Oct 8, 2008

Perjalanan............

Selepas kesemua anak-anak pulang ke destinasi masing-masing, besok kami akan bertolak pulang ke Pulau Pinang. Perjalanan yang panjang. Berdua sahaja. Kami berdoa tiada kejadian buruk berlaku waimma tayar pancit sekali pun. Berdua-duaan menaiki kereta mengimbas kembali zaman muda-muda dahulu selepas kami bernikah. Peristiwa itu berulang kembali selepas usia perkahwinan kami hampir mencecah 23 tahun.

Kembali ke Pulau Pinang mengimbau kembali peristiwa manis dan masam. Pulau Pinang telah menemukan saya dengan isteri saya sekarang. Dalam tempoh tiga bulan perkenalan, kami akhirnya bertunang dan berkahwin sepuluh bulan kemudian. Pulau Pinang juga tempat kelahiran tiga orang cahaya mata kami. Dua orang lagi lahir di Negeri Sembilan.

Saya mula berkhidmat di Pulau Pinang pada tahun 1982. Bangunan Komtar (Kompleks Tun Abdul Razak) masih lagi empat tingkat. Pembinaannya kemudian disambung lagi sehingga mencecah 65 tingkat pada tahun 1986. Ia menjadi bangunan yang paling tinggi di Asia ketika itu. Ketika Komtar terbakar pada tahun 1983, saya masih lagi bujang dan tinggal di rumah sewa Taman Zainal Abidin, Jalan Perak. Ketika itu jambatan Pulau Pinang baharu sahaja hendak dibina. Ia dianggap projek mega dan membazir. Ketika saya berkahwin pada Ogos 1985, jambatan ini sudah boleh digunakan. Selepas  berlaku tragedi Feri Pulau Pinang pada tahun 1988 yang mengorbankan lebih daripada 100 orang  baru timbul kesedaran betapa pentingnya projek mega dan membazir ini.

Setiap kali keluarga datang ke Pulau Pinang saya akan menjadi tourist guide. Menaiki keretapi Bukit Bendera, melawat Masjid Pulau Pinang (ketika itu satu keajaiban melihat lampu cendeliar seberat satu tan di ruang sembahyang masjid). Pasar Chowrasta, (beli buah pala) Padang Kota Lama (pekena pesembur), Padang Kota Baru, Komtar, Penang Road, Batu Feringhi dan Kebun Bunga (banyak monyet di sini). Ketika itu Pulau Pinang masih lancar dan tidak sesesak sekarang. Kini lebih banyak jalan sehala yang jarak ke bandar lebih jauh.

Saya bercadang untuk singgah di Padang Kota Lama, makan pasembur dan sotong bakar. Mencari semula masakan kari ketam di lorong belakang Pasar Chowrasta atau pergi ke Air Itam pekena mee rebus. Namun perkara utama kepulangan kami ialah menemui saudara mara, menziarahi pusara bapa dan ibu mertua di Tanah Perkuburan Dato Keramat. Mencari dua tiga orang kenalan yang masih tinggal lagi di Pulau Pinang. Mungkin ada kisah baru atau mungkin kisah pi mai pi mai tang tu jugak.

1 comment:

Anonymous said...

Salam Pok Li,

terima kasih berkongsi cerita tentang terbakarnya Komtar dahulu...

relaxjom turut memuatkan kisah bergambar tentang kisah ini...