Sep 21, 2008

Marhaban Ya Ramadhan (2)


Tinggal 10 hari sahaja lagi kita akan meninggalkan bulan Ramadhan yang mulia ini. Lagu-lagu Hari Raya sudah lama berkumandang di corong-corong radio. Ada juga yang sudah mengaktifkan ringtone lagu raya di telefon bimbit masing-masing. Keseronokan menyambut Hari Raya sudah mula dirasakan. Mydin Mall dan Giant di Kuala Terengganu sentiasa sesak setiap waktu. Masih ada baju yang belum dibeli. Masih ada kelengkapan dapur yang perlu ditambah. Masih ada hiasan rumah yang perlu dicari. Tak kurang juga yang begitu ‘berahi’ membeli kueh raya. * (‘Berahi’,sebutan orang Terengganu yang bermaksud amat suka, contohnya, ‘aku berahi kawan dengan mu’, ertinya’ aku amat suka berkawan dengan awak’).

Pada tahun 1994, ketika sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan saya masih lagi berada di perantauan. Jauh dari anak isteri dan kaum keluarga. Berada di sebuah perkampungan yang jauh di pedalaman. Ia hanya boleh dihubungi melalui jalan air. Jika menempuh jalan darat terpaksa pula bersabung nasib melalui laluan lori balak yang berkilometer jauhnya untuk sampai ke pekan terdekat, Pitas, Kota Marudu. Kebiasaannya mereka akan menggunakan kenderaan pacuan empat roda secara berkonvoi. Jika bertongkang ke Bandar Kudat pula mengambil masa tujuh hingga lapan jam. Perkampungan ini dikenali sebagai Kinabongan. Perkampungan berpusat ini terletak bersebelahan Sungai Kinabongan. Melalui empat atau lima tanjung baru sampai ke muara sungai dan kemudian meredah laut yang sarat dengan beting karang melintasi Pulau Jambongan, Pulau Mandi Darah, Tanjung Piring sebelum sampai ke Kudat. Tongkang pengangkut ini dimiliki oleh Datu Damsi tempat kami menumpang tinggal. Datu Damsi berketurunan Suluk, isterinya pula dari keturunan suku Ubian. Mempunyai empat orang anak, seorang anak perempuannya sudah berkahwin dan tinggal di Bandar Kudat, seorang lagi sudah bekerja sebagai guru bernama Cikgu Asmad. Dua orang cucunya berumur empat dan dua tahun turut tinggal bersama mereka. Datu Damsi, tokoh yang dihormati di kampungnya. Isterinya pula ada kaitan saudara dua pupu dengan Tun Datu Mustapha, pemimpin USNO di Sabah. Rumahnya agak sederhana besar, kami berempat tinggal sebilik daripada dua bilik yang ada.

Selepas empat hari berada di perkampungan ini kami bercadang meneruskan kerja-kerja kami di Pulau Tigabu. Sudah beberapa hari tertangguh, kerana cuaca tidak menentu. Pagi-pagi lagi kami sudah bertongkang ke Pulau Tigabu. Datu Damsi sebagai nakhoda ditemani isteri, dua orang cucu serta Cikgu Asmad. Cuaca tenang, ombak laut tak berapa kuat, perjalanan kami lancar. Seperti dijangka kami sampai dengan selamatnya selepas mengharungi lautan selama tiga jam.

Ketika sampai di Pulau Tigabu, hari masih lagi pagi. Kerja-kerja kajian dijalankan secepat mungkin, kerana kami akan balik semula ke Kinabongan pada hari yang sama. Datu Damsi mahu kami berada di tongkang sebelum pukul 3.00 petang.

“ Petang cuacanya kurang bagus tu bah!, kalau boleh, jam enam sampai muara sungai sudah”

Di Sabah jam enam petang hari sudah mulai gelap. Ada dua buah mesjid di pulau ini. Satu dibina oleh kerajaan USNO satu lagi dibina oleh kerajaan PBS (wakil rakyat PBS ketika itu Datuk Amir Kahar Tun Mustapha). Terdapat amalan janggal di pulau ini, walaupun mereka menjalani ibadah puasa mereka tetap merokok.

“ Puasanya tidak batal bah, batal, kalau masuk tak boleh keluar, asap kan keluar toh”

Selepas 14 tahun berlalu, saya tak pasti adakah amalan itu masih menjadi pegangan penduduk Pulau Tigabu. Ketika berada di pulau itu pegawai JAKIM sedang dalam usaha berdakwah mengajar penduduk-penduduk Islamnya mengikut ajaran Islam yang sebenar. Ramai penduduk Kudat yang tak pernah sampai ke pulau ini. Mereka masih percaya penduduk Tigabu tidak makan nasi, tetapi memakan ubi yang dibuat daripada pokok sagu. Ketika kami sampai ke pulau itu cerita tersebut hanyalah dongengan belaka. Pulau Tigabu juga menjadi persinggahan dan perlindungan kepada bot-bot nelayan ketika berlaku ribut. Namun demikian mereka terdedah kepada serangan lanun. Sempadan perairan Malaysia-Fillipina boleh direntas dalam tempoh satu jam menggunakan bot laju. Nama Abu Sayyaf tersohor di perairan Sabah terutama di Daerah Kudat.

