Oct 19, 2008

O'lohan vs O'lohin

Baru sahaja empat hari pulih daripada demam. Giliran isteri saya pula yang ‘tumbang’. Sudah ke klinik tapi masih belum kebah. Kalau tidak sembuh juga sekali lagi saya akan membawanya ke klinik. Mungkin musim ini musim batuk selsema dan demam.

Ketika saya kecil dahulu, untuk ke klinik terpaksa keluar berbatu-batu jauhnya. (masa tu belum guna kilometer lagi)*. Mengayuh basikal dari kampung ke Kuala Sawah, sebuah pekan kecil sejauh tiga batu dan kemudian mengambil masa yang lama menunggu bas ‘Ganasan’ (syarikat bas ini tidak wujud lagi) ke Seremban. Jarak dari Kuala Sawah ke Seremban pula sejauh 10 batu. Membeli tiket ‘pergi balik’ bernilai 50 sen, bas ‘oncet-oncet’ ini hanya akan sampai di Perhentian Bas di Jalan Tunku Munawar antara 30 hingga 40 minit masa perjalanan. Sekitar tahun 60an tidak banyak klinik swasta yang dibuka. Kalau ada pun tidak melebihi sepuluh jari. Klinik yang paling popular ketika itu ialah Klinik O’lohan. Doktornya seorang rakyat British. Saya tidak tahu nama sebenarnya. Orang kampung memanggilnya Dr O'lohan. Dia telah membuka kliniknya awal tahun 1960 di Bandar Seremban. Mengikut cerita emak saya, dia masih bujang lagi ketika kliniknya dibuka. Dia telah memberi khidmat baktinya yang cukup lama kepada penduduk di daerah Seremban sebelum dia pulang ke negara asalnya pada tahun 1976. Jika sakit demam, tiada klinik yang lebih popular di mulut orang kampung kecuali pergi ke klinik Dr O’lohan.

Namun begitu, kerana sukar untuk pergi ke Klinik O’lohan dan terpaksa pula membayar duit ubat serta menghabiskan banyak masa dalam perjalanan, orang kampung lebih suka mendapatkan bantuan ‘dukun’. Di kampung saya masa itu terdapat dua tiga orang ‘dukun’. Dukun yang paling ‘mujarab’ ialah Gohin. Tok Gohin. Oleh kerana saya selalu demam di waktu kecil, seringkali saya datang berubat dengannya. Tok Gohin akan memulakan kerja-kerja ‘tomeh’ (ramal) dengan mengambil beberapa batang mancis dan melemparkannya beberapa kali ke atas lantai rumahnya. Selepas berpuas hati dan ‘mengetahui’ punca penyakit dia akan mengambil segelas air dan membaca mentera yang hampir saya hafal. Antara bait-bait mentera yang masih saya ingati ialah;

Satu sela …,
Dua sela…,
Tiga sela…,
Empat sela…,
Kemari kau jin Islam…,
Bantu aku…., tolong aku….,
Kemari kau jin putih
Nyah kau jin hitam
Nyah kau ke gunung
Nyah kau ke Laut
Tergantung-gantung kau dilangit……………puh,puh,puuuuh…

Kemudian bacaan menteranya semakin perlahan dan hampir tidak kedengaran. Selepas menghembus kepala, muka dan air, Tok Gohin akan terus menyuruh saya minum air jampinya. Dengan Izin Allah, tidak berapa hari kemudian saya akan sembuh dari demam. Kerana ‘kepakaran’nya mengubati orang kampung dengan hanya ‘air jampi’ atau sesekali membuat ‘jaram’, Tok Gohin telah digelar dengan gelaran Dr O’lohin.

Kini perubatan moden dan perubatan alternatif mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Masing-masing mempunyai kepakaran yang sukar dinafikan. Perubatan alternatif bukan sahaja melibatkan pengamal ‘air jampi’ sahaja, tetapi turut melibatkan cabang-cabang perubatan tradisional yang pelbagai. Ia bukan sahaja datang daripada kaum Melayu tetapi juga termasuk pelbagai kaum dan keturunan. Bomoh, Feng-shui, Ayuverdic, homeopathy, akupuntur, aromaterapi, perubatan China, refleksologi dan berbagai lagi. Masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan. Walau bagaimana pun janganlah terlalu taksub. Ketaksuban yang keterlaluan kepada mana-mana cabang perubatan boleh membawa kita terjebak dengan perubatan songsang, Sejarah di Malaysia pernah merakamkan kejadian seumpama itu seperti kes Allahyarham Datuk Mazlan dan ‘Dukun’ Mona Fandey. Tragedi ini berlaku di Pahang sekitar tahun 1993 dahulu.

Apa pun kami sekeluarga jarang pergi berubat dengan ‘dukun’ kecuali yang jelas menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran. Saya lebih suka menggunakan kaedah perubatan moden tanpa merasa ragu-ragu. Kali terakhir saya menggunakan perubatan alternatif ialah pada tahun 1977 apabila terkena sihir ‘santau’. Kalau ada kesempatan saya akan bercerita mengenai pengalaman terkena sihir ini dan menjalani rawatan dengan seorang Pak Haji, Haji Karim.

