Oct 30, 2008

Lupa Atau Tak Ingat


Semalam saya telah dikunjungi oleh beberapa orang ‘kawan lama’ dari Kuala Lumpur. Mereka sebetulnya ada urusan di Kuala Terengganu. Oleh kerana masih teringat ‘kawan-kawan’ yang sama-sama ‘cari ‘makan’ di Kuala Lumpur satu ketika dahulu, mereka telah singgah di Marang. Mereka datang berlima dan saya hanya mengenali dua orang daripada mereka. Sudah menjadi kelaziman agaknya, sesekali berjumpa selepas bertahun-tahun berpisah, cerita kami lebih banyak berkisar tentang ‘nostalgia’ masa lalu. Kemudian, baru lah kami menyentuh isu-isu semasa dan terkini.

Walaupun kami rancak berbual, saya berada dalam keadaan kurang selesa, kerana saya tak mampu mengingati nama seorang lagi ‘kawan’ saya itu. Perbualan terus berlangsung lancar tetapi sebenarnya saya ‘bekerja keras’ untuk mengingati namanya. Saya akui inilah kelemahan utama saya. Saya mampu mengingati raut wajah seseorang tetapi bukan namanya. Cuma saya terfikir bukan saya seorang sahaja yang mengalami keadaan ini, ramai lagi………….

Beberapa tahun yang lepas ketika saya menghadiri sebuah bengkel, saya telah bertemu dan berbual dengan seorang kawan yang lebih berusia dari saya. Dia lebih jujur dan berterus terang.

“Minta maaf lah, ‘Siapa nama kau ah, aku dah LUPA lah,”
“Nama aku Ayub”,
“Bukan, Bukan….. Aku tau nama kau bukan Ayub”
“Ayub”,
“Bukan”,

Selepas menyebut nama saya yang sebenar. Dia mengiyakan; “Betul, betul, tu nama kau”.
Saya fikir dia bukan TERLUPA tapi dia TAK INGAT.

Saya tidak pernah berkecil hati jika ada diantara mereka tidak dapat mengingati nama saya. Tidak juga berkecil hati jika nama saya tersalah sebut. Kerana nama saya bukan sahaja sukar diingati dan disebut tetapi juga sering disalah eja. Seingat saya semenjak dari kecil hinggalah usia sekarang, belum ada lagi kawan-kawan yang namanya serupa dengan saya. Walaupun pun begitu nama saya bukan lah ganjil sangat. Kerana nama ini banyak juga digunakan oleh rakyat Indonesia dan sarjana Islam malah ada satu bandar di Iran yang sama namanya dengan nama saya :)

Pada hari, tempat, masa dan majlis yang lain pula seorang kawan lama juga telah mengajukan soalan yang sama kepada saya;

“Nama kau sapa ah, aku dah tak INGAT lah’
Nama aku Ayub”
Ayub, Oh ya, Ayub…. He,he,he

Selepas itu sepanjang perbualan kami dia memanggil saya dengan nama ‘Ayub’. Saya fikir dia bukan TAK INGAT tetapi dia LUPA.

Oct 29, 2008

Cerita Katak


Kesibukan bekerja pada minggu ini membuatkan saya ketandusan idea. Walaupun ada macam-macam isu. Ada macam-macam perkara yang boleh ditulis. Tapi entah dimana silapnya. Idea tu tak mari-mari juga. Akhirnya saya memutuskan untuk menulis sebuah cerita santai. Sebuah cerita kanak-kanak , berjudul ; Anak Katak, Ibu Katak.

Alkisahnya pada suatu masa dahulu tinggal seekor ibu dan anak katak dibawah sebuah lesung ‘tinggal’. Kerana ‘seekor itu sahajalah anaknya, ibu katak sering berpesan, jangan bermain jauh-jauh. Ibu katak bimbang jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini menimpa anak kesayangannya itu. Telah ditakdirkan, pada satu hari anak katak telah terlupa kepada pesan ibunya. Ia telah ‘melompat’ jauh dari kediamannya. Dia ‘terpesona’ dan mengetahui bahawa diluar ‘rumah’nya itu banyak benda baru termasuk binatang-binatang yang tidak pernah dilihat dan ditemuinya selama ini.

Oleh kerana keasyikkan melihat ‘dunia baru’ tersebut, sehingga hari petang baru lah anak katak itu kembali ke ‘rumahnya’. Ketika dia kembali dia sibuk bercerita mengenai pengalamannya bertemu dengan pelbagai benda dan binatang. Semua binatang yang diceritakan oleh anaknya itu telah diketahui oleh ibu katak.

“Kalau begitu rupanya, …..itu ayam”
“Kalau begitu bunyinya, ….itu kucing” , “ Ahhhhh…..Yang itu Itik”,. kata ibu katak dengan bangganya.

Sehinggalah sianak bercerita mengenai penemuannya dengan seekor ‘binatang besar’.

“Mak….., tadi saya menemui seekor binatang besar”
“Besar mana ? Ada besar ni” Tanya mak katak, sambil mengembongkan perutnya
“Besar lagi, mak”
Mak katak mengembongkan lagi perutnya sekali ganda lebih besar dari sebelumnya
Aaaada.. beeesaaar .. niii. Ujar mak katak.
“Besar lagi mak”

Mak katak telah membesarkan beberapa kali ganda dari perut asalnya. Anak katak tetap mengatakan “Besar lagi mak”. Percubaan terakhir ibu katak membesarkan perutnya telah membawa tragedi. Perut ibu katak telah meletup.

Tentulah sebesar mana sekalipun perut ibu katak itu dikembungkan , ia tidak akan dapat menandingi saiz ‘binatang besar’ itu , ……..seekor LEMBU.

Moral of the story, ………. ‘tut’ pikir lah sendiri…

Oct 26, 2008

Pesaka Pengkalan Berangan


Dua minggu terakhir ini saya jarang balik kerumah untuk makan tengahari. Setiap hari ada sahaja jemputan Rumah Terbuka Hari Raya. Kasihan isteri saya, makan tengahari sorang-sorang :(. Beberapa hari yang lepas saya telah dijemput ke Rumah Terbuka Hari Raya di Pengkalan Berangan dalam Mukim Jerung. Jarak pekan ini dari bandar Marang lebih kurang 15 km. Ia hanyalah sebuah pekan kecil, dikelilingi oleh lima atau enam buah kampung tradisional. Terdapat sebuah pasar yang menempatkan peniaga menjual barangan basah, barangan kering serta jualan hasil kampung. Disebelah pasar pula dibina sederet kedai yang menjual barangan runcit, kedai majalah, akhbar dan alatulis. Manakala pada setiap malam khamis pekan ini akan bertukar lebih ‘ceria’ dengan kedatangan pasar malam. Pekan kecil ini berada di simpang tiga, jika membelok ke arah selatan ia akan membawa kita ke Bandar Kuala Berang, Daerah Hulu Terengganu. Jika meneruskan perjalanan ke barat kita akan menemui Pekan Wakaf Tapai dalam Mukim Bukit Payong, Marang.

Rumah Terbuka di Pengkalan Berangan tidak jauh bezanya dengan ‘rumah terbuka’ yang lain. Juadah seperti lemang, tapai dibalut daun getah, nasi minyak, daging masak kawah, rendang ayam, nasi dagang, sate, kueh-mueh beserta minuman air nira, air batu, dan teh. Cuma saya tertarik dengan hidangan tradisional orang Terengganu yang belum pernah saya temui sebelum ini iaitu ‘Ubi Rebus Nira’. Ubi kayu ini direbus tanpa dipotong atau dikerat. Kulitnya dikupas dan direbus sebiji-biji dalam bentuk asalnya. Setelah hampir masak ubi rebus tadi dituang pula dengan air nira. Kemudian direbus lagi. Selepas empuk ia dihidangkan dan air nira yang dimasukkan tadi menjadi kuah ‘gulanya’. Sukarnya untuk menemui dan menikmati makanan tradisional seperti itu, kecuali di kampung-kampung yang masih lagi mempunyai ramai ‘pakar’ hidangan ‘klasik’ itu.

Di majlis yang sama saya telah di perkenalkan dengan seorang ‘bekas’ buruh paksa jalan keretapi maut di Burma. Namanya Ariffin Abdullah. Saya memanggilnya ‘Pok Pin’. ‘Pok Pin’ bertubuh sederhana, tingginya lebih kurang 160cm. Jika dilihat sekali imbas kepada raut wajah dan perwatakannya, sukar untuk mempercayai bahawa usia Pok Pin sudah hampir mencecah 90 tahun. Pendengaran, penglihatan, pertuturan dan daya ingatannya masih baik. Ia terjebak menjadi buruh paksa ketika berusia 22 tahun. Dia ditangkap oleh kempetai Jepun ketika sedang menonton wayang di sebuah panggung di Kuala Terengganu. Kawan-kawannya bernasib baik kerana berjaya melarikan diri. Mereka memanjat dan berjaya melepasi pagar zing dibelakang panggung tersebut. Tentera Jepun telah membekalkan Pok Pin dengan sebuah pinggan dan sebiji ‘kole’ sebelum dipaksa bersama ratusan ‘tahanan’ yang lain menaiki bot ke Palekbang, Kelantan sebelum menaiki keretapi ke Burma.

Pok Pin adalah saki baki diantara beribu-ribu ‘buruh paksa’ di Burma yang masih hidup dan sempat kembali ke tanah air. Dia pulang semula ke Terengganu selepas bom atom dijatuhkan di Hiroshima dan di Nagasaki pada tahun 1945. Peristiwa itu telah memaksa Jepun menyerah kalah. Malangnya saya tidak dapat mencungkil lebih banyak ‘rahsia’ dan kisah ‘sejarah hitam’ nya dalam pertemuan kami yang singkat itu. Beruntunglah penduduk Pengkalan Berangan kerana masih ada ‘sejarah hidup’ yang tinggal di sana. Beliau lah ‘Wira tak didendang’ yang cerita dan kisah hidupnya, mungkin tidak dicatat sepenuhnya. Waktu itu akan sampai juga apabila ‘sejarah hidup’ itu akan terpadam bersama usianya yang sudah hampir ke penghujung. Rugilah jika tiada usaha untuk mencatat atau membukukan kisahnya. Ramai dikalangan kita yang tidak tahu secara mendalam sejarah hitam dan pengalaman ngeri sebagai ‘buruh paksa’. Ia bukan sahaja kisah ‘Pok Pin’ seorang, ia adalah kisah ribuan lagi buruh paksa yang sebilangan kecil sahaja masih hidup dan kebanyakannya telah pun meninggal dunia. Cerita Ariffin bukan sahaja di Burma tetapi juga pengalaman hidupnya menaiki kapal terbang Caribou ke Jepun...............


Nota: Air Nira di ambil dari pokok kelapa. Daerah Marang terkenal sebagai pengeluar air nira secara komersil. Pusat penjualan air nira berada di Kg Kelulut, 4km sebelum menemui Bandar Marang dari arah Kuantan.



