanan sejauh 5,000 km dari London ke Kenya semata-mata untuk bertemu ‘Christian’. Mereka sebelum itu telah dingatkan, belum pasti ‘anak singa’ itu masih mengenali mereka lagi kerana perpisahan yang agak lama. Kisah ini memang mengharukan bukan sahaja ‘anak singa’ yang telah menjadi ‘raja singa’ itu mengenali lagi ‘keluarga angkatnya’ tetapi juga telah menyambut mereka dengan ‘jilatan’ dan pelukan penuh kasih sayang.

Selepas menonton filem dokumentari pendek ini saya berfikir panjang mengenai cerita seorang kawan ketika berbual-bual di Kuala Terengganu beberapa bulan yang lalu. Kisah benar mengenai sebuah keluarga di kampungnya. Kisahnya bermula dengan perkahwinan seorang lelaki tanpa restu ibu. Beberapa tahun selepas berkahwin mereka telah dikurniakan dengan tiga orang anak. 'Malang selalunya tidak berbau’, ajal maut di tangan Allah, lelaki ini telah meninggal dunia. Menambahkan kesedihan, penama simpanan, insuran dan pampasan masih lagi diletakan atas nama ibu lelaki ini. Tidak tahu hendak kemana, apatah lagi isteri lelaki ini tidak bekerja dan anak-anak pula masih kecil mereka terus tinggal dirumah mertua dan mengharapkan 'belas ehsan' mereka. Perkahwinan tanpa restu ini pastinya keluarga ini ibarat 'melukut ditepi gantang'. Mereka terpinggir dan dipandang rendah oleh adik beradik dan ipar duai keluarga suaminya. Apa yang dia boleh lakukan, untuk pulang kerumah ibubapanya pun, mereka juga hidup ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Untuk tidak menanggung kesusahan dan menyusahkan keluarga sendiri lebih baik sahaja ‘berteduh’ di rumah ibu mertua walaupun terpaksa bertahan dengan karenah mereka.

Masa terus berlalu. Dalam diam-diam ibu mertuanya telah memberi perhatian yang ‘lebih’ kepada ‘anak lelaki sulung’ perempuan ini. Layanannya lebih baik berbanding dengan adik-adiknya yang lain. Boleh jadi kerana ‘cucunya’ ini lebih cemerlang dalam pencapaian akademiknya. Lebih jauh lagi ia bukan sahaja telah ‘dimanjakan’ tetapi juga 'dihasut' untuk ‘membenci’ ibunya. Oleh kerana kesungguhannya belajar, ‘cucu’ ini telah berjaya dalam pelajarannya sehingga berjaya menjejaki kaki ke ‘menara gading’. Kini ‘cucu’ ini sudah berjaya dan berkerjaya.

‘Isteri lelaki’ tadi yang telah tinggal berbelas-belas tahun bersama ibu mertuanya serta sudah ‘puas’ dipandang rendah, dicaci dan dihina akhirnya telah berpindah bersama-sama anak-anaknya ke rumah sewa. Tinggallah anak lelaki, ‘cucu’ kesayangan neneknya yang enggan berpindah sama. Kata orang tua-tua ‘kasih ibu, sepanjang jalan' , tetap setia datang menjengok anak lelakinya setiap kali dia pulang kerumah neneknya. Petang itu terbayang-bayang dimata saya, di hari baik bulan baik ini seorang perempuan yang pucat mukanya, berjalan perlahan-lahan menuju ke rumah ‘ibu mertua’nya untuk menjenguk anaknya yang tak pernah pulang………………....

20 comments:

Bonekahati said...

Salamz pokli.. selamat hari raya korban. Saya nak sentuh sikit pasal cerita lion tu. Saya dah tengok cerita tu...
sedih sgt sampai saya nangis. Bagaimana kasih sayang seekor binatang kepada tuannya. sebenarnya haiwan2 belaan ni kalau terpisah dgn pemiliknya dia pasti akan rindukan sgt2 tuannya. Saya terkenangkan kucing kesayangan saya YENG. hik..hik..

Pok Li said...

Kittun
Bersabarlah. Cuma yang tumbuh tak sama dengan yang patah.

Tirana said...

Pok Li..binatang pun tahu mengenang budi dan menyayangi orang yang memeliharanya. Jika manusia yang berakal fikiran jadi seperti kacang lupakan kulit, maka jadilah kita lebih rendah tarafnya dari binatang..

en_me said...

teringat harimau putih yg membaham penjaga zoo singapura bulan lepas.. ganasss sehhhh.. ekeke

nohas said...

Di celah-celah kehidupan, ada pelbagai cerita yg boleh dijadikan pengajaran & ikhtibar..

Kasih ibu sepanjang hayat..teringat filem "Ibu Mertuaku'..

Anonymous said...

aish...terharu pula baca entri kali ini

kalau timbul perkataan ibu bapa tue, memang bergenang air mata saya dibuatnya

Selagi ada ibu bapa di dunia ni, sayangi dan jaga mereka dengan kasih sayang.

Semasa mak saya eksiden dulu, tak sedarkan diri. Saya teringatkan DOSA saya terhadap mak saya sepanjang saya hidup

Alhamdulillah, Allah masih sayangkan kami sekeluarga. Emak sudah sembuh

Kita akan lebih menghargai seseorg, sekiranya org yg kita sayangi itu telah tiada di depan mata.

Patutkah kita berbuat sedemikian???

theblabber said...

hargai mereka sementara masih ada.
btl kata jawahir tu =/

Pok Li said...

Tirana
Islam telah meletakkan ibu ditempat yang utama. Malang sekali semasa ibu masih hidup kita mempersiakannya.

Pok Li said...

en-me.
Seganas-ganas binatang, kadang-kadang manusia lebih ganas. iteww.

Pok Li said...

Orang Bukit
Masih teringat arwah ibu mertua saya yang masak ketam goreng yang sedap.

Pok Li said...

Jawahir
Selagi mereka hidup berbaktilah. Kedua ibu dan bapa serta kedua mertua saya telah meninggal dunia lima ke enam tahun dahulu. Apabila Hari Raya datang saya amat terasa kehilangannya.

Pok Li said...

Mieze

Saya juga sokong

The Spiral Eyes said...

sedihnya....walau aku phobia dengan kucing tapi....aku tahu mereka makhluk yang berperasaan kadang kala lebih dari manusia

akuduniaku said...

salam buat Pok Li

entri kali ini sangat menyentuh hati..
tba2x teringat yang kita semua tak pernah lepas dari menyakiti hati ibu kita walau niat tiada bersama..

hurm..

moga allah curahkan rahmat untuk ibu kita semua..

amin..

Pok Li said...

The Spiral Eyes
Tiada cerita manusia dalam dunia binatang tetapi banyak cerita binatang dalam kehidupan manusia.

Pok Li said...

Aiman
Mudah-mudahan kita sentiasa mendapat restu ibu.

RY said...

citer dia x habis lagi tu. selagi anak dia x insaf/mak dia dah penat. baru abis.

saya pun ada cerita mcm ni raya aji ni. nanti lah buat entry.

Brahim Nyior said...

Sedihnya kisah ni. Memang anak tu derhaka. Derhaka sungguh.

Saya yang dah tiada mak, amat merindukan belaian mak... masakan mak, senyuman mak..

Berbahagialah mereka yang masih punya ibu untuk disayangi.

Pok Li said...

Razor
Ceritanya belum habis, tunggulah macam mana pembalasannya.

Pok Li said...

Saudara Izuddin

Kita serupa. Tiada mak, mak mertua, abah dan babah mertua. Ya beruntunglah pada yang masih ada ibu bapa.