Oct 17, 2008

Yang DiLihat Dan Yang DiDengar

“Assalamualaikum tuan. Saya dah bank in tunggakan sewa rumah RMxxx.00. Terima kasih dan minta maaf lewat bayar. Insya Allah saya akan usaha untuk bayar lebih awal bulan akan datang – M". Ini adalah mesej yang sering saya terima sejak tahun 2008 dari penyewa rumah saya di Selangor. Dalam firasat saya sudah tentu dia mengalami masalah dalam perniagaannya. Dia sering menunda-nunda membayar sewa rumah dengan alasan payment lewat. Ada ketikanya hampir tiga bulan baru dia membayar sekali gus. Saya belum lagi mengambil tindakan untuk memasukkan penyewa baru. Selain belum melepasi deposit yang saya tetapkan ketika mula-mula menyewa rumah saya tahun 2006 dahulu, dia’juga adalah penyewa yang baik. Dia telah membayar secara teratur sejak mula menjadi penyewa dan sentiasa berusaha untuk membayar. Cuma sejak akhir-akhir ini pembayarannya selalu tersekat-sekat. 

“Mampus lah bang, mampus tahun ni, you tengok, you tengok, waktu macam ni pun tak ada orang lagi. Tahun lepas macam ni dah sibuk dah, dia orang datang tengok-tengok lepas tu dia orang bayar. You tengok sekarang, tak ada orang. Kalau ada pun dia datang tengok-tengok lepas tu dia orang keluar. Mampus tahun ni bang”.

Keluhan ini datang dari mulut seorang pengurus kedai menjual kain baju yang agak popular di Kuala Terengganu, seminggu lagi sebelum menyambut Hari Raya. Dia menyambung lagi;

“You pergi tengok kat Jalan Banggol, biasa penuh, tahun ni, orang pun tak ramai, tahun ini berniaga tak bagus lah bang, saya dah tiga tahun kat sini, tahun ni paling teruk”.

Saya kenal pengurus ini sejak tahun 2007. Dia berasal dari Johor, seminggu di Kuala Terengganu, seminggu di Temerloh dan dua minggu berada di Kuantan. Mr Tan adalah pengurus wilayah bagi rangkaian perniagaan taukehnya di Pantai Timur.

Saya bukan orang berniaga dan juga bukan pakar ekonomi. Namun kedua-dua cerita tersebut secara tidak langsung telah memberi kefahaman kepada saya suasana yang di hadapi oleh orang berniaga.

Ada atau tidak persamaannya dengan keruntuhan sistem kewangan di Amerika saya tidak pasti. Cuma sistem kewangan di Amerika runtuh kerana krisis perumahan sub-prima iaitu memberi pinjaman kepada mereka yang tidak mampu atau kurang mampu bagi membeli rumah atau hartanah. Lazimnya bank akan memberi pinjaman berpandukan kepada kriteria kelayakan kredit yang ketat seperti status kewangan peminjam dan sejarah pembayaran balik hutang yang positif. Namun, kerakusan mengaut keuntungan melalui urus niaga jual-beli hutang di pasaran tempatan dan antarabangsa merangsang institusi kewangan mempermudahkan pengeluaran pinjaman perumahan termasuklah kepada golongan yang tidak layak.

Bank-bank pula memberi kadar faedah yang rendah dan dalam jangkamasa yang lama. Apabila kadar faedah ini dinaikan, mereka yang kurang mampu tadi terus tidak mampu lagi membayarnya. Ia bukan sahaja melibatkan institusi kewangan tetapi juga telah melibatkan entiti perniagaan yang lebih kompleks. Melibatkan bank-bank perdagangan, pelabur-pelabur tempatan dan antarabangsa. Mereka terlibat dengan perniagaan ini dan menjangka akan mendapat keuntungan yang lebih besar. Mereka juga merasa selamat bahawa bank-bank di Amerika tidak mungkin mengalami kerugian. Persepsi mereka telah tersasar. Peningkatan hutang lapuk dan kegagalan peminjam melunaskan hutang mencetuskan pelbagai lingkaran masalah dan kesan-kesan negatif lain. Pelabur-pelabur yang rakus mengaut keuntungan daripada pembelian bon tadi tidak terkecuali dan mereka mengalami kerugian besar. Akhirnya banyak syarikat yang perlu diselamatkan (bail-out). Kerajaan Amerika terpaksa mengeluarkan sejumlah USD 700 billion untuk menyelamatkan Wall Street daripada terus jatuh.