Oct 23, 2008

13 Mei


Ketika merayau-rayau di alam maya saya telah terjumpa sebuah blog yang menggunakan alamat http://www.13may.blogspot.com/ . Saya tidak tahu kenapa ‘tuan punya’ blog itu memilih tarikh keramat itu sebagai alamat blognya. Mungkin ada rahsia, atau pun keistimewaan tarikh tersebut. Sesetengah orang percaya kepada nombor-nombor tertentu yang membawa ‘nasib baik’ atau ‘ nasib malang’. Waktu ini orang politik bukan sahaja sibuk bercakap mengenai ‘peralihan kuasa’ tetapi sibuk juga bercakap mengenai ‘peralihan kerajaan’ dan sentiasa menunggu-nunggu Pilihanraya ke 13. Begitulah hebatnya aura angka 13 itu. 13 Mei bukan sahaja angka tetapi tragedi yang berlaku kepada negara pada tahun 1969. Lebih tepat, 13 Mei 1969. Perpaduan kaum tergugat. Emosi telah mengatasi pertimbangan yang waras dan akhirnya menjadi sejarah hitam kepada negara. Ramai di kalangan rakyat negara ini yang pernah melalui peristiwa tersebut, atau melihat dengan ‘mata dan kepala’ sendiri. Ada yang masih hidup, tidak kurang juga ramai yang sudah meninggal dunia. Jika ada usaha untuk mencari ‘mereka’ dan mengumpul ‘kisah benar’ yang mereka lalui ketika tragedi tersebut, saya percaya ia akan menjadi bahan bacaan yang menarik. Boleh jadi juga ia akan menjadi buku “best-seller” :).

Ketika tragedi itu berlaku saya baru berumur sembilan tahun. Sudah tentu saya tidak mengingati tragedi itu dengan jelas. Apa pun beberapa tingkah laku orang kampung masih saya ingat. Setiap malam orang lelaki akan keluar menjaga kampung di persimpangan dan di setiap jalan keluar masuk. Mereka membuat ‘kentung’ daripada buluh. Buluh Aur yang tebal ‘dindingnya’ ditebuk secara memanjang antara ruas. Luas lubang itu lebih kurang satu setengah inci. Apabila diketuk, kentung yang berlubang ini akan mengeluarkan bunyi yang lebih kuat. Setiap rumah ‘wajib’ mempunyai kentung ini. Ia akan diletakkan di tempat yang mudah ditemui. Jika berlaku kecemasan maka kentung ini akan dipukul bertalu-talu sehingga bantuan sampai. Bagi mereka yang memiliki ‘senapang patah’ akan mengetuai setiap kumpulan, berpecah dan meronda ke setiap penjuru kampung. Orang kampung yang keluar ke pekan atau ke bandar akan pergi secara berkumpulan. Kaum perempuan tidak digalakkan untuk keluar daripada kampung, jika perlu ia akan ditemani oleh kaum lelaki. Walau bagaimana pun ada juga orang kampung yang tidak peduli dengan peristiwa itu. Somah, atau Long Somah tetap juga melakukan aktiviti ‘perniagaannya’ menjual durian (waktu itu musim durian) ke pekan-pekan kecil di sekitar kampung saya, sehingga lah ke Pekan Lukut yang majoriti penduduknya terdiri daripada kaum Cina.

Selepas tragedi 13 Mei reda, kawalan kampung dibubarkan. Tetapi ‘semangat’ bersatu padu itu amat kuat sekali. Masjid dan surau sentiasa penuh setiap kali waktu solat. Gelanggang silat juga rancak dibuka. Ramai anak-anak muda kampung mempelajari warisan seni bela diri Melayu ini. Gelanggang Silat Gayong telah dibuka. Selain itu terdapat juga ajaran silat kebatinan seperti ‘Silat Rohani’. Silat Rohani ini tidak perlu kepada bunga, buah dan kunci silat yang hebat, cukuplah jika ‘lawan’ menjadi ‘marah’, dengan hanya menggunakan jurus-jurus angin , mereka yang menyerang akan tumbang dan tercampak seperti terkena tendang atau di tolak dengan kuat. Itulah kelebihan silat batin tadi.

‘Pemulihan’ hubungan kaum juga telah dilaksanakan secara agresif. Ia bermula di sekolah. Kami telah dikerah pada satu pagi untuk berjalan kaki sejauh tiga batu ke SRJK Cina di Kuala Sawah. Aturcara majlisnya, ringkas sahaja. Menyanyi Lagu Negara Ku diikuti dengan nyanyian Lagu Muhibbah. Kemudian dilangsungkan perlawanan bola jaring persahabatan antara sekolah kami dengan sekolah mereka. Saya tidak ingat sekolah mana yang menang. Selepas itu ada ucapan wakil kedua-dua buah sekolah. Menikmati jamuan ringan, bersurai dan terus pulang kerumah. Sehingga hari ini saya masih tertanya-tanya mengapa SRJK China tadi tidak pula mengadakan kunjungan balas ke sekolah kami.?.

Selepas 39 tahun tahun tragedi itu berlaku, perkara-perkara sensitif yang mencetuskan 13 Mei 1969 dibangkitkan semula. Isu-isu keistimewaan orang Melayu, bahasa, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan juga hal ehwal pentadbiran dan perundangan agama Islam di bincang secara terbuka dan wewenangnya. Ia juga turut membabitkan isu kebebasan beragama, kuil dirobohkan, azan dan juga tulisan jawi. Orang Melayu pula kembali mempertikaikan kewarganegaraan yang telah diberikan kepada ‘pendatang’ kaum bukan Melayu. Mereka juga ‘mengungkit-ungkit’ keistimewaan yang telah diberi kepada kaum-kaum tersebut sepanjang keturunan mereka berada di negara ini. Kedua-dua puak telah mempertikaikan ‘kontrak sosial’ yang satu ketika dahulunya telah dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin Melayu, Cina dan India ketika proses kemerdekaan. Pada fikiran saya kontrak sosial ini ibarat perjanjian Demang Lebar Daun dengan Sang Seperba. Perjanjian ini dinukilkan dalam Sejarah Melayu. Jika salah satu daripada keturunan mereka ini mungkir kepada ikatan perjanjian tersebut, tunggulah mala petaka yang akan berlaku. Samada perjanjian itu hanya metos atau benar berlaku, keruntuhan kerajaan-kerajaan Melayu sering dikaitkan dengan tindakan ‘membelakangkan’ perjanjian tersebut. Ia termasuk keruntuhan Kerajaan Majapahit, Kerajaan Pasai, Kerajaan Temasek dan Kerajaan Melaka. Hari ini kita bukan membaca Sejarah Melayu, hari ini kita membaca Sejarah Malaysia. Sejarah Malaysia bukan metos. Sejarah Malaysia tercatat perkara-perkara yang pernah kita lalui atau pun yang dilalui oleh nenek moyang kita. Kita kena berbalik semula kepada ‘suasana’ zaman mula-mula negara dalam proses kemerdekaan. Orang India dan Cina ketika itu begitu kuat menyokong orang Melayu untuk mencapai kemerdekaan.

Beberapa hari lepas saya telah membaca sekali lagi buku A.Samad Ismail: Journalism & Politics (1987). Buku ini diterbitkan sempena ulangtahun kelahiran yang ke 62 tahun, A. Samad Ismail (Allahyarham) pada 18 April 1986. Banyak fakta tersembunyi yang tidak diketahui umum terutama ragam kerjasama antara kaum ketika itu. Lee Kuan Yew misalnya merupakan salah seorang penasihat undang-undang akhbar Utusan Melayu. Utusan Melayu pula diterima oleh kaum Cina untuk memperjuangkan 'suara' mereka. Begitulah akrabnya hubungan kaum tanpa mengira Cina, India, Melayu, Sikh dan lain-lain kaum minoriti. Mereka sedaya upaya memahami status, pantang-larang, sensitiviti kaum dan seboleh mungkin mengelakkan sebarang ‘kontroversi’. Selepas 51 tahun kita merdeka bukan sahaja kita telah mula kembali tidak sensitif dengan banyak perkara, kita juga semakin longgar dalam hubungan kaum. Saya percaya ramai dikalangan kita yang tidak ada nama Tong Seng, Ah Moi, Ramasamy dan Kumari dalam data telefon bimbit kita. Saya juga amat yakin perkara yang sama berlaku sebaliknya. Masalah utama bukanlah kerana perkara-perkara yang dibangkitkan itu. Ia timbul kerana PRASANGKA yang tebal dikalangan kaum-kaum tadi. Orang Melayu sering curiga bahawa ‘bukan Melayu’ akan ‘menenggelamkan’ orang Melayu di tanahairnya sendiri. Manakala ‘bukan Melayu’ curiga orang Melayu sentiasa ingin ‘membuli’ bangsa mereka walaupun negara ini ‘tanahair’ mereka juga. Jika suasana ini berlaku di dalam sebuah rumah tangga, suami dan isteri saling curiga mencurigai. Tunggulah masa kebinasaannya…….


Nota : Pada 16 Oktober 2008, Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-215 yang berlangsung di Istana Maziah, Kuala Terengganu telah mengeluarkan satu kenyataan akhbar khas berhubung berberapa perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Antara kenyataan tersebut mengenai Peranan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu berhubung dengan hak-hak keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-raja Melayu, agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Oct 21, 2008

Serupa Tapi Tak Sama


Ramai juga bukan ‘anak Terengganu’ menetap di Marang. Salah seorang daripadanya bernama Cikgu Omar. Cikgu Omar sudah menetap di Terengganu selama 21 tahun. Dia telah bercinta dan berkahwin dengan ‘gadis’ Marang. Selepas bertahun-tahun berkerja dan bertemu jodoh pula dengan orang Terengganu dia telah membuat keputusan untuk tinggal menetap di Terengganu walaupun dia ‘orang luar’(Johor).

Ketika mula-mula berada di Terengganu, Cikgu Omar telah sedaya upaya untuk belajar menjadi ‘orang Terengganu’. Belajar bercakap bahasa dan loghat Terengganu. Mendalami adat-resam, budaya dan pantang larang orang Terengganu. Suatu hari dia telah diajak menziarahi rumah seorang kenalan. Selepas beberapa ketika berbual, tuan rumah telah membawa hidangan minuman didalam sebuah troli.Troli kayu ini diukir dengan motif daun dan flora. Untuk mengambil hati ‘tuan rumah’ Cikgu Omar telah memuji-muji ‘keunikan’ troli tersebut;

“Comel, troli ni, Memang comel, Mok Cik beli mane ?”
“Orang saloh buak… ni….”. Ujar tuan rumah
“Ehh, dok saloh, Dok saloh pung, comel ni, comel….
Ye lah, orang saloh…… buaknye, jelas tuan rumah sekali lagi,

Cikgu Omar tidak berpuas hati dengan jawapan tuan rumah tersebut. Mana mungkin troli secantik itu ‘tersalah buat’. Diakhir perbualan itu Cikgu Omar telah belajar satu lagi perkataan baru, bahawa maksud ‘orang saloh buak’ bukan bermakna ‘tersilap buat’, tetapi ia adalah hasil kerja tangan ‘banduan’. Di Terengganu, kebiasaannya mereka memanggil ‘banduan’ dengan panggilan ‘orang salah’.

