Oct 26, 2008

Pesaka Pengkalan Berangan

Dua minggu terakhir ini saya jarang balik kerumah untuk makan tengahari. Setiap hari ada sahaja jemputan Rumah Terbuka Hari Raya. Kasihan isteri saya, makan tengahari seorang. 

Beberapa hari lepas ada jemputan Rumah Terbuka Hari Raya di Pengkalan Berangan, Mukim Jerung. Jarak pekan ini dari bandar Marang lebih kurang 15 km. Ia hanyalah sebuah pekan kecil, dikelilingi oleh lima atau enam buah kampung tradisional. Terdapat sebuah pasar yang menempatkan peniaga menjual barangan basah dan kering serta jualan hasil kampung. Di sebelah pasar pula terbina sederet kedai yang menjual barangan runcit, kedai majalah, akhbar dan alatulis. 

Manakala pada setiap malam khamis pekan ini akan bertambah ‘ceria’ dengan aktiviti pasar malam. Pekan kecil ini berada di simpang tiga, jika membelok ke arah selatan ia akan membawa kita ke Bandar Kuala Berang, Daerah Hulu Terengganu. Jika meneruskan perjalanan ke barat kita akan menemui Pekan Wakaf Tapai dalam Mukim Bukit Payong, Marang.

Rumah Terbuka di Pengkalan Berangan tidak jauh bezanya dengan ‘rumah terbuka’ yang lain. Juadah seperti lemang, tapai dibalut daun getah, nasi minyak, daging masak kawah, rendang ayam, nasi dagang, sate, kueh-mueh beserta minuman air nira, air batu, dan teh. Cuma saya tertarik dengan hidangan tradisional orang Terengganu yang belum pernah saya temui sebelum ini iaitu ‘Ubi Rebus Nira’. Ubi kayu ini direbus tanpa dipotong atau dikerat. Kulitnya dikupas dan direbus sebiji-biji dalam bentuk asalnya. Setelah hampir masak ubi rebus tadi dituang pula dengan air nira. Kemudian direbus lagi. Selepas empuk ia dihidangkan dan air nira yang dimasukkan tadi menjadi kuah ‘gulanya’. Sukarnya untuk menemui dan menikmati makanan tradisional seperti itu, kecuali di kampung-kampung yang masih lagi ramai ‘pakar’ hidangan ‘klasik’ itu.

Di majlis yang sama saya telah di perkenalkan dengan seorang ‘bekas’ buruh paksa jalan keretapi maut di Burma. Namanya Ariffin Abdullah. Saya memanggilnya ‘Pok Pin’. ‘Pok Pin’ bertubuh sederhana, tingginya lebih kurang 160 cm. Jika dilihat sekali imbas kepada raut wajah dan perwatakannya, sukar untuk mempercayai bahawa usia Pok Pin sudah hampir mencecah 90 tahun. Pendengaran, penglihatan, pertuturan dan daya ingatannya masih baik. Ia terjebak menjadi buruh paksa ketika berusia 22 tahun. Dia ditangkap oleh kempetai Jepun ketika sedang menonton wayang di sebuah panggung di Kuala Terengganu. Kawan-kawannya bernasib baik kerana berjaya melarikan diri dengan memanjat pagar zing di belakang panggung tersebut. 

Tentera Jepun telah membekalkan Pok Pin dengan sebuah pinggan dan sebiji ‘kole’ sebelum dipaksa bersama ratusan ‘tahanan’ yang lain menaiki bot ke Palekbang, Kelantan, kemudian menaiki keretapi ke Burma.

