Sep 9, 2008

Sepapan Petai . Sebiji Limau


Petang semalam kami berbuka puasa berdua sahaja. Isteri saya mengomel;

"Kenapa beli buah limau, beli lah tembikai ?", 

Saya tidak menjawab, kerana sebelum balik ke rumah, pesanannya umum sahaja.

"Balik nanti beli lah buah, tak payah beli kuih, sebab saya dah goreng karipap". 

Kebetulan selepas membeli buah limau saya melintasi gerai menjual petai. Saya memang hantu petai sejak kecil lagi. Kerap kali berebut dengan arwah abah sehinggakan abah sering menyorokkan petai di belakang almari lauk. Waktu itu petai masih murah. Satu ringgit boleh dapat sepuluh papan. Beberapa tahun kemudian harga petai sudah naik daripada 10 sen kepada 20 sen sepapan. Sehingga akhir tahun 80an petai sudah berharga 50 sen sepapan. Mereka percaya kenaikkan harga kerana permintaan yang tinggi daripada kaum Cina yang sudah mula suka makan petai. Walaupun harganya semakin mahal, abah tetap membeli kerana ia memang lazat dibuat ulam dan sambal.

Ketika ini harga petai sudah seringgit sekeping, untungnya isteri dan anak-anak saya bukan hantu petai. Buah petai selalu terbiar kering dalam peti ais, kerana lupa atau sering makan luar.

Petai bukan sahaja sedap tetapi juga mempunyai pelbagai khasiat. Petai mengandungi sukros, fruktos, glukos dan kandungan fiber yang mampu memberi kelebihan tenaga dan ketenangan. Malah kandungan vitamin B6 dan B12 dalam buah petai mampu mengurangkan ketagihan rokok. Ia adalah petua untuk berhenti merokok. Apatah lagi harga rokok sudah diumumkan naik pada Belanjawan 2009.

Selepas berbuka puasa saya berpesan kepada isteri, 

"Makan lah buah limau tu, awak pun dah beberapa hari tak ke tandas, makan waktu sahur nanti sebelum makan nasi".

Makan buah ketika perut kosong lebih cepat kesannya. Apa yang selalu kita buat itu sudah terbalik. Sepatutnya buah dulu bukan nasi.

2 comments:

ABDULRAZAK MOHAMED said...

pok li cerita pasal petai limau kenapa yang keluar gambar tu labu
ok juga lah persembahan santai tapi ada sedikit pengetahuan

dhilah Mohd said...

Dapat ilmu baru nih, petai dapat hilangkan stress......hehehe wa pun suka makan petai tapi tak selalu bila ngenangkan kesan bau selepas "melepas". Apapun, elok jugak amalkan makan petai bagi orang macam kita yang selalu berhadapan dengan berbagai kerenah pembawaan insan-insan unik dimuka bumi ini....STRESSSSSSS!!!!!!