Isteri saya ‘kelahiran Pulau Pinang’ juga sering keliru dengan ‘bahasa Negeri Sembilan’ yang saya tuturkan. Bila isteri saya bertanya, bila hendak pergi atau berbuat sesuatu, saya sering menjawab ‘besok lah’. Ia bukan bermaksud akan dilakukan keesokan harinya, ia membawa maksud, ‘bila-bila ada kesempatan’ yang tidak ditetapkan tempohnya. Untuk menyatakan keesokan hari, ‘orang Negeri Sembilan’ akan menyebut ‘besok pagi’. “Besok pagi’ juga bukan bermakna ‘esok pada waktu pagi’. Ia perlu ditanya sekali lagi, samada besok pagi itu , di waktu pagi, waktu tengahari atau waktu petang. Begitulah keunikan bahasa, loghat dan kaedah penggunaanya. Ia hanya dijiwai oleh mereka yang lahir dan membesar bersama bahasa ‘ibunda’ tersebut. Ada ketika ia kelihatan serupa tetapi mungkin tidak sama.

Kerana itu ada ‘perkataan’ yang sesuai di gunakan dengan lenggok, gaya dan loghat sekelompok masyarakat. Manakala ‘perkataan’ yang serupa tidak akan digunakan oleh sekelompok masyarakat yang lain. Kerana itu agaknya, gelaran ‘Tengku Makhota’ tiada di Perak tetapi digunakan di Johor. Manakala ‘orang Terengganu’ masih boleh membeli buah ‘pelam’ tetapi tidak begitu bagi ‘orang Kelantan’..........Kalau tak faham juga lawak ‘mudah’ ini, tak dapek den nolong eh doh….. ;)

Oct 19, 2008

O'lohan vs O'lohin


Baru sahaja empat hari pulih daripada demam. Giliran isteri saya pula yang ‘tumbang’. Sudah ke klinik tapi masih belum kebah. Kalau tidak sembuh juga sekali lagi saya akan membawanya ke klinik. Mungkin musim ini musim batuk selsema dan demam.

Ketika saya kecil dahulu, untuk ke klinik terpaksa keluar berbatu-batu jauhnya. (masa tu belum guna kilometer lagi)*. Mengayuh basikal dari kampung ke Kuala Sawah, sebuah pekan kecil sejauh tiga batu dan kemudian mengambil masa yang lama menunggu bas ‘Ganasan’ (syarikat bas ini tidak wujud lagi) ke Seremban. Jarak dari Kuala Sawah ke Seremban pula sejauh 10 batu. Membeli tiket ‘pergi balik’ bernilai 50 sen, bas ‘oncet-oncet’ ini hanya akan sampai di Perhentian Bas di Jalan Tunku Munawar antara 30 hingga 40 minit masa perjalanan. Sekitar tahun 60an tidak banyak klinik swasta yang dibuka. Kalau ada pun tidak melebihi sepuluh jari. Klinik yang paling popular ketika itu ialah Klinik O’lohan. Doktornya seorang rakyat British. Saya tak tahu nama sebenarnya. Orang kampung memanggilnya Dr O'lohan. Dia telah membuka kliniknya awal tahun 1960 di Bandar Seremban. Mengikut cerita emak saya, dia masih bujang lagi ketika kliniknya dibuka. Dia telah memberi khidmat baktinya yang cukup lama kepada penduduk sekitar daerah Seremban sebelum dia pulang ke negara asalnya pada tahun 1976. Jika sakit demam, tiada klinik yang lebih popular di mulut orang kampung kecuali pergi ke klinik Dr O’lohan.

Namun begitu, kerana sukar untuk pergi ke Klinik O’lohan dan terpaksa pula membayar duit ubat serta menghabiskan banyak masa dalam perjalanan, orang kampung lebih suka mendapatkan bantuan ‘dukun’. Dikampung saya masa itu terdapat dua tiga orang ‘dukun’. Dukun yang paling ‘mujarab’ ialah Gohin. Tok Gohin. Oleh kerana saya selalu demam di waktu kecil, seringkali saya datang berubat dengannya. Tok Gohin akan memulakan kerja-kerja ‘tomeh’ dengan mengambil beberapa batang mancis dan melemparkannya beberapa kali ke atas lantai rumahnya. Selepas berpuas hati dan ‘mengetahui’ punca penyakit dia akan mengambil segelas air dan membaca mentera yang hampir saya hafal. Antara bait-bait mentera yang masih saya ingati ialah;

Satu sela …,
Dua sela…,
Tiga sela…,
Empat sela…,
Kemari kau jin Islam…,
Bantu aku…., tolong aku….,
Kemari kau jin putih
Nyah kau jin hitam
Nyah kau ke gunung
Nyah kau ke Laut
Tergantung-gantung kau dilangit……………puh,puh,puuuuh…

Kemudian bacaan menteranya semakin perlahan dan hampir tidak kedengaran. Selepas menghembus kepala, muka dan air, Tok Gohin akan terus menyuruh saya minum air jampinya. Dengan Izin Allah, tidak berapa hari kemudian saya akan sembuh dari demam. Kerana ‘kepakaran’nya mengubati orang kampung dengan hanya ‘air jampi’ atau sesekali membuat ‘jaram’, Tok Gohin telah digelar dengan gelaran Dr O’lohin.


Kini perubatan moden dan perubatan alternatif mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Masing-masing mempunyai kepakaran yang sukar dinafikan. Perubatan alternatif bukan sahaja melibatkan pengamal ‘air jampi’ sahaja, tetapi turut melibatkan cabang-cabang perubatan tradisional yang pelbagai. Ia bukan sahaja datang daripada kaum Melayu tetapi juga termasuk pelbagai kaum dan keturunan. Bomoh, Feng-shui, Ayuverdic, homeopathy, akupuntur, aromaterapi, perubatan China, refleksologi dan berbagai lagi. Masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan. Walau bagaimana pun janganlah terlalu taksub. Ketaksuban yang keterlaluan kepada mana-mana cabang perubatan boleh membawa kita terjebak dengan perubatan songsang, Sejarah di Malaysia pernah merakamkan kejadian seumpama itu seperti kes Allahyarham Datuk Mazlan dan ‘Dukun’ Mona Fandey. Tragedi ini berlaku di Pahang sekitar tahun 1993 dahulu.

Apa pun kami sekeluarga jarang pergi berubat dengan ‘dukun’ kecuali yang jelas menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran. Saya lebih suka menggunakan kaedah perubatan moden tanpa merasa ragu-ragu. Kali terakhir saya menggunakan perubatan alternatif ialah pada tahun 1977 apabila terkena sihir ‘santau’. Kalau ada kesempatan saya akan bercerita mengenai pengalaman terkena sihir ini dan menjalani rawatan dengan seorang Pak Haji, ……Haji Karim.

*Ukuran matrik mula digunakan pada tahun 1982.
Oncet-oncet – Bas henti-henti
Tomeh – menengok/menilik
Jaram – mengaul dan meramas beberapa jenis daun kayu sehingga berbuih. Pesakit akan dimandikan menggunakan air kayu-kayuan ini.
Santau – sejenis sihir yang dikenakan kepada mangsanya melalui angin, atau makanan. Akibatnya mangsa akan mengalami batuk darah, demam atau batuk yang berpanjangan.Pesakit yang lewat di ubati boleh membawa maut.

Oct 17, 2008

Yang DiLihat Dan Yang DiDengar


“Askm tuan. Saya dah bank in tunggakan sewa rumah RMxxx.00. Terima kasih dan minta maaf lewat bayar. Insya Allah saya akan usaha untuk bayar lbh awal bulan akan datang – M’. Ini adalah mesej yang sering saya terima sejak tahun 2008 dari penyewa rumah saya di Selangor. Dalam firasat saya sudah tentu dia mengalami 'masalah' dalam perniagaannya. Dia sering menunda-nunda membayar sewa rumah dengan alasan ‘payment lewat’. Ada ketikanya hampir tiga bulan baru dia membayar sekali gus. Saya belum lagi mengambil ‘tindakan’ untuk menerima penyewa baru. Selain belum melepasi deposit yang saya tetapkan ketika mula-mula menyewa rumah saya tahun 2006 dahulu, ‘dia’ juga adalah penyewa yang ‘baik’. Dia telah membayar secara teratur sejak mula menjadi penyewa dan sentiasa berusaha untuk membayar. Cuma sejak akhir-akhir ini ‘pembayarannya’ selalu tersekat-sekat. Sehingga kini saya masih boleh menerima ‘alasan’ dan permohonan maaf daripadanya.

“ Mampus lah bang, Mampus tahun ni, you tengok, you tengok, waktu macam ni pun tak ada orang lagi”. “Tahun lepas macam ni dah sibuk dah, dia orang datang tengok-tengok lepas tu dia orang bayar’. You tengok sekarang”. “Tak ada orang”. “Kalau ada pun dia datang tengok-tengok lepas tu dia orang keluar”. ‘Mampus tahun ni bang”. Keluhan ini datang dari mulut seorang pengurus kedai menjual kain baju yang agak popular di Kuala Terengganu, seminggu lagi sebelum menyambut Hari Raya. “You pergi tengok kat Jalan Banggol, biasa penuh, tahun ni, orang pun tak ramai”. “Tahun ini berniaga tak bagus lah bang, saya dah tiga tahun kat sini, tahun ni paling teruk”. Saya telah ‘mengenali’ pengurus ini sejak tahun 2007. Dia ‘budak’ Johor, seminggu di Kuala Terengganu, seminggu lagi berada di Temerloh dan dua minggu lagi berada di Kuantan. Mr Tan adalah ‘Pengurus Wilayah’ bagi rangkaian perniagaan ‘taukehnya ‘di Pantai Timur.

Saya pula bukan ‘orang berniaga’ dan juga bukan ‘pakar' ekonomi. Namun kedua-dua ‘cerita’ tersebut secara tidak langsung telah memberi kefahaman kepada saya suasana yang di hadapi oleh ‘orang berniaga’. Ada atau tidak persamaannya dengan keruntuhan sistem kewangan di Amerika saya tidak pasti. Cuma sistem kewangan di Amerika runtuh kerana krisis perumahan sub-prima iaitu memberi pinjaman kepada mereka yang tidak mampu atau kurang mampu bagi membeli rumah atau hartanah. Lazimnya bank akan memberi pinjaman berpandukan kepada kriteria kelayakan kredit yang ketat seperti status kewangan peminjam dan sejarah pembayaran balik hutang yang positif. Namun, kerakusan mengaut keuntungan melalui urus niaga jual-beli hutang di pasaran tempatan dan antarabangsa merangsang institusi kewangan mempermudahkan pengeluaran pinjaman perumahan termasuklah kepada golongan yang tidak layak.