*Ukuran matrik mula digunakan pada tahun 1982.
Oncet-oncet – Bas henti-henti
Tomeh – menengok/menilik
Jaram – mengaul dan meramas beberapa jenis daun kayu sehingga berbuih. Pesakit akan dimandikan menggunakan air kayu-kayuan ini.
Santau – sejenis sihir yang dikenakan kepada mangsanya melalui angin, atau makanan. Akibatnya mangsa akan mengalami batuk darah, demam atau batuk yang berpanjangan.Pesakit yang lewat di ubati boleh membawa maut.

10 comments:

Tirana said...

Pok Li,

Suami saya seorang doktor perubatan dan memang susah sikit baginya untuk mempercayai bomoh kecuali bomoh yang macam Datuk Haron Din. Tapi dia tidak pulak melarang pesakit-pesakitnya menggunakan ubat tradisional seperti akar-akar kayu dan sebagainya, Ubat-ubat tradisional pun ada sukatan dos dan amat bahaya kalau terlebih ambil dos. Nenek saya pandai dalam membuat ubat campuran akar-akar kayu.Saya ketika kecil dulu-dulu pun jarang ke klinik kalau deman. Ibu hanya guna ubat-ubatan tradisional yang free of charge.

Pok Li said...

Ilmu perubatan tradisional kalau dipelajari banyak manfaatnya. Ibu saya dahulu pencari akar kayu. Tapi malangnya saya tak mempelajarinya. Mungkin puan Tirana boleh belajar dari ibu

Unknown said...

Lamo tak balik seghomban... ntah macamm mano ghupo....

perubatan alternatif ada yang pro dan ada yang kontra namun perlu dikaji kerana ada beberapa "spesis" penyakit yang tidak dapat dikesan dan diubati oleh perubatan moden.

Pok Li said...

Pendekar orang sekampong ko?. Masya Allah. Saya bersetuju beberapa penyakit yang masih memerlukan pengubatan alternatif. Bagaimanapun ada yang mengambil kesempatan untuk menipu dan menganiaya pesakit.

Prasert Chaipradit said...

Saya masa kecil dulu pun selalu minum air jampi apabila sakit. Jarang sekali saya dibawa ke klinik kerana saya takut jarum. Perubatan tradisional kalau digunakan dengan kaedah yang betul banyak manfaatnya kerana manusia boleh survival sehingga sekarang kerana berkat perubatan tradisional yang diamalkan nenek moyang kita.

Anonymous said...

Bidang perubatan tradisional ada kelebihannya yang tersendiri. Ada penyakit tertentu yang berkaitan dengan angin tidak dapat dikesan oleh peralatan moden termasuk sinaran X tetapi dapat disembuh oleh ubat akar kayu.

Don Balon said...

Pok Li,
Bagi koi, dua-dua cabang mesti dimajukan. Cabag kedua amat perlu terutama hal-hal spiritual. Cuma mesti pastikan pengamalnya hanya menggunakan ayat2 Al-Qur'an dan bukan bercampur aduk hingga tak dapat dipastikan bunyinya..

Koi ada pengalaman masa sekolah rendah kena kayap di perut. pak haji dekat rumah koi hanya baca doa dan ayat2 Qur'an, hembus di air dan koi minum, dua tiga hari lepas tu kayap tu pun hilang..

Brahim Nyior said...

Pokli, ketika berusia setahun lebih, saya hampir mati, dek kerana opah sebelah ayah terlalu percaya pada bomoh. Hingga 'telinga dah layu', saya akhirnya dibawa ke klinik doktor Cina, Dr Ling Sing Hang namanya. Cukup terkenal di pekan kecil Sitiawan. Doktor Melayu pada tahun 70-an, sukar ditemui di pekan itu pada masa itu.

Ironinya, saya panjang umur, setelah diberi ubat oleh doktor Cina tersebut.

Tapi saya percaya kepada ketentuan tuhan, asalkan kita berusaha.

Posting Pokli mengingatkan saya kepada konfrontasi antara keluarga mak yang lebih percaya kepada perubvatan moden, dan keluarha ayah yang percayakan dukun dan bomoh.

Unknown said...

Salam Pok Li,

Dulu saya pernah cedera kerana bersukan. Doktor biasa pada mulanya tak dapat kesan masalah. Kemudian mak bawa pergi jumpa beberapa orang bomoh (kalau tak silap, yang tak menggunakan ayat Quran). Ada seorang daripadanya letakkan pen antara jari-jari kaki saya dan kemudian memicit jari. Alangkah sakitnya...kena jahit luka tanpa bius pun tak sakit macam tu...tak tahulah kenapa dia buat begitu...tapi penyakit tak baik-baik juga dan punca kecederaan masih tak diketahui...akhirnya terpaksa pergi specialist dan buat operation, barulah baik. Sampai sekarang saya fobia kat bomoh...:)

Pok Li said...

Kepada saudara razali dan ibrahim, terima kasih kerana kongsi pengalaman. Apa pun setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.