Oct 3, 2008

Cerita Kehidupan

Sempena Hari Raya tahun ini saya mengambil kesempatan bertemu kawan lama di Felda Bukit Bading. Dia merupakan 'orang kampung' (satu negeri) yang telah bertemu jodoh di Hulu Terengganu. Orang Negeri kahwin Orang Terengganu. 20 atau 30 tahun dahulu ia bukan sesuatu yang digemari oleh kedua-dua pihak. Pertama jauh, kedua kerana mereka masih tebal dengan pegangan untuk menjodohkan anak-anak dengan orang kampung sendiri atau kaum kerabat terdekat. Alhamdullilah, Kasim telah dikurniakan tiga orang anak. Dua lelaki dan seorang perempuan. Setiap kali Hari Raya dia pasti balik ke Felda Bukit Bading ini.

Dari Marang ke rumah mertua Kasim mengambil masa lebih kurang satu jam. Memasuki ‘perkampungan’ Felda perlu berhati-hati. Jika tiada peta atau panduan yang tepat, kita boleh sesat. Jalan nya bersimpang siur. Jauh lebih mudah memandu di Kuala Lumpur daripada jalan-jalan di Felda.

Memasuki Felda Bukit Bading, seakan memasuki kawasan perumahan yang maju. Tersedia pos kawalan, sebuah masjid tersergam indah, deretan kedai, puluhan rumah kayu yang telah diubah suai kepada rumah batu, jalan tar, piring astro bukan lagi pemandangan asing di sini. Hampir semua rumah sudah ada kereta atau sekurang-kurangnya motorsikal.

Tetapi itu bukan wajah sebenarnya 40 tahun dahulu. Ketika felda ini dibuka pada tahun 1968, ia dipenuhi dengan hutan belukar yang sarat dengan misteri. Peserta Peringkat Satu, bermula dengan 71 orang bekas tentera sebagai 'peneroka'. Mereka berjudi dengan nasib. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Berbekal pengalaman bekas tentera dan gaji $69.00 sebulan, mereka merintis hutan, membuka kebun dan membesarkan pokok-pokok kelapa sawit. Mereka seolah-olah pendatang asing. Cekal dan berwawasan. Saya tidak pernah menemui mereka. Jika bertemu ingin saya luahkan rasa kagum atas usaha dan pengorbanan mereka. Jerih payah akhirnya berbaloi. Walaupun mereka tidak pernah bergelar jutawan seperti rakan-rakan mereka di Felda Labu dan di Felda Sendayan, tetapi kehidupan waktu ini sudah cukup selesa. Jika ada anugerah, mereka adalah generasi pertama Felda Bukit Bading yang perlu di beri pingat.

Kini ia kehidupan Felda Bukit Banding diteruskan oleh generasi kedua. Mereka adalah generasi yang bersama mengharungi kesusahan itu. Kini sudah ada yang menjadi pegawai tinggi kerajaan, peniaga, bekerja sendiri atau menyambung tugas peneroka sebelum ini. Mereka adalah pelengkap kepada plot cerita kesusahan, kesedihan dan keperitan hidup generasi pertama. 

Dahulu mereka terpaksa bersekolah jauh keluar dari Felda, menaiki traktor ke SK Kg Pela, kampung berdekatan. Ketika mereka balik, ibu-bapa mereka masih berada di kebun. Jika mereka dahaga mereka hanya minum air paip. Paip air ini pula terpaksa dikongsi dengan puluhan rumah peneroka lain. Jika mereka lapar makan sahaja apa yang ada, jambu hutan atau buah seletup yang tumbuh meliar di sekitar rumah. Babi, monyet, kera, lotong dan mawas sudah menjadi sebahagian watak dalam kehidupan susah mereka. Kehidupan susah ini mengajar mereka lebih berusaha keras dengan menanam ubi, keledek, pisang untuk dimakan dan dibuat kueh untuk di jual. Mereka terus kreatif dalam mengharungi hidup susah. Jika di filemkan, cerita ini tidak sampai pun dua jam. Tapi ini bukan filem. Ini cerita kehidupan.

Saya percaya bahawa ramai yang melalui pengalaman susah dan kemudian berjaya dalam hidupnya. Ramai juga yang hidup susah dan terus susah. Janganlah terus kecewa. Berdoa lah dengan sabar. Kerana cerita kehidupan belum tamat. Usaha harus diteruskan. Ambil lah iktibar dari petikan bualan seorang 'pomen' Cina ketika menukar tiub tayar motosikal saya yang bocor. Katanya ;

"Ini hali kita doa aa... sama itu Tuan Alah. Kalau tak ada senang, kita mintak lagi. Mungkin ini hali kita talak senang...aaa. Kita punya anak pun tak la senang jugak. Tapi kita kena mintak ma. Lama-lama mintak mesti senang punya ma. Mana tau, itu jam (masa) kita punya cucu baru senang, jadi orang kaya, jadi menteli.....aa. Tapi itu doa...aa. Kena kelija kuat juga. Bukan duduk diam-diam. Selupa mau lalu lebuh raya. Mesti bayar tol dulu wooo. Baru dapat jalan besar.......ha..hah..ha "


Walaupun saya tak faham apa kaitan doa dengan tol dan lebuhraya. Sebahagian daripada bualannya itu memang ada benarnya. Hari ini Felda bukan sahaja berjaya membangunkan hutan yang kini sudah menjadi perkampungan. Felda juga sudah ada mercu tanda bukan sahaja di negara sendiri tetapi juga di negara luar. Budaya 'peneroka' ini telah menjiwai Felda.

2 comments:

Prasert Chaipradit said...

Felda sekarang memang memuncak kemajuannya. Saya ingat 20 tahun dahulu masa saya kerja kontrak buat jalan raya di sekitar Felda Lepar, Pancing dan Bukit Sagu, Pahang, keadaannya masih kampung. Sekarang sudah jadi bandar baru. Satu perkara yang saya tak dapat lupakan, orang Felda sangat menghormati tetamu. Walaupun kami, pekerja adalah orang luar (bukan anggota Felda), kami dilayan seperti orang sendiri.

Anonymous said...

Sekarang sistem pengangkutan sudah moden. Kahwin antara orang sebelah Pantai Timur dan Pantai Barat tiada masalah untuk kunjung-mengunjung.