Bank-bank pula memberi kadar faedah yang rendah dan dalam jangkamasa yang lama. Apabila kadar faedah ini dinaikan, mereka yang kurang mampu tadi terus tidak mampu lagi membayarnya. Ia bukan sahaja melibatkan instiutusi kewangan tetapi juga telah melibatkan entiti perniagaan yang lebih kompleks. Melibatkan bank-bank perdagangan, pelabur-pelabur tempatan dan antarabangsa. ‘Mereka’ terlibat dengan 'perniagaan' ini dan menjangka akan mendapat keuntungan yang lebih besar. Mereka juga merasa 'selamat' bahawa bank-bank di Amerika tidak mungkin mengalami kerugian. Persepsi mereka telah tersasar. Peningkatan hutang lapuk dan kegagalan peminjam melunaskan hutang mencetuskan pelbagai lingkaran masalah dan kesan-kesan negatif lain. Pelabur-pelabur yang rakus mengaut keuntungan daripada pembelian bon tadi tidak terkecuali dan mereka mengalami kerugian besar. Akhirnya banyak syarikat yang perlu diselamatkan (bail-out). Kerajaan Amerika terpaksa mengeluarkan sejumlah USD 700 billion untuk menyelamat Wall Street dari terus jatuh.

Mengikut laporan Bank Negara Malaysia keruntuhan sistem kewangan di Amerika tidak mempengaruhi perkembangan ekonomi di Negara ini. Rezab simpanan masih lagi mampu mengekalkan impot untuk tempoh sembilan bulan. Kadar pinjaman tidak berbayar juga rendah iaitu ditahap 2.5 peratus. Walau apa pun laporan Bank Negara, negara masih bergantung kepada pusingan import eksport. Sesebuah negara maju dan kaya seperti Amerika, Great Britain, dan negara-negara lain apabila mengalami kegoncangan ekonomi mereka tidak akan membeli barangan yang kurang perlu. Dengar khabarnya, di Amerika, kedai menjual tali gitar pun sudah kekurangan pelanggannya. Seharusnya kita berwaspada bahawa 32 peratus eksport negara berurusniaga dengan negara-negara yang bertaraf maju. Antaranya ialah Amerika yang sedang mengalami kelembapan ekonomi. Jika barangan kita tidak laku dijual atau dijual pada kadar perlahan maka pertumbuhan ekonomi negara juga akan turut perlahan dan mungkin bergerak secara negatif. Kesannya sudah mulai dirasai kini, apabila harga komoditi, getah, kelapa sawit, termasuk bahanapi juga sudah mulai turun dipasaran antarabangsa. Kejatuhan harga petrol dan diesel telah memberi ‘kelegaan’ kepada pengguna tetapi mengurangkan pendapatan negara. Kejatuhan harga getah dan kelapa sawit telah meresahkan mereka yang terlibat secara langsung dengan komoditi ini. Ini adalah gambaran awal. Tempiasnya akan kita alami pada tahun hadapan dan mungkin berpanjangan. Pertumbuhan ekonomi mungkin lebih rendah dari 5.4 seperti yang di jangka dalam Bajet 2009. Jika keadaan ini tambah buruk saya berfikir adakah 'M' -penyewa rumah saya akan tetap membayar sewa rumahnya. Adakah saya akan berjumpa lagi dengan Mr Tan. Jika berjumpa pun, adakah ia masih sebagai 'Pengurus Wilayah', kepada kedai kain baju yang sudah mula kurang pelanggannya itu. Saya cuma berdoa apa yang saya fikirkan itu tidak berlaku. Tetapi selalunya apa yang kita tidak kehendaki itu lah yang terjadi.............

Oct 14, 2008

Tolong Diam Orang Cerdik Sedang Belajar


Awal pagi semalam saya telah pergi ke sebuah sekolah menengah berhampiran Bandar Marang. Infrastruktur sekolah ini hampir lengkap. Mempunyai sebuah dewan, makmal komputer, bilik darjah yang bersih dan tersusun, kantin yang selesa, asrama pelajar lelaki dan asrama pelajar perempuan beserta lanskap dan panorama yang menarik. Waktu saya mula-mula bersekolah di darjah satu pada tahun 1967, kelas saya berada dalam sebuah bangunan kayu yang besar. Bertangga batu. Ketika kami berjalan masuk beramai-ramai, lantainya yang diperbuat dari papan akan berbunyi seperti ‘guruh’. Hanya terdapat dua kelas sahaja dalam bangunan ini. Darjah Satu dan Darjah Dua. Ia dipisahkan dengan pengadang kayu yang berat. Manakala darjah tiga sehingga darjah enam berada dibangunan baru yang turut menempatkan bilik pentadbiran, bilik guru dan bilik Guru Besar. Cikgu saya yang terawal ialah Cikgu Jamaludin (Haji). Seorang guru yang lemah lembut. Bukan ‘lelaki lembut’. Memang sesuai untuk mengajar kami di darjah satu yang masih takut-takut dengan dunia baru, alam persekolahan. Ketika itu belum ada lagi kaedah pengajaran ‘pedagogi’. Dia mengajar semua mata pelajaran, kelas Tulisan Rumi, Tulisan Jawi, Bahasa Melayu, Ilmu Hisab (matematik) kecuali, Agama dan English. Cikgu Jamaludin amat pandai mengambil hati anak muridnya. Ketika hujan lebat, bunyi bising daripada atap zing menghalang kami dari terus belajar. Waktu itu Cikgu Jamaluddin akan membenarkan kami bermain dan berlari-lari dalam kelas.Bunyinya hirok pikok. Apabila hujan hampir reda, kami akan di suruh duduk semula di kerusi. Ini untuk mengelakkan bunyi ‘guruh’ itu sampai ke telinga Guru Besar kami, Cikgu Zakaria Pesah (Allahyarham).

Sewaktu rehat kami akan makan di kantin yang bangunannya sudah begitu usang (ketika saya di darjah dua bangunan kantin baru siap dibina). Harga makanan masih murah (tapi mencari duit waktu itu susah). Nasi lemak baru berharga lima sen dan air sirap lima sen atau kami membeli karipap lima sen dan mee hoon lima sen kemudian inti karipap di gantikan dengan mee hoon tadi. Sodap tu!. Tiada lagi duit untuk membeli minuman. Untuk minum kami menceduk air perigi yang jernih airnya berhampiran bangunan kelas kami. Pengusaha kantin kami waktu itu sudah berusia. Kami memangilnya dengan panggilan ‘Uwan’. Wan Tindan. Ubannya sudah penuh di kepala. Rambut hitamnya tinggal sehelai dua sahaja. Kadang-kadang kami terjumpa juga ‘rambut putih’ dia dalam nasi lemak yang kami makan :( .

Ketika saya melangkah masuk ke sekolah menengah, pada tahun 1973. Suasana pembelajaran sudah jauh berbeza dari sekolah rendah. Buku-buku teks lebih banyak tulisan daripada gambar berwarna-warni. Setiap subjek diajar oleh seorang guru. Guru pula semakin ramai. Daripada pengalaman bersama tujuh orang guru termasuk Guru Besar kepada berpuluh-puluh orang guru. Pelajar juga sudah beratus-ratus orang dari ‘keluaran’ tujuh buah sekolah rendah yang datang dari berpuluh-puluh kampung di pendalaman, pekan kecil dan estate. Makan pula di kantin yang lebih besar. Makanan sudah mula mahal sedikit. Mee kuah atau mee rebus sudah berharga 20 sen semangkuk. Minuman sudah berharga 10 sen. Selalunya saya akan teguk air paip sahaja. Sekolah ini juga lengkap dengan makmal sains, perpustakaan dan Bilik Tayangan Filem. Sudah ada pengawas, Ketua Pengawas dan Guru Pengawas (Guru Displin). Terdapat pelbagai persatuan, Persatuan Bahasa Melayu, Persatuan Bahasa Inggeris, Persatuan Agama Islam, Persatuan Sejarah dan Persatuan Ilmu Alam (Geografi). Cuma kegiatan ko-kurikulum tidak sehebat sekolah sekarang, ia hanya ada Pengakap dan Pandu Puteri. Dalam kawasan sekolah juga dibina rumah-rumah guru untuk memberi kemudahan kepada guru-guru bujang menginap. Jika saya ada ‘jam merentas masa’ saya akan kembali semula ke alam persekolahan saya dahulu. Zaman yang saya boleh bermain bersama kawan-kawan tanpa bimbang. Zaman yang telah mengenalkan saya dengan alif, ba, ta, abc, dan 123. Zaman yang telah membentuk asas bersosial, sahsiah dan cara berfikir saya. Zaman yang banyak meninggalkan kenangan manis bersama guru dan rakan-rakan. Sepintas lalu, sekolah adalah instiutusi pendikan terawal kepada pencetus kelahiran ribuan cendiakawan, pemikir, pemimpin yang berkaliber, tokoh-tokoh politik, seni dan budayawan. Ahli sains dan pakar ekonomi, pakar motivasi, dan juga tokoh guru-guru yang cemerlang dan terbilang atau sekurang-kurangnya menjadi ibu dan bapa yang tinggi kemahiran keibubapaanya.

Tetapi selepas saya meninggalkan zaman persekolahan di penghujung tahun 70an. Pelbagai insiden pelik kedengaran berlaku di sekolah. Walaupun ia hanya kes-kes terpencil atau melibatkan peratusan kecil, tetapi ia tetap mengguris perasaan dan hati kecil saya. Daripada cerita ponteng sekolah, ponteng kelas, menghisap rokok dan ganja, kes-kes hamil luar nikah, menumbuk dan mencederakan guru, mengedar vcd lucah, kumpulan ajaran songsang, kumpulan gangster, sehinggalah kepada menjadi Gro, Bohsia, Bohjan dan pelbagai lagi macam kebejatan. Walaupun ia di tutup dengan ‘silau’ kegemerlapan pencapaian SPM 21 A, keputusan peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM yang meningkat peratusnya saban tahun dan kejayaan aktiviti ko-kurikulum sehingga ke luar negara. Saya amat bimbang sejauh mana kita boleh membantu. Masyarakat sekarang sudah berbeza ‘nilainya’. Waktu saya bersekolah dahulu, pegangan dan nilai masyarakatnya ‘beranak seorang menjaga ramai’ berbanding kini ‘beranak ramai menjaga seorang’. Budaya tegur menegur sudah menjadi ‘asing’, budaya ‘menjaga tepi kain orang’ sudah dianggap songsang. Hari ini cara teguran kita sudah berubah dari secara langsung kepada tidak langsung. Ia telah ditampal di tembok-tembok dan di dinding-dinding bangunan. Sewaktu saya beredar meninggalkan kawasan sekolah tersebut saya terpandang juga satu ‘teguran’ yang sinis - TOLONG DIAM – ORANG CERDIK SEDANG BELAJAR.