Mengikut laporan Bank Negara Malaysia keruntuhan sistem kewangan di Amerika tidak mempengaruhi perkembangan ekonomi di Negara ini. Rezab simpanan masih lagi mampu mengekalkan impot untuk tempoh sembilan bulan. Kadar pinjaman tidak berbayar juga rendah iaitu ditahap 2.5 peratus. Walau apa pun laporan Bank Negara, negara masih bergantung kepada pusingan import eksport. Sesebuah negara maju dan kaya seperti Amerika, Great Britain, dan negara-negara lain apabila mengalami kegoncangan ekonomi mereka tidak akan membeli barangan yang kurang perlu. Dengar khabarnya, di Amerika, kedai menjual tali gitar pun sudah kekurangan pelanggannya. Seharusnya kita berwaspada bahawa 32 peratus eksport negara berurusniaga dengan negara-negara yang bertaraf maju. Antaranya ialah Amerika yang sedang mengalami kelembapan ekonomi. Jika barangan kita tidak laku dijual atau dijual pada kadar perlahan maka pertumbuhan ekonomi negara juga akan turut perlahan dan mungkin bergerak secara negatif. Kesannya sudah mulai dirasai kini, apabila harga komoditi, getah, kelapa sawit, termasuk bahanapi juga sudah mulai turun dipasaran antarabangsa. Kejatuhan harga petrol dan diesel telah memberi kelegaan kepada pengguna tetapi mengurangkan pendapatan negara. Kejatuhan harga getah dan kelapa sawit telah meresahkan mereka yang terlibat secara langsung dengan komoditi ini. Ini adalah gambaran awal. Tempiasnya akan kita alami pada tahun hadapan dan mungkin berpanjangan.

Pertumbuhan ekonomi mungkin lebih rendah dari 5.4% seperti yang di jangka dalam Bajet 2009. Jika keadaan ini bertambah buruk saya berfikir adakah 'M' -penyewa rumah saya akan tetap membayar sewa rumahnya. Adakah saya akan berjumpa lagi dengan Mr Tan. Jika berjumpa pun, adakah ia masih sebagai Pengurus Wilayah, kepada kedai kain baju yang sudah mula kurang pelanggannya itu. Saya cuma berdoa apa yang saya fikirkan itu tidak berlaku. Tetapi selalunya apa yang kita tidak kehendaki itu lah yang terjadi.

7 comments:

Unknown said...

Allah menghalang riba namun menggalak kan sedekah

;-)

Pok Li said...

Benarlah seperti yang disebutkan dalam al-Quran:

Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Dia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran dan selalu melakukan dosa. (al-Baqarah: 276)

Tirana said...

Di penghujung usia dunia, macam-mcam perkara berlaku. Kadang-kadang mengelirukan fikiran kita...yang halal dipandang haram dan yang haram dipandang halal. Hanya orang2 yang bersih hatinya dan kukuh imannya dapat mengenal pasti yang haq dan yang benar...

Gerun bila baca cerita Pok Li ni..mudah-mudahan kita di lindungi Allah dari keburukan.

RAHISAM RAMLI said...

Jika benar krisis kewangan ini menyusutkan pendapatan peniaga saya kira ada baiknya sebab mereka juga yang beria-ia menaikkan harga barang meskipun harga minyak sudah diturunkan.

aktiviti perniagaan bukan sahaja ikut hukum penawaran dan permintaan tetapi kita memberi perkhidmatan kerana antara kita saling perlu memerlukan,bukan saling menindas, biasanya pengguna yang menjadi mangsa.

Moga kita kembali melihat perniagaan sebagai ibadat bukan mengaut untung semata-mata dengan cara yang tidak jujur.

Pok Li said...

saya bersetuju dengan pendapat saudara rahisam. Walaupun subsidi bahanapi diberikan, peniaga masih mengaut keuntungan yang berlebihan.Kejatuhan harga bahanapi yang terbaru juga tidak memberi kesan besar kepada penurunan harga barang.

Bonekahati said...

Salamz..
memang tidak dinafikan ekonomi sekarang amat teruk sekali. Kesannya amat terasa..Jika dibandingkan dgn tahun2 yg lalu, tahun ini amat teruk sekali. Saya sebagai fabric distributor terpaksa tanggung byk risiko. Order barang banyak tapi perniagaan tak selaju tahun sebelumnya. Tak boleh nak duga. Memang sakit! lebih2 lagi kalau buat pinjaman dgn bank sampai waktu duit bank kena jelaskan. Jualan pulak tak memberangsangkan. Gaji pekerja kena bayar bukan itu saja ada yg nak minta naik gaji. Tak naik gaji mogok nak berhenti kerja. Alih2 terpaksa naik juga walau rm20 semata2 nak jaga hati pekerja. Kalau takde pekerja kita juga yg susah .
Seperti PokLi ada rumah sewa dan penyewa yang baik dapat jelaskan sewaan dgn teratur itu dah kira ok. Walau setakat dia nak lewat bayar sebulan dua tu, bagilah pelepasan janji sampai masa dia jelaskan semua. Takde hutang tertunggak. Kita bertimbang rasa tak rugi.

RAHISAM RAMLI said...

Peniaga oh Peniaga..
Ye zaman susah sudah tiba kerana kita selalu sangka panas hingga ke petang dan jarang menyangka hujan ribut tiba-tiba di tengahari.

Harga minyak naik pun jadi polemik dan kerajaan juga dituduh punca kenaikan inflasi. Benarkah?

Minyak turun masih tak berubah-ubah malah inflasi makin naik ke 8%.Kerajaan jugak yang dituduh lemah. Benarkah?

Apabila perniagaan tak maju,kerajaan juga puncanya?
Lagu bangau oh bangau boleh tukar peniaga oh peniaga