Separuh perjalanan pulang, hujan turun dengan lebat. Jarak penglihatan agak terhad kepada 50 meter sahaja. Betul kata bidalan Melayu, malang tak berbau. Tongkang kami tersangkut di beting karang. Ia tidak boleh dibiarkan tersangkut terlalu lama. Perut tongkang sudah beberapa kali berderap keras. Bunyinya menakutkan. Jika tidak bernasib baik tongkang boleh pecah. Jika tongkang pecah dalam keadaan hujan pasti bertukar menjadi tragedi. Nasib baik angin bertiup tidak berapa kuat, hanya ombak kecil sahaja yang menerjah beting. Tiada bot atau tongkang lain yang lalu. Hujan lebat yang turun seakan membina tembok putih yang melengkungi kami di lautan lepas ini. Cikgu Asmad sudah terjun ke air. Dia berdiri di atas beting karang dan cuba menolak tongkang keluar dari beting ke laut semula, tapi tidak berjaya. Kami terdiam. Siapa hendak membantu Cikgu Asmad, saya tidak tahu berenang. Datu Damsi perlu mengawal kemudi. Dua orang lagi daripada kumpulan kami sudah berusia dan tiada pengalaman di laut. Hanya tinggal seorang lagi, Zainuddin.

Zainuddin kemudian terjun untuk membantu, selepas 15 minit berhempas pulas tongkang berjaya dikeluarkan dari beting karang. Zainuddin adalah hero kami, orang Semenanjung. Apapun kakinya cedera tertusuk batu karang. Datu Damsi dan isterinya sering memuji dia selepas kejadian itu. 

Setiap kali bertemu Zainuddin, cerita-cerita lama ini akan kami putar semula. Selalunya kami akan ketawa terbahak-bahak kerana pengalaman yang berharga itu. Namun ia bukan sebuah cerita lucu, ia cerita menakutkan, cerita yang menginsafkan kami, bahawa selain daripada memohon doa kepada Allah hanya antara kami dalam tongkang itu sahaja tempat bergantung. Jika tongkang kami naiki itu pecah dan tenggelam, saya mungkin ada atau tidak untuk menulis di blog ini. Bersyukur kepada Allah, saya, Zainuddin dan Pak Ramlan (sudah bersara) masih lagi hidup. Pak Hashim sudah meninggal dunia selepas beberapa tahun pulang dari Sabah.

Akhirnya, kerja-kerja kami selesai. Tidak sabar-sabar untuk kembali ke Bandar Kudat. Dari Kudat ke Kota Kinabalu dan balik ke Semenanjung. Tapi kami terpaksa menunggu dua hari lagi. Tongkang Datu Damsi ‘miris’ (bocor). Ia terpaksa dibaiki dan ditampal. Enjin perlu diperiksa dengan teliti. Esok kami akan mengharungi sekali lagi laut terbuka. Perjalanan panjang dan memenatkan selama tujuh atau lapan jam lagi di bulan Ramadhan. Selamat tinggal Datu Damsi dan isteri. Selamat tinggal Cikgu Asmad dan adik-adik. Selamat tinggal Kinabongan.

Banyak lagi kenangan lucu, leceh dan lucah yang telah saya tempuhi ketika bekerja selama sebulan lebih di Kudat. Ada yang boleh di ceritakan dan ada yang tidak. Ia adalah sebahagian kisah yang boleh dicatat di blog ini. Manakala yang lain tetap akan terpahat dalam ingatan dan hati saya sehingga ke akhir hayat.

2 comments:

Anonymous said...

hehe...sya terasa amat lucu sekali bila terbaca apa yang saudara tulis dalam ruangan ni..Saya pula telah berkahwin dengan seorang ratu di Pulau ini pada 2008. Penduduk pulau ini jauh telah berubah menjadi lebih terbuka dan berilmu, sebab ramai anak2 di Pulau ini telah belajar di Universiti di negara iji, tak kurang juga yang telah menjadi Pendidik. Amalan yang di katakan itu memang tidak wujud, hanya mereka yang tidak PUASA sahaja yang mengatakan begitu..ternyata saudara telah di tipu.

Pok Li said...

Alhamdulillah. Kalau benar amalan itu sudah lupus.