Oct 11, 2008

Dunia Baru


Sudah beberapa hari saya tidak menonton TV. Sudah beberapa hari jugak saya ‘terlepas’ menonton Buletin Utama TV3. Petang semalam sempat juga saya menonton hujung-hujung sebuah drama TV yang turut dilakonkan oleh Rosham Nor. Kisah sepasang suami isteri yang tidak pulang bertahun-tahun lamanya ke kampung halaman kerana perselisihan pendapat antara keluarga. Akhirnya mereka pulang pada pagi 1 Syawal dengan watak tambahan seorang ‘cucu’. ‘Mereka’ akhirnya disambut meriah, ditepung tawar, disambut dengan beras kunyit dan disandingkan semula. Drama TV yang tebal tipikal budaya Melayunya. Selepas itu saya sempat lagi menyambung menonton drama Indonesia, cerita seorang kanak-kanak yang di aniaya oleh ibu dan adik–adik tirinya. Ia kemudian telah dilindungi pula oleh Pari-Pari, Ratu Sungai. Cerita dongeng ini sudah menjadi trend pembikinan drama TV Indonesia sekarang, selepas kejayaan ‘Bawang Putih & Bawang Merah’ meraeh jutaan penonton. Bilakah agaknya penerbit drama Malaysia akan mengeluarkan cerita-cerita dongeng seperti yang dikeluarkan oleh penerbit filem Indonesia itu. Wallahu allam.

Semasa kecil dahulu, cerita-cerita dongeng cukup menarik perhatian saya. Saya yakin saya telah membaca hampir kesemua buku hikayat yang menceritakan kisah-kisah dongeng dan fantasi ini. Hikayat Malim Demam. Hikayat Malim Dewa , Hikayat Sulong Merah Muda. Hikayat Sri Rama, Hikayat Hang Tuah,. Malah sewaktu saya di Tingkatan Empat (1976), buku teks yang saya paling suka baca ialah Hikayat Inderaputra. Cerita seorang putera raja yang telah keluar mengembara mencari ubat untuk seorang puteri yang gering. Di akhir pengembaraan ia bukan sahaja membawa pulang ‘hikmat’ penyembuh tetapi juga membawa pulang tiga orang puteri-puteri raja yang cantik jelita belaka.. Malah ‘anak raja’ tersebut ketika pengembaraannya bukan sahaja di segani oleh raja-raja dari masyrik hingga ke maghrib tetapi juga telah mengadakan pakatan ketenteraan dengan anak-anak raja dari kawasan tersebut termasuk juga ke alam jin dan bunian. Ini belum lagi cerita-cerita Rakyat, Cerita-cerita Lawak Jenaka dan cerita-cerita berbingkai seperti, Bayan Budiman, Hikayat 1001 malam yang amat mengasyikkan. Malah kalau ada kesempatan dan ‘pitis’ saya akan membeli pula komik-komik yang berunsurkan fantasi ini seperti komik Manusia Bersayap dan cerita-cerita kepahlawanan dan kependekaran. Saya turut suka mendengar cerita-cerita pengembaraan dari radio seperti ‘Pending Permata’ ataupun cerita-cerita tajaan iklan seperti TP. Watak TP seakan-akan watak Superman. Mampu terbang, kuat dan perkasa. Jika diseru, “ TP….., TP……..,TP………, watak ini akan datang dalam sekelip mata untuk menolong dan menyelesaikan masalah. Setelah saya besar sedikit baru saya tahu hero TP itu adalah kependekan dari Tea Pot. Iklan susu.

Hari ini anak-anak saya kurang gemar membaca cerita-cerita yang saya pernah baca dahulu. Cerita-cerita fantasi mereka lebih kepada sains fiksyen bukan lagi tahyul dan dongengan. Mereka lebih berminat mengikuti cerita melalui permainan Play Station. Berpuluh-puluh permainan RPG (Role Playing Games) telah dimainkan dan mereka sendiri menjadi ‘hero’nya. Mereka sudah tidak lagi berminat untuk mengetahui cerita lagenda, hikayat, cerita rakyat ataupun cerita-cerita hantu dan jenis-jenis hantu. Gudang hafalan mereka lebih besar. Mereka bukan sahaja perlu mengenal setiap watak dalam ‘game’, tetapi juga mengingati kod-kod rahsia dan kuiz serta ‘trick’ permainan. Kerana itu mereka kurang berminat jika bercerita mengenai hantu jembalang, hikayat atau legenda. Sewaktu kecil saya juga rajin membaca buku-buku cerita hantu dan dewa. Saya masih ingat nama berbagai jenis hantu, daripada hantu tinggi, hantu raya, pelesit, pontianak, bolongan, toyol, langsuir, pontianak, hantu kopek, hantu galah, hantu air, jembalang tanah, sehinggalah ke ‘jenama’ terbaru ………….….. hantu stokin.

Begitu pun mereka masih minat menonton TV. TV pula sudah banyak saluran, dari TV1, TV2, TV 3 hinggalah ke TV 9. Belum dicampur lagi perkhidmatan Astro, yang bukan sahaja menawarkan pelbagai pakej tetapi juga saluran yang melimpah ruah. Masa menonton sudah menjadi eksklusif. Kita menonton apa yang kita mahu. Bukan lagi menonton apa yang mereka siarkan. Kita telah diberi kuasa dan penghormatan. Kuasa dan penghormatan yang diberi, dibalas pula dengan imbalan pembayaran kepada syarikat tersebut. ‘Fair and Square’.

Keistimewaan zaman anak-anak saya menonton TV sekarang tidak sama seperti zaman saya dahulu. Hari ini mereka bila-bila sahaja boleh menekan punat TV dan menikmati rancangan dan pelbagai ragam program. Mereka tidak perlu menunggu waktu-waktu tertentu untuk menonton TV. Mereka tidak perlu menunggu waktu-waktu tertentu untuk menyaksikan filem Melayu. Bahkan juga mereka tidak perlu menunggu-nunggu untuk melihat rancangan pertandingan hiburan seperti Akademi Fantasia dan Sinaran Passport Kegemilangan. Rancangan Hiburan, Berita, Filem Melayu, Indonesia, Korea, India, Jepun, Cina dan Inggeris sudah 'bersepah' di TV kita. Tiada istilah ‘penantian suatu penyiksaan’. Mereka bukan sahaja sudah bebas menonton tetapi sudah bebas juga menjadi hakim dan juri dalam rancangan realiti TV yang melibatkan jutaan sms dan juga jutaan ringgit..


Ketika anak pertama saya lahir pada tahun 1987 siaran TV sudah boleh dikuti sehingga 18 jam sehari. Berbanding dengan saya yang pertama kali menonton TV ketika berusia enam tahun. Itu pun kerana mengikuti emak menziarahi sepupunya di Brickfield, Kuala Lumpur. Selepas itu saya kurang berpeluang menonton TV. Kalau ada pun menonton ‘wayang pacak’ Jabatan Penerangan yang datang dua tiga kali setahun. Saya hanya betul-betul terdedah dengan pengaruh TV apabila Haji Dahlan, pekedai runcit di kampung saya memiliki TV pada tahun 1970. Setiap malam Sabtu penduduk kampung akan berduyun-duyun datang kerumahnya untuk menonton Tayangan Filem Melayu. Sebelum masuk ‘ruangan tv’ kami akan dikenakan bayaran sebanyak sepuluh sen. Kami akan duduk berasak-asak diatas lantai simen. Apabila filem ditayangkan lampu akan ditutup. Macam panggung wayanglah pulak. Kadang-kadang hajat untuk menonton sehingga akhir tidak kesampaian kerana ‘generator’ pulak buat hal.

Saya hanya mula faham istilah ‘siaran langsung’ ketika perlawanan tinju Muhammad Ali lawan Joe Frazier pada tahun 1971. Waktu itu saya di darjah lima. Guru Darjah Enam ketika itu ialah Cikgu Degani (sekarang Haji). Saya tak akan lupa ‘budi baik’ Cikgu Degani . Dia telah ‘mengajak’ kami ke rumah bapa mertuanya yang bersebelahan sekolah untuk menonton perlawanan tersebut secara langsung ketika ‘masa belajar’. Kalau bukan kerana Cikgu Degani (kami panggil cikgu Gani), sudah tentu kami tidak termasuk dalam kiraan jutaan penonton yang menonton perlawanan yang berprestij tinggi itu. Malangnya berapa kuat pun sorakan kami. Betapa kuat sokongan kami dan Cikgu Degani, Muhamad Ali lagenda tinju itu tetap kalah :(

Oct 10, 2008

Perjalanan Yang Tertunda


"Manusia merancang, Allah merancang tetapi perancangan Allah lebih baik” . Kepulangan saya ke Pulau Pinang terpaksa ditangguhkan . Angan-angan dan kyayalan saya untuk melalui sekali lagi jambatan Pulau Pinang tidak kesampaian. Sehari sebelum bertolak ke 'Pulau Mutiara' saya telah terlibat dengan kemalangan. Kereta saya dilanggar sebuah motorsikal. 'Sudah gerah' kata orang Terengganu. Apa pun saya BERSYUKUR kerana kemalangan ini tidak membabit kehilangan nyawa atau kecederaan teruk. Saya hanya luka-luka kecil kerana terkena serpihan kaca cermin pintu kereta yang pecah berderai. Ini semua sudah ditakdirkan dan kita hanya perlu BERSABAR atas dugaannya.


Berkaitan SYUKUR dan SABAR ini saya kongsikan ceritanya dari blog http://tkmutiara.wordpress.com/ . Jeng, jen, jengg........



Suatu ketika Imran Ibn Hiththan masuk menemui isterinya (dan Allah mentakdirkan Imran ini menjadi seorang secara paras rupa tidak menarik. Wajahnya biasa-biasa saja, untuk tidak mengatakan hodoh- sementara tubuhnya pendek. Sedangkan isterinya adalah seorang wanita yang cantik rupawan dan tinggi lampai). Ketika ia masuk menjumpai isterinya, sang isteri sedang berhias. Imran tak dapat menguasai dirinya..... ia tertegun memandang sang isteri.
Sang isteri bertanya ,
"Ada apa dengan mu....??"
"Demi Allah engkau semakin cantik saja setelah berhias," jawab Imran

Maka sang isteri berkata, " Janganlah khuatir....sebab engkau dan aku akan masuk syurga."

Tak terkira betapa gembiranya Imran Ibn Hiththan mendengar ucapan sang isteri. "

Tetapi...... "Dari mana engkau mengetahui hal itu.?" tanya Imran.