Pok Pin adalah saki baki diantara beribu-ribu ‘buruh paksa’ di Burma yang masih hidup dan sempat kembali ke tanah air. Dia pulang semula ke Terengganu selepas bom atom dijatuhkan di Hiroshima dan di Nagasaki pada tahun 1945. Peristiwa itu telah memaksa Jepun menyerah kalah. Malangnya saya tidak dapat mencungkil lebih banyak ‘rahsia’ dan kisah ‘sejarah hitam’ nya dalam pertemuan kami yang singkat itu. Beruntunglah penduduk Pengkalan Berangan kerana masih ada ‘sejarah hidup’ yang tinggal di sana. Beliau adalah ‘Wira tak didendang’ yang cerita dan kisah hidupnya, mungkin tidak dicatat sepenuhnya. Sejarah hidup itu akan terpadam bersama usianya yang sudah hampir ke penghujung. Rugilah jika tiada usaha untuk mencatat atau membukukan kisahnya. Ramai dikalangan kita yang tidak tahu secara mendalam sejarah hitam dan pengalaman ngeri sebagai ‘buruh paksa’. Ia bukan sahaja kisah ‘Pok Pin’ seorang, ia adalah kisah ribuan lagi buruh paksa yang sebilangan kecil sahaja masih hidup dan kebanyakannya telah pun meninggal dunia. Cerita Ariffin bukan sahaja di Burma tetapi juga pengalaman hidupnya menaiki kapal terbang Caribou ke Jepun.


Nota: Air Nira di ambil dari pokok kelapa. Daerah Marang terkenal sebagai pengeluar air nira secara komersil. Pusat penjualan air nira berada di Kg Kelulut, 4 km sebelum menemui Bandar Marang dari arah Kuantan.



9 comments:

Tirana said...

Betul kata Pok Li..amat rugi jika kisah pengalaman Pok Pin menjadi buruh kasar tidak dicatat sementara dia masih hidup. Cerita-cerita sejarah begini bagi saya amat menarik jika dibukukan.

RY said...

entah bila saya jadi pembaca setia blog saudara. setiap entry ada saja yg menariknya. tapi saya sepatutnya ada rasa malu pada saudara. 27tahun lahir dan membesar di terengganu namun saya masih tak mampu kehebatan saudara perihal negeri kesayangan saya ini.

mungkin satu hari nanti saya akan balik dan setuju untuk hidup mati disini...

teruskan..

akuduniaku said...

Salam

napaknya ada lagi yang tertarik ngn kisah yang dipaparkan disini..wah..
teruja,teruja..

teruskan menulis lagi...

RAHISAM RAMLI said...

Jalan-jalan timba ilmu...itulah hasil buah tangan pok li kepada pelawat blog ini.

Saya juga anggap entry ini antara yang perlu didedahkan selain tokoh-tokoh pemimpin yang dianggap pejuang kemerdekaan,kita masih banyak pesaka yang perlu dibukukan.

Biasanya kita jalan-jalan cari makan tetapi pok li sudah ada tagline baru yang dapat saya belajar di sini.Jalan-jalan timba ilmu.Tahniah pok li.

Pok Li said...

Salam buat puan tirana,razor, aiman dan saudara rahisam. Terima kasih kerana bagi sokongan untuk saya terus menulis cerita-cerita daripada apa yang saya lihat dan yang saya lalui. Saya sebenarnya menulis blog ini hanya untuk mengisi waktu terluang. Mungkin selepas ini saya harus lebih komited. :).

Buat razor terima kasih kerana selalu singgah di blog ini - saya link blog saudara.

Don Balon said...

Pok Li,
satu lagi entri yang menarik dan memberi pengajaran serta renungan yang amat berguna bagi pelawat seperti kami.

Elok juga kalau pokli membuat temujanji dengan beliau dan dapatkan temuramah dengannya..
Kalau pokli blogkan pun bagus juga..
Kalau pokli bukukan pun Insya-Allah saya beli..
kisah 13 mei ari tu pun boleh juga..
kami generasi memang amat perlukan catatan watan seperti ini.. :)

Unknown said...

;-(

moga generasi akan datang sedar tentang buruknya penjajahan....

akuduniaku said...

salam

saya mencadangkan agar kisah mereka di canangkan di televisyen agar lebih ramai yang tahu aan kewujudan mereka..(say abaru mengetahui mereka melalui Pok Li)

Pok Li said...

Salam Don balon. Terima kasih kerana cadangan untuk menulis blog dan buku.Tapi mampu kah saya he,he :).

Salam pendekar - sudah ramai yang tidak ambil tahu tentang penderitaan penjajahan. Mereka terlalu 'gumbira' dengan nikmat kemerdekaan

akuduniaku - ada yang kenal produser tv :)