Oct 6, 2008

Dulu, Kini & ...........


Kesibukan membuatkan saya terlupa untuk menghadiri jemputan kenduri kahwin tengahari semalam. Sepanjang menetap di Marang  acap kali menerima jemputan walimatulurus. 

Kenduri mereka lebih simple. Berjumpa tuan rumah, senduk nasi, ambil lauk, gulai kawah, acar timun, ikan masin, dan sambal. Tidak perlu meja, hanya kerusi. Makan pula cara buffet. Tiada muzik, hanya bunyi perbualan sahaja. Tiada pelamin dan tiada khemah makan pasangan pengantin. Gayanya sedikit berbeza jika majlis di rumah Datuk atau Toh Puan, lebih nampak meriahnya.

Jauh berbeza dengan kenduri walimatulurus di kampung saya. Persiapannya lebih meriah. Khemah perlu ada dua tiga. Meja panjang perlu diatur di bawah khemah. Khemah juga dipasang scallop. Kerusi pula diatur secukupnya. Gelas disusun di atas meja. Ada kuih dan kacang sebagai pembuka selera. Khemah untuk pasangan pengantin lain pula. Hidangan walaupun secara buffet tetapi menunya, ya Allah,  tidak cukup nasi putih, ada pula nasi minyak. Lauknya pun pelbagai. Gulai daging, acar buah, rendang daging, ayam goreng, sayur kacang campur hati. Makin berstatus tuan rumah semakin banyak lah 'mata' (jenis) lauknya. Semasa saya tinggal di Kuala Pilah dahulu lauk 'umbut' kelapa wajib ada.

Walaupun kelihatan sarat. Seingat saya, majlis perkahwinan sekarang tidak serumit majlis perkahwinan yang diadakan sewaktu saya kecil dahulu. Dahulu majlis kahwin berlangsung panjang. Bermula dari malam bersambung keesokan harinya sehingga malam. Dimulakan dengan berinai kecil, lepas itu berinai besar, bernikah, bersanding dan kemuncaknya majlis 'bakar lilin'. 

Seminggu sebelum kenduri sudah ada 'kayu berakar' (gotong royong). Kerja-kerja menebang buluh dan memasang khemah. Kayu api perlu dicari. Tukang kandar air sudah ditetapkan. Ketua penanggah (Ketua Bahagian Masak dan Hidangan) juga telah dilantik. Kaum ibu pula sudah sibuk datang menolong memilih beras (antah), memotong bawang, menghias bilik pengantin, menyediakan pelamin dan membuat kotak telur. Semasa kenduri kahwin berlangsung tuan rumah akan menerima barangan hasil 'tanam' sebelum ini atau menerima 'tanam' baru daripada orang kampung, seperti telur, beras, tepung dan gula. Tugas ini diserahkan kepada seseorang yang dipercayai. Dia juga perlu mengutip 'duit air' dan 'duit mangkeh'. Kesemua ini perlu dicatat ke dalam sebuah buku. Jika tuan rumah ada duit lebih, kugiran akan ditempah, jika tidak, cukuplah memainkan piring hitam, lagu-lagu A.Ramlie, Ahmad Jais, S.Jibeng, Rafeah Buang dan sewaktu dengannya. Jika kenduri di pak lebai datau guru agama, mereka lebih cenderung memutarkan bacaan ayat-ayat suci Al Quran daripada Qari dan Qariah terkenal Ismail Hashim atau Rogayah Sulong. Selalunya corong-corong speaker ini digantung di atas pokok atau di cucur atap.

Pada waktu malamnya diadakan pula majlis 'bakar lilin'. 'Merebut lilin' akan menjadi acara penting kepada budak-budak selepas perarakan ini tamat. Pengantin akan diarak menggunakan pengusung buluh yang direka khas. Dua buah kerusi rotan akan diikat kemas di atas pengusung buluh yang dihias cantik. Sekeliling pengusung ini akan diikat dengan pelepah rumbia. Pelepah rumbia yang lembut ini akan dicucuk dengan 'colok cina' (lilin). Pasangan pengantin akan diarak menaiki pengusung dengan iringan pukulan rebana daripada kumpulan dikir. Sebaik sahaja 'dikir' tadi tamat bermulalah acara merebut lilin di kalangan kanak-kanak. Lilin tersebut digunakan untuk menyuluh jalan pulang ke rumah.

Ketika saya menikah pada tahun 1985, zaman sudah berubah. Ia bersamaan dengan era kesedaran dan kebangkitan Islam. Perempuan sudah mula bertudung. Majlis bersanding sudah mula berkurangan. Jika ada pun, majlis persandingan pun hanya di dalam rumah dan dihadiri oleh sanak saudara sahaja. Majlis 'bakar lilin' sudah tiada lagi. Kalau ada pun kerana sudah 'berniat'. 'Kayu Berakar' hanya menjadi majlis minum-minum. Semuanya sudah ditempah. Air tidak perlu lagi di 'kandar'. Lampu gasolin tidak perlu lagi dipinjam. Tiada lagi duit 'mangkeh'. Ia sudah diganti dengan hadiah atau wang. Kugiran juga sudah tidak ditempah lagi. Muzik dipasang sebagai bunyi-bunyian untuk menghidupkan majlis. Majlis juga semakin pendek. Tidak lagi diadakan sehari semalam, hanya bermula dari pagi sehingga selepas asar sahaja. Tuan rumah tidak kepenantan. Tiada kancah yang perlu ditangkup. Tiada pinggan yang perlu dibasuh. Kerana semuanya sudah dibereskan oleh caterer.

Selepas ini saya pula akan menjadi tuan rumah kepada majlis perkahwinan anak-anak kami. Kerana "zaman sudah beralih, pusaka sudah bergilir".

7 comments:

Awwa said...

salam ziarah...selamat hari raya aidilfitri maaf zahir dan batin dr sy...

Pok Li said...

Terima kasih. selamat hari raya. Maaf zahir dan batin juga.

azlishukri said...

saya link blog saudara. salam aidil fitri dan maaf zahir batin.

Anonymous said...

Kenduri memang perkara biasa. Kita pergi kenduri orang dan orang pula akan datang kenduri kita kerana suatu hari apabila anak-anak dewasa 'kenduri' sukar dielakkan. Salam!

Pok Li said...

Salam
1.Terima kasih kerana link dan selamat aidil fitri dan maaf zahir batin juga.

2.Salam jua buat puterabumi. Kenduri pun lima atau enam tahun lagi :).

Rahimin Idris said...

salam idulfitri bang!

kalau kenduri kawin jangan lupa deejay bang. baru meriah sikit. kalau nak buat pengumuman pun sonang!

RAHISAM RAMLI said...

salam ziarah..terima kasih link blog saya..saya juga link blog saudara.moga boleh bertukar fikiran dalam apa jua persoalan. Selamat hari raya 'eidul fitri.Maaf zahir dan batin.