"Kerana engkau telah dikurniakan isteri seperti diriku lalu engkau BERSYUKUR, dan aku dicuba dengan suami sepertimu, lalu aku BERSABAR. Dan orang yang BERSYUKUR dan yang BERSABAR akan masuk syurga" (ibnaty Al-Habibah, hal 22)

Cerita ini adalah penawar duka kami yang tak dapat pulang ke Pulau Pinang. Perjalanan ke Pulau Pinang akan dirancang semula. Selewat-lewatnya hujung bulan ini atau pun awal bulan hadapan. Bimbang jika terlewat lagi, musim tengkujuh pula akan tiba. Beberapa kawasan rendah akan di tenggelami air. Biasanya laluan rendah menghala ke Jeli akan dinaiki air. Samada tersekat, di Chalok Setiu, Kg Raja di Besut, hinggalah ke Machang dan Tanah Merah. Seminggu atau dua minggu lagi kereta saya akan keluar dari bengkel. Pasti, Pulau Mutiara masih menanti kami :).

Oct 8, 2008

Perjalanan............

Selepas semua anak-anak pulang ke destinasi masing - masing, besok pagi kami akan bertolak pulang ke Pulau Pinang. Perjalanan yang panjang. Berdua sahaja. Kami berdoa tiada kejadian buruk berlaku waimma tayar pancit sekali pun. Berdua-duaan menaiki kereta mengimbas kembali zaman muda-muda dahulu selepas mengikat tali perkahwinan. Peristiwa itu berulang kembali selepas 23 tahun usia perkahwinan kami.

Kembali ke Pulau Pinang mengimbau kembali peristiwa manis dan masam. Pulau Pinang telah menemukan saya dengan isteri saya sekarang. Dalam tempoh tiga bulan perkenalan, kami akhirnya bertunang dan berkahwin sepuluh bulan kemudian. Pulau Pinang juga tempat kelahiran tiga orang cahaya mata kami. Dua orang lagi lahir di Negeri Sembilan.


Ketika saya mula bertugas di Pulau Pinang pada tahun 1982, Komtar (Kompleks Tun Abdul Razak) masih lagi empat tingkat. Pembinaannya kemudian disambung lagi sehingga mencecah 65 tingkat pada tahun 1986. Ia menjadi bangunan yang paling tinggi di Asia ketika itu. Ketika Komtar terbakar pada tahun 1983, saya masih lagi bujang dan tinggal di rumah sewa Taman Zainal Abidin Jalan Perak. Manakala jambatan Pulau Pinang baharu sahaja hendak dibina. Ia dianggap projek 'mega' dan membazir. Ketika saya berkahwin pada Ogos 1985, jambatan ini sudah boleh digunakan. Hanya apabila berlaku tragedi Feri Pulau Pinang pada tahun 1988 yang mengorbankan lebih 100 orang baru lah timbul kesedaran betapa pentingnya projek mega ini.


Setiap kali keluarga datang ke Pulau Pinang saya akan menjadi 'tourist guide'. Menaiki keretapi Bukit Bendera, melawat Masjid Pulau Pinang (ketika itu satu keajaiban melihat lampu cendeliar seberat 1 tan di ruang sembahyang masjid). Pasar Chowrasta, (beli buah pala) Padang Kota Lama (pekena pesembur), Padang Kota Baru, Komtar, Penang Road, Batu Feringhi dan Kebun Bunga (banyak monyet kat sini). Ketika itu Pulau Pinang tidak sesak seperti sekarang. Sekarang sudah banyak jalan sehala. Terpaksa mengambil laluan jauh sebelum kepusat bandar.

Saya akan singgah semula di Padang Kota Lama, makan pasembur dan sotong bakar. Keluaq air liur tu siul. Mencari semula masakan kari ketam di lorong pasar Chowrasta. Atau pergi ke Air Itam pekena mee rebus ubi. Namun perkara utama kepulangan kami ialah menemui saudara mara, menziarahi pusara bapa dan ibu mertua di Tanah Perkuburan Dato Keramat. Mencari dua tiga orang kenalan yang masih tinggal lagi di Pulau Pinang. Mungkin ada kisah baru...........mungkin juga kisah pi mai pi mai tang tu jugak.

Checkmate


Sesekali saya akan bersarapan pagi diluar. Biasanya di kedai Awi berhampiran mercu tanda Marang,'Udang dan Sotong'. Kedai Awi tiada banyak pilihan. Cuma ada nasi lemak, mee goreng, apam kuah, laksam dan dua tiga jenis kueh yang boleh dijadikan habuan. Selalunya saya memilih makan nasi lemak, telur rebus dengan milo kosong. Istimewanya kedai Awi tempat sembang-sembang politik. Macam-macam cerita dari pertandingan UMNO Bahagian, keretakan dalam BN, Hindraf, Anwar, penurunan harga minyak, tapi harga barang ‘koho’ (semakin) naik sehinggalah kepada pengumuman PENTING Pak Lah hari ini.

Apakah keputusan Pak Lah. Berundur atau bertahan. Bagi saya suasana politik sekarang seakan permainan catur. Yang tinggal hanya King Dan Queen. Ia sedang diserang oleh juak-juak perang, Kuda dan Bishop. Silap percaturan King akan kena checkmate. Queen pula turut mati kerana usaha mempertahankan King yang terdesak disudut gelanggang. Bertambah malang jika King hanya di checkmate oleh bidak sahaja.


Jika Pak Lah tidak jadi berundur. Medan politik Umno akan bertukar menjadi laga ayam sabung. Persaingan ayam sabung kali ini mungkin lebih sengit. Biasanya ayam berlaga jika bapak ayam telah mati atau disembelih. Ayam jantan muda akan berlaga sesama sendiri untuk menentukan siapa menjadi jaguh. Kini senarionya mungkin berbeza, ayam muda terpaksa melawan ayam tua pula. Dato Seri Najib mungkin tidak mahu diserang hendap ketika hari hampir siang. Membiarkan dia diserang lebih baik dia menyerang dahulu. Serangan secara tiba-tiba lebih bahaya dari semboyan perang yang dah lama berbunyi. Apatah lagi dalam keadaan sekarang. Pak Lah diberi kata dua, turun atau dimalukan. Tan Sri Mahyuddin sudah memasang strategi, juak-juaknya secara senyap berkempen untuk pencalonan Timbalan Presiden. Calon-calon lain yang sudah ghairah isytihar genderang perang, Zahid dan Ali Rustam untuk merebut jawatan Timbalan Presiden belum tentu menutup peluang Mahyuddin. Walau pun kelihatan Mahyuddin seakan kambing hitam kepada Pak Lah, pendiriannya konsisten, Pak Lah perlu berundur. Jika Pak Lah mengumumkan beliau 'undur'. Mahyuddin lah ‘pencetusnya'.

Jika kemelut kepimpinan ini selesai. Ia belum selesai sepenuhnya. UMNO telah berada di tepi jurang yang dalam. Cabaran selepas ini semakin getir. Pertandingan dan persaingan dalam UMNO akan menyaksikan parti-parti di luar UMNO dan BN bagaikan burung hering. Bila-bila masa menanti siapa yang akan menjadi ‘bangkai’. Banyak isu-isu yang belum reda gelombangnya. Persamaan hak, kebebasan bersuara, kebebasan media, penghapusan ISA, cubaan PKR merampas kuasa dan tahanan Hindraf sudah menjadi agenda utama parti-parti pembangkang dan Ngo berhaluan kiri. Keistimewaan Melayu sudah dianggap tidak relevan lagi dan bersifat diskriminasi. Mereka tersilap tafsir. Hak Keistimewaan Orang Melayu termaktub dalam perlembagaan. Mempertikaikan hak Melayu itu boleh disifatkan perkauman. Tapi senario politik di Malaysia sudah berubah, mereka sudah lebih mahu kepada kesepakatan bukan dominasi politik. Mereka tidak mahu UMNO terus jadi parti elit. Perkongsian KUASA sahaja tidak cukup, mereka mahu perkongsian STATUS. Jika UMNO kembali stabil sebagai tonggak BN, belum tentu isu-isu ini dapat diselesaikan dengan mudah. Ia harus melalui jalan yang berliku-liku. Percaturan harus saksama dan seimbang. Strategi harus mantap dan matang. Silap perhitungan mungkin UMNO pula terkena 'checkmate'.

Oct 7, 2008

Jalan-Jalan Cari Makan


Selepas menghantar pulang anak ke Kuala Pilah menaiki bas di Terminal Kuala Terengganu, kami singgah makan-makan di sebuah restoran ‘popular’ di Kuala Ibai. Restoran ini baru dibuka setahun setengah yang lalu. Pelbagai makanan ada. Nasi dagang, nasi minyak, pulut kuning, laksam, nasi kapit (nasi himpit), nasi kerabu, roti canai, sate sehinggalah ke makanan barat. Air juga bermacam jenis, air limau , teh, kopi, mocha, air buah, tongkat ali, kacip fatimah ………. . Jika kawan-kawan saya datang dari luar Terengganu saya akan bawa mereka ke sini. Bukan lah kerana makanannya sedap sangat tetapi kerana pilihannya yang pelbagai. Jika mahu mengenali Terengganu melalui makanan, inilah restoran yang sesuai. Warong Nor Azila, Kuala Ibai.


Kebiasaan makanan Terengganu pasti di tambah gula. Gulai Kawah, kuah nasi dagang, sambal ikan bilis, kuah roti canai, mee goreng, semuanya terasa sedikit lebih manis. Saya tidaklah cerewet hal makan. Tetapi selera saya yang suka pedas ini tentulah ‘kurang sesuai’ dengan makanan yang manis. Kerana itu saya menjadi 'pemilih' apabila makan di luar. Hanya beberapa kedai makan dan restoren yang menjadi pilihan utama saya. Selain Warong Nor Azila, saya memilih Restoran Sri Wangsa, Jalan Kuala Berang, kerana pengat pulut mangganya yang sedap. Puri Bali berhampiran bulatan Batu Bersurat yang menghidangan masakan Thai yang 'superb'. Jika makan tengahari pula saya akan memilih Kedai Pak Awi, di Jalan Sultan Zainal Abidin. Masakan nya mirip masakan utara dan Restoran Kerabu di Jalan Pejabat, Kuala Terengganu yang santai dan boleh di beri 3 bintang :). Kalau ke Mydin Mall saya akan singgah menikmati Nasi Kukus Paka 2 bersebelahan KFC. Minat untuk mencari makan sedap ini mungkin terpengaruh dengan kawan-kawan ketika saya hidup 'bujang' di Kuala Lumpur pada tahun 1997. Ketika itu isteri saya masih tinggal di Kuala Pilah. Setiap malam kami akan keluar makan samada di Kg Baru, Dato Kramat atau berdekatan rumah sewa kami di Taman Melawati. Selepas pekena 'teh tarik' dua tiga gelas, bersembang dua tiga topik baru lah kami balik.

Walaupun masakan hari ini bermacam-macam jenis dan bermacam rasa. Saya masih 'kagum' dengan masakan yang pernah saya rasa sewaktu kecil. Selain masakan emak, saya begitu suka minum teh di kedai Haji Hashim di pekan kecil kampung saya. Selepas puluhan tahun saya keluar merantau dari Perlis sampai ke Sabah. Tidak pernah saya menemui teh sesedap teh 'Haji Hashim' ini. Ketika balik kampung saya akan lalu dihadapan kedai ini, tetapi 'Teh Haji Hashim' ini sudah tiada . Berkubur bersama kematian 'Haji Hashim' dalam tahun 1970an. Menjelang Syawal pula saya pasti mengidam untuk menikmati 'Halwa Maskat' buah tangan dari Andak Endon (adik aruah abah). Andak Endon kini sudah berusia 83 tahun. Dia pun sudah tak larat lagi untuk membuat 'Halwa Maskat'. Proses menyediakan resepinya mengambil masa yang lama. Mengadun resepi nya juga leceh. 'Halwa Maskat' pula perlu di tuang dalam kuali tembaga dan menggunakan 'sudip' tembaga. Anak-anak nya pula sudah tidak berminat belajar dan mengadun resepi. Lebih mudah rebus 'ketupat plastik' dan membeli kueh di pasaraya. Pantas dan lebih murah. Banyak lagi makanan ketika kecil yang saya tidak temui 'rasa' dan 'aromanya' sehingga kini.


Apa pun saya tetap berpegang kepada kata-kata hikmat "makan untuk hidup' bukan 'hidup untuk makan".




Oct 6, 2008

Dulu, Kini & ...........




Kesibukan membuat saya terlupa untuk hadir jemputan sebuah kenduri kahwin tengahari semalam. Sepanjang saya tinggal di Marang saya acap kali dijemput menghadiri kenduri kahwin. Kenduri mereka lebih simple. Bertemu tuan rumah kemudian senduk nasi, ambil lauk, gulai kawah, acar timun, ikan masin, dan sambal. Tidak perlu banyak meja. hanya perlu kerusi. Makan pula cara 'buffet'. Tiada muzik, hanya bunyi perbualan sahaja. Tiada pelamin dan tiada khemah makan pasangan pengantin. Kalau nak berbeza pun jika dijemput ke rumah Datuk atau Toh Puan, kelihatan lah lebih 'rasmi'.




Jauh berbeza dengan kampung saya. Persiapannya 'grand' sikit. Khemah perlu ada dua tiga. Meja panjang perlu di atur dibawah khemah. Khemah juga dipasang langsir. Kerusi pula diatur secukup nya. Gelas disusun di atas meja. Ada kueh dan kacang sebagai pembuka selera. Khemah untuk Raja Sehari 'bersantap' lain pula. Hidangan walaupun secara 'buffet' tetapi menunya, Ya Allah. Tidak cukup nasi putih, ada pula nasi minyak. Lauknya pun pelbagai. Gulai daging, acar buah, rendang daging, ayam goreng, sayur kacang campur hati. Makin berstatus tuan rumah semakin banyak lah 'mata' (jenis) lauknya. Semasa saya tinggal di Kuala Pilah dahulu lauk 'umbut' kelapa wajib ada.



Walaupun ia kelihatan sarat. Seingat saya, majlis perkahwinan sekarang tidak lah serumit majlis perkahwinan sewaktu saya kecil dahulu. Dahulu majlis kahwin berlangsung panjang. Bermula dari malam bersambung kesiang hari hinggalah ke malamnya. Dimulakan dengan berinai kecil, lepas itu berinai besar, bernikah, bersanding dan kemuncaknya majlis 'berarak'. Seminggu sebelum kenduri sudah ada 'kayu berakar' (gotong royong). Kerja-kerja menebang buluh dan memasang khemah. Kayu api perlu dicari. Tukang kandar air sudah ditetapkan. 'Ketua Penanggah' (Ketua Bahagian Masak dan Hidangan) juga telah dilantik. Kaum ibu pula sudah sibuk datang menolong memilih beras (antah), memotong bawang, menghias bilik pengantin, menyediakan pelamin dan membuat kotak telur. Semasa kenduri kahwin berlangsung tuan rumah akan menerima barangan hasil 'tanam' sebelum ini atau menerima 'tanam' baru daripada orang kampung, seperti telur, beras, tepung dan gula. Tugas ini diserahkan kepada seseorang yang dipercayai. Dia juga perlu mengutip 'duit air' dan 'duit mangkeh'. Kesemua ini perlu dicatat kedalam sebuah buku. Jika mereka ada duit lebih, kugiran akan dipanggil. Jika tidak, cukuplah memainkan piring hitam, lagu-lagu A.Ramlie, Ahmad Jais, S.Jibeng, Rafeah Buang dan sewaktu dengannya. Jika di rumah tuan guru atau lebai, mereka akan memutarkan pula bacaan ayat-ayat suci Al Quran daripada Qari dan Qariah terkenal Ismail Hashim atau Rogayah Sulong. Selalunya corong-corong speaker ini digantung di atas pokok atau di cucur atap.




Pada waktu malam diadakan pula majlis 'berarak'. 'Merebut lilin' akan menjadi acara penting kepada budak-budak selepas perarakan ini tamat. Pengantin akan di arak menggunakan pengusung buluh yang direka khas. Dua buah kerusi rotan akan diikat kemas di atas pengusung buluh yang dihias cantik. Sekeliling pengusung ini akan diikat dengan pelepah rumbia. Pelepah rumbia yang lembut ini akan dicucuk dengan 'colok cina' (lilin). Pasangan pengantin akan diarak menaiki pengusung ini diikuti kumpulan dikir serta pukulan rebana . Sebaik sahaja lagu 'dikir' tadi tamat bermulalah acara merebut lilin dikalangan kanak-kanak. Ia digunakan untuk menyuluh jalan waktu pulang kerumah..




Ketika saya melangsungkan perkahwinan pada tahun 1985, zaman sudah berubah. Era kesedaran dan kebangkitan Islam telah berlaku sejak tahun 70an lagi. Perempuan sudah mula bertudung. Majlis bersanding sudah mula kurang. Jika ada, majlis persandingan pun hanya di dalam rumah dan dihadiri oleh sanak saudara sahaja. Majlis 'berarak' sudah tiada lagi. Kalau ada pun kerana sudah 'berniat'. 'Kayu Berakar' hanya menjadi majlis minum-minum. Semuanya sudah ditempah. Air tidak perlu lagi di 'kandar'. Lampu gasolin tidak lagi dipinjam. Tiada lagi duit 'mangkeh'. Ia sudah diganti dengan hadiah atau wang. Kugiran juga sudah tidak dijemput lagi. Majlis hanya dipasang muzik ringan atau bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Majlis juga semakin pendek. Tiada lagi sehari semalam baru tamat. Mula dari pagi, pukul tiga petang sudah selesai. Tuan rumah tidak letih. Tiada kancah yang perlu ditangkup. Tiada pinggan yang perlu dibasuh. Kerana semuanya sudah dibereskan oleh caterer.




Selepas ini mungkin saya pula menjadi tuan rumah kepada majlis perkahwinan anak-anak kami. Kerana "zaman sudah beralih, pusaka sudah bergilir".



Oct 4, 2008

Haram, Haram, Haram



Perkumpulan keluarga kami akhirnya bubar, bersama bulan Syawal yang meningkat hari. Anak kedua dan ketiga sudah pulang semula ke Cyberjaya University dan UKM. Anak kelima sudah dihantar pulang ke Asrama di SMK Sains Terengganu (Sester), Jalan Bukit Besar. Hanya tinggal anak sulung dan anak keempat. Itu pun hanya menunggu hari akan pulang semula ke UiTM di Jengka dan Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan. Kami akan menjadi 'pasangan baru' semula. Kalau ada pun yang menjadi teman, kucing kami seramai 13 ekor tu.


Petang tadi sementara menanti isteri membeli barang keperluan dapur di Mydin Mall. Saya asyik memerhati seorang anak sekitar usia sembilan tahun asyik menelan beberapa biji kurma yang dijual secara lambak dibahagian buah-buah dan sayur-sayuran. Aduhai malangnya, si ibu yang ada tidak langsung melarang. Adakah dia jahil. Memakan sesuatu tanpa izin hukumnya HARAM. Alangkah terasa kerdilnya saya apabila membaca kisah Abu Salleh yang hanya termakan buah epal yang dihanyutkan air, mencari tuan punya pohon. Kemudian sanggup menerima hukuman 12 tahun bekerja di kebun epal milik Syeikh Abdullah. Kerana patuh menjalani hukuman tersebut, ia kemudian di kahwinkan dengan anak Syeikh tersebut, Ummu Khair Fatimah. Pasangan ini kemudian telah dikurniakan Allah seorang anak lelaki yang hebat ilmu dan namanya sehingga ke akhir zaman. Beliau bernama Syeikh Abdul Kadir Jailani. Begitulah barakahnya keturunan yang berpunca daripada sumber rezeki yang halal.


Dua hari sebelum menyambut kedatangan Hari Lebaran. Kucing kami, Kimmy sudah sehari semalam tidak pulang. Paling bimbang isteri saya. Kimmy adalah keturunan 'Comel' kucing peliharaan kami semasa tinggal di Kuala Pilah. Comel adalah 'kucing jalanan'. Ia datang kerumah kami ketika ia masih kecil. Pada mulanya isteri saya enggan menerima 'pendatang asing' ini. Sejak dia anak dara sehinggalah beranak lima dia cukup 'geli' dengan kucing. Namun kerana desakan anak-anak kami 'Comel' akhirnya telah diberi layanan kelas pertama; diberi makan, tempat tidur dan tempat tinggal. Bermula dari peristiwa itu, kini isteri saya sudah menjadi 'ibu tumpang' kepada generasi 'Comel'. 'Comel' sudah lama mati sebelum kami berpindah dari Bukit Beruntung ke Marang. Saya bukan nak bercerita pasal kucing. Pencarian Kimmy di rumah jiran telah menemukan pula kepada cerita baru. Anak jiran kami berusia 14 tahun ditimpa kemalangan. Motosikal yang ditunggangnya telah terbabas dan tercampak lalu menghentam sebuah kereta yang berhenti ditepi jalan. Tulang pahanya patah dan terpaksa dimasukkan besi. Tangannya juga patah. Alhamdullilah, cuma disimen. Ketika kami meziarahinya pada 1 Syawal lalu dia masih terlantar di atas katil. Dia terpaksa dipapah untuk bangun, mandi dan buang air. Masih tidak mampu berjalan sendiri, sekurang-kurangnya tiga bulan lagi, menanti besi ditaut dan dibalut daging. Jika bukan kerana kucing hilang, HARAM kami tak tahu.


Selepas keluar daripada membeli belah, kami ke tempat letak kereta. Kereta berbaris panjang mencari 'parking'. Sebuah kereta Kancil mencelok masuk ke petak kereta kosong di laluannya. Memang sewajarnya. Tiba-tiba sahaja Toyota Avanza yang datang dari arah bertentangan menekan hon berkali-kali. Memaksa pemandu kereta Kancil itu keluar petak. Pemandu Avanza ini berusia awal 30an. Imej nya 'class'. Memakai ketayap putih. Kereta pun hebat juga lah, berkilat lagi. Tapi ada yang tak 'class' dan tak hebatnya dia. Dia berebut petak kereta dengan pemandu Kancil berusia '50an'. Terkial-kial 'orang tua' tu keluarkan keretanya semula. Bagi saya tindakan 'orang muda' tu memang HARAM jadah.

Pelbagai peristiwa setiap hari yang membangkitkan perasaan marah, sayu dan terkilan. Jika ia berlaku dihadapan mata saya, setiap kali itu juga saya terfikir bahawa 'mereka dan saya adalah manusia biasa, yang tak sunyi dari melakukan kesalahan dan kesilapan'. Saya sentiasa berdoa agar Allah memberi redhanya kepada saya dan mereka yang jahil dan alpa ini kesempatan bertaubat dan di beri keampunan. Amin.

Oct 3, 2008

Cerita Kehidupan


Sempena Hari Raya tahun ini saya mengambil kesempatan bertemu kawan lama di Felda Bukit Bading. Dia merupakan 'orang kampung' (satu negeri) yang telah bertemu jodoh di Hulu Terengganu. Orang Negeri kahwin Orang Terengganu. 20 atau 30 tahun dahulu ia bukan sesuatu yang digemari oleh kedua-dua pihak. Pertama kerana jauh, kedua kerana mereka masih tebal dengan pegangan untuk menjodohkan anak-anak dengan orang kampung sendiri atau kaum kerabat terdekat. Alhamdullilah, Kasim telah dikurniakan tiga orang anak. Dua lelaki dan seorang perempuan. Setiap kali Hari Raya dia pasti balik ke Felda Bukit Bading ini.


Dari Marang ke rumah mertua Kasim mengambil masa lebih kurang satu jam. Memasuki ‘perkampungan’ Felda perlu berhati-hati. Jika tiada peta atau panduan yang tepat, kita boleh sesat. Jalan nya bersimpang siur. Jauh lebih mudah memandu di Kuala Lumpur daripada jalan-jalan di Felda. Tak percaya.

Memasuki Felda Bukit Bading, seakan memasuki kawasan perumahan yang telah maju. Siap sedia dengan pos kawalan, sebuah masjid tersergam indah, deretan kedai, puluhan rumah kayu yang telah diubahsuai kepada rumah batu, jalan sudah bertar, piring astro bukan lagi 'barang' ganjil disini. Hampir semua rumah sudah ada kereta atau sekurang-kurangnya motorsikal.

Tapi itu bukanlah wajahnya 40 tahun dahulu. Ketika ia mula dibuka pada tahun 1968, ia adalah hutan belukar yang sarat dengan misteri. Peserta Peringkat Satu, bermula dengan 71 orang bekas tentera sebagai 'peneroka'. Mereka berjudi dengan nasib. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Berbekal pengalaman bekas tentera dan gaji $69.00 sebulan, mereka merintis hutan, membuka kebun dan membesarkan pokok-pokok kelapa sawit. Mereka seolah-olah pendatang asing. Cekal dan berwawasan. Saya tidak pernah menemui mereka. Jika bertemu saya nak luahkan kekaguman kerana usaha dan pengorbanan mereka. Jerih payah mereka sudah terbayar. Walaupun mereka mungkin tak bergelar jutawan seperti 'rakan-rakan' mereka di Labu dan di Sendayan. Tapi kehidupan hari ini sudah cukup berbaloi. Jika ada anugerah, mereka lah generasi pertama Felda Bukit Bading yang perlu di beri pingat.

Kini tinggal generasi kedua. Kebanyakan mereka sudah berjaya kerana belajar daripada kesusahan ini. Ada yang sudah menjadi pegawai tinggi kerajaan, peniaga, ataupun bekerja sendiri dan menyambung tugas peneroka ini. Mereka adalah pelengkap kepada plot cerita kesusahan, kesedihan dan keperitan hidup generasi pertama. Mereka terpaksa bersekolah jauh keluar dari Felda, menaiki traktor ke SK Kg Pela , kampung berdekatan. Ketika mereka balik, ibu-bapa mereka masih berada dikebun. Jika mereka dahaga mereka hanya minum air paip. Paip air ini pula terpaksa dikongsi dengan puluhan rumah peneroka lain. Jika mereka lapar makan sahaja apa yang ada, jambu hutan atau buah seletup yang tumbuh meliar di sekitar rumah. Babi, monyet, kera, lotong dan mawas sudah menjadi sebahagian watak dalam kehidupan susah mereka. Kehidupan susah ini mengajar mereka lebih berusaha keras dengan menanam ubi, keledek , pisang untuk dimakan dan dibuat kueh untuk jualan. Mereka terus kreatif dalam mengharungi hidup susah. Jika di filemkan, cerita ini tak sampai pun dua jam. Tapi ini bukan filem. Ini cerita kehidupan.

Saya percaya bahawa ramai yang melalui pengalaman susah dan kemudian berjaya dalam hidupnya. Ramai juga yang hidup susah dan terus susah. Janganlah terus kecewa. Berdoa lah dengan sabar. Kerana cerita kehidupan belum tamat. Usaha harus diteruskan. Ambil lah iktibar dari petikan bualan seorang 'pomen' Cina ketika menukar tiub tayar motosikal saya yang bocor. Katanya ;

"Ini hali kita doa aa... sama itu 'Tuan Alah'. Kalau tak ada senang, kita mintak lagi. Mungkin ini hali kita talak senang...aaa. Kita punya anak pun tak la senang jugak. Tapi kita kena mintak ma. Lama-lama mintak mesti senang punya ma. Mana tau, itu jam (masa) kita punya cucu baru senang, jadi orang kaya, jadi menteli.....aa. Tapi itu doa...aa. Kena kelija kuat juga. Bukan duduk diam-diam. Selupa mau lalu lebuh raya. Mesti bayar tol dulu wooo. Baru dapat jalan besar.......ha..hah..ha "


Walaupun saya tak faham apa kaitan doa dengan tol dan lebuhraya. Sebahagian daripada bualannya itu memang boleh di guna pakai. Hari ini Felda bukan sahaja berjaya membangunkan hutan yang kini sudah menjadi perkampungan. Felda juga sudah ada mercu tanda bukan sahaja di negara sendiri tetapi juga di negara luar. Budaya 'peneroka' ini telah menjiwai Felda.
(Gambar : Hotel Felda Residence di Kuala Terengganu)


Oct 2, 2008

Zaman Dah Berubah Dunia Dah Maju


Sejak pagi 30 Ramadhan sehingga ke tengah malam dan pagi 1 Syawal saya telah menerima hujanan sms ucapan Selamat Hari Raya dari sahabat, kenalan dan saudara-mara. Peti simpanan terpaksa di kosongkan berulang kali kerana penuh. Ia bukan lah sesuatu yang luarbiasa. Sebelum itu saya sudah menghantar ratusan sms kepada mereka. Bak kata bidalan “Bagaimana datang, Begitulah perginya” - Balasan sesuatu perbuatan yang dilakukan setimpal dengan perlakuan yang telah dilakukan. Namun bukan semua perbidalan itu tepat. Beberapa tahun dahulu saya pernah menghantar ratusan kad raya kepada kenalan, sahabat dan saudara mara juga. Tetapi saya hanya mendapat balasan yang jauh kurang daripada yang dihantar. Tentulah jawapannya boleh di teka. Menghantar sms lebih mudah. Ia lebih mudah daripada membeli atau menempah kad. Kemudian terpaksa menulis, memasukan dalam sampul, menulis alamat, menampal setem dan mengeposnya di pejabat pos. Sistem pesanan rengkas atau sms telah membuang sebahagian proses yang leceh itu. Sms hanya perlu ditaip, letakan nombor telefon dan hantar. Tidak perlu banyak membuang masa,murah dan mudah. Media baru telah mengubah tabiat manusia daripada malas kepada rajin. Pelbagai ucapan dihantar tanpa mengira musim perayaan atau tidak. Zaman dah berubah dunia dah maju.

Pagi-pagi lagi selepas solat subuh, kami makan sekeluarga. Isteri saya telah menyediakan masakan lontong, pulut kuning, sambal ikan bilis, kuah kacang dan minuman panas. Tidaklah mewah sangat tapi cukup menggembirakan. Makan sekali-sekala secara beramai-ramai selepas berbulan-bulan makan berdua terasa jauh lebih ‘meriah’. Saya pula asyik mendengar cerita anak-anak dan pengalaman baru mereka. Banyak perkara baharu yang tidak saya ketahui. Begitulah kerdilnya manusia, semakin banyak ia rasa tahu, banyak lagi perkara yang ia jahil. Berbeza dizaman saya kecil dahulu. Ketika kawan-kawan abah berkunjung ke rumah. Saya paling asyik mendengar cerita-cerita daripada orang dewasa. Kerana mereka selalu berkata mereka lebih dahulu ‘makan garam’. Kini ramai orang dewasa pula yang ‘pasang’ telinga mendengar cerita daripada anak-anak muda yang lebih cerdik dan banyak pengalaman. Zaman dah berubah dunia dah maju.

Walaupun tahun ini saya tak balik kampung. Tapi kemeriahan tetap sama. Kenalan pula sudah semakin ramai. Sebelum Hari Lebaran tiba sudah ada jemputan Hari Terbuka atau yang mengajak datang kerumah. Selepas solat Eid ul Fitri saya sudah kerumah jiran. Pekena lagi. Nasi minyak, nasi dagang, gulai ikan tongkol, gulai masak kawah serta kueh-mueh. Cuma satu ‘kebiasaan’ yang tertinggal, ziarah kubur, membaca Al Fatihah, Yasin dan doa kepada abah,emak,atok, nenek, Pak Lang, Mak Cik, Abang Long, Abang Ngah. Abang Lang, Kak Uda yang telah mendahului kami di alam fana ini. Semasa saya kecil dahulu, saya amat seronok untuk ke tanah perkuburan, bukan kerana ziarah tetapi kerana mencari duit-duit syiling yang ditabur di ‘kalang air’ (binaan atas pusara). Kalau bernasib baik dapat jugalah ‘mengutip’ $ 1.00 hingga $ 2.00. Amalan menabur duit di ‘kalang air’ selalunya dilakukan oleh waris terdekat yang datang menziarahi kubur. Ia bukan sahaja dilakukan pada musim perayaan tetapi juga sepanjang tahun. Lama kelamaan amalan ini telah ditinggalkan sedikit demi sedikit sehingga ia terus dilupakan. Mereka sudah lebih gah memberi wang kepada budak-budak yang datang kerumah berhari raya dengan budaya ‘angpau’ mengisi not RM 1, RM 2 atau RM 5 kedalam sampul yang berwarna warni. Zaman dah berubah dunia dah maju.
(Nota: Saya masih sempat menggunakan duit British, sebelum mula menggunakan duit Malaysia mulai tahun 1967, Nama 'Ringgit Malaysia' telah mula di gunakan pada tahun 